Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ab dul Rahim Noor berpandangan, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan membuli sekiranya ia ditakrifkan semula sebagai kesalahan jenayah.

Pendapat itu disuarakan beliau dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan SYUKRI SHAARI serta jurugambar, SURIYA BONMA di Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Boleh Tan Sri jelaskan mengenai gejala buli yang sehingga kini nampaknya masih belum ada penyelesaian?

ABDUL RAHIM: Buli dilakukan oleh seseorang yang merasakan dirinya lebih kuat berbanding orang lain yang dianggap lemah. Individu ini mempunyai kecenderungan untuk mencederakan, mengutuk, menyeksa atau menyakiti mangsa bukan hanya dari segi fizikal malah juga mental dan emosi.

Namun, ada pihak tidak melihat perkara-perkara yang membabitkan buli sebagai perlakuan jenayah. Oleh sebab itu, tindakan yang diambil terhadap pembuli agak berlainan berbanding dengan yang diambil ke atas pelaku jenayah. Seolah-olah pembuli ini bukannya penjenayah.

Pokoknya, perbuatan buli walau apa sekali pun tahap keseriusannya, bagi saya adalah satu perbuatan jenayah. Sudah sampai masanya buli dianggap perbuatan jenayah. Langkah pertama mesti diperbetulkan persepsi masyarakat terhadap gejala buli.

Zaman sudah banyak berubah. Selama ini, buli banyak dikaitkan dengan perbuatan kanak-kanak tetapi disebabkan peredaran masa, perbuatan membuli itu harus dianggap sebagai jenayah.


Berhubung tafsiran semula buli sebagai perlakuan jenayah, apa kesannya dari aspek perundangan?

ABDUL RAHIM: Apa-apa perbuatan oleh seseorang yang melanggar undang-undang adalah jenayah, tidak kira berapa beratnya akibat perbuatan itu. Daripada seringan-ringannya sehingga yang berat termasuk mengakibatkan kematian.

Seperti yang saya tegaskan, buli merupakan kegiatan jenayah, jadi pembuli dianggap sebagai penjenayah. Oleh itu, barang siapa yang ingkar melaporkan tentang kegiatan buli, termasuk guru besar atau guru disiplin, mungkin kerana bimbang imej sekolah akan tercalar, maka mereka boleh dianggap melakukan kecuaian jenayah atau criminal negligence.

Apabila perbuatan buli telah diiktiraf sebagai perlakuan jenayah, maka pelakunya boleh diadili menerusi proses perundangan.


Bagaimana mahu membuktikan kesalahan membuli?

ABDUL RAHIM: Kalau dilaporkan, mungkin khidmat pesanan ringkas (SMS), surat atau seumpamanya yang boleh diketengahkan sebagai bahan bukti. Apa sekali pun mesti ada bukti atau saksi. Siasatan oleh pihak polis misalnya dalam kes ugutan jenayah berkaitan buli memerlukan bahan bukti.


Selepas buli ditakrifkan semula sebagai perlakuan jenayah, apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak sekolah?

ABDUL RAHIM: Sekarang ini memang ada undang-undang yang boleh diguna pakai untuk mengekang buli di sekolah-sekolah dan juga di universiti.

Walau bagaimanapun, jarang sekali kes buli ini dibawa kepada polis kecuali apabila mengakibatkan kematian, kes bunuh atau kecederaan yang berat.

Hanya diselesaikan di peringkat sekolah, jabatan pelajaran daerah dan negeri sahaja.

Saya berpandangan, mesti ada perubahan sikap di peringkat sekolah, jabatan pelajaran daerah serta negeri dan juga Kementerian Pendidikan tentang tafsiran buli.

Harus diwujudkan suasana di mana kita boleh mendidik pembuli supaya dia tidak terus melakukan perbuatan itu. Kalau dia masih mengulangi perbuatan itu, buat laporan polis dan rekodnya akan kekal dalam simpanan pihak berkuasa.

Perlu juga ada interaksi atau prosedur yang membolehkan kegiatan buli dilaporkan segera kepada pihak sekolah. Seterusnya di bawa aduan itu untuk pengetahuan ibu bapa dan bagi membolehkan perkara itu berlaku, mesti ada saluran komunikasi antara pihak sekolah dengan keluarga berkenaan.

Langkah ini berupaya menangani gejala buli dari awal sekali gus mencegah ia daripada menjadi lebih parah sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Kalau langkah ini pun gagal dan si pembuli tetap melakukan perlakuan jenayahnya, laporkan sahaja kepada polis. Namun, prosedur ini masih belum ada lagi.


Adakah Tan Sri berpandangan ibu bapa murid serta pelajar akan menerima cadangan itu?

ABDUL RAHIM: Saya melihat segelintir ibu bapa bersikap lepas tangan dalam soal ini. Masalah ini bukan terletak di tangan pentadbiran sekolah sahaja. Banyak kes memperlihatkan ibu bapa mengambil sikap tidak peduli.

Sudahlah ibu bapa serahkan kes-kes disiplin anak mereka kepada pihak sekolah, tetapi apabila tindakan diambil terhadap anak-anak, mereka melenting pula.

Perkara ini memberi kesan negatif kepada perkembangan minda anak-anak. Jadi, sikap ini harus diperbetulkan.


Kalau murid sekolah rendah terlibat membuli, bagaimana mahu dianggap sebagai penjenayah?

ABDUL RAHIM: Tidak mustahil murid sekolah rendah boleh terjebak dengan gejala buli sehingga menyebabkan kematian berikutan faktor peredaran zaman yang menyebabkan perkembangan minda yang pantas selain pengaruh televisyen.

Mereka seharusnya didakwa mengikut undang-undang. Persoalan mungkin dari segi hukuman yang dikenakan. Mungkin juga hukuman mati bagi kesalahan membunuh boleh diperluaskan kepada individu di bawah umur.

Mungkin juga mereka tidak dihukum gantung dan dilepaskan daripada menjalani hukuman mati.Dalam hal ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup, bergantung kepada pertimbangan hakim.


Adakah Tan Sri berpendapat semua pihak akan menerima pandangan serta cadangan ini?

ABDUL RAHIM: Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, kira-kira 14,000 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah sepanjang tahun 2012 hingga 2015.

Maknanya, dalam setahun dianggarkan kira-kira 4,670 kes jenayah buli direkodkan kementerian dan difahamkan ada peningkatan kes membabitkan pelajar-pelajar sekolah menengah.

Wajarkah kita bertoleransi dengan tanda-tanda peningkatan itu? Sudah tentu suatu langkah perlu difikirkan.

Mungkin akan ada pihak yang berhujah, apa yang diributkan pasal buli ini sebagai satu jenayah, sedangkan ia melibatkan murid dan pelajar sekolah sahaja?

Mereka mungkin mempersoalkan sama ada bilangan yang maut akibat dibuli itu ramai atau sebaliknya kerana yang meninggal dunia disebabkan perbuatan tersebut baru-baru ini cuma dua orang sahaja iaitu Allahyarham Zulfarhan dan mendiang Nhaveen.

Saya berharap kematian kedua-dua mangsa ini menjadi pengajaran kepada kita semua tentang betapa serius kesan akibat jenayah buli.

Orang yang bercakap seperti ini mungkin tidak merasakan kesan mendalam kerana yang dibuli dan terbunuh itu bukan anak-anak mereka. Justeru, saya berharap semua pihak mengambil pendekatan bagi menangani jenayah buli dengan meletak diri di tempat ibu bapa para mangsa.

Sekiranya saya ialah bapa kepada mangsa yang maut dibuli, saya akan mempersoalkan di mana letaknya sistem pengawasan yang efisien terhadap kaki buli ini? Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab?

Elok juga jika kembali menghayati falsafah di sebalik perumpaan ‘meluntur buluh biar dari rebungnya’. Perlakuan jenayah buli ini sepatutnya ditangani dari peringkat awal ia dikesan dalam diri para pelakunya.


Perlukan diwujudkan undang-undang baharu untuk mengekang gejala buli?

ABDUL RAHIM: Terdapat kekangan dalam undang-undang sedia ada namun kerajaan boleh memperkenalkan elemen-elemen yang berupaya menangani jenayah buli melalui pindaan terhadap Akta Kanak-kanak 2001. 


Pesanan Tan Sri kepada pihak yang memandang ringan terhadap gejala buli.

ABDUL RAHIM: Mereka seharusnya sedar bahawa perbuatan membuli lazimnya tidak terhenti setelah ia bermula. Pelakunya akan mengulanginya sehingga mendorong mereka melakukan perbuatan jenayah seperti mencederakan malah membunuh mangsa.

Malangnya, dalam masyarakat kita, wujud mentaliti yang menganggap gejala buli dalam kalangan murid serta pelajar sekolah hanya bersifat ‘main-main’ sahaja dan ia akan terhenti setelah tamat zaman persekolahan.

Pandangan saya dalam perkara ini adalah berbeza. Janganlah kita bersikap ambil mudah dalam menangani isu berkaitan anak-anak khususnya mereka yang di peringkat usia remaja. Zaman telah berubah, justeru pendekatan kita dalam menangani jenayah buli juga mesti berubah.