Kita serba salah untuk menegur kerana takut mereka tersinggung atau terasa hati. Kita juga takut jika disalah anggap oleh mereka yang ditegur sebagai ‘menjaga kain’ atau ‘perasan baik’ yang seterusnya merenggangkan hubungan sedia ada. Baru-baru ini penulis membaca surat terbuka oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menegur pengkarya sebuah drama tempatan. Sebelum ini pun mufti pernah menulis surat terbuka kepada seorang artis.

Teguran kepada pengkarya drama tersebut telah disambut baik oleh mereka yang terlibat malah judul drama tersebut telah pun ditukar. Penulis yakin ia diterima baik kerana kelembutan bahasa yang digunakan, teguran yang dimulai dan diakhiri dengan pujian tanpa mengaib atau memburukkan pihak tertentu. Membaca setiap baris nasihat tersebut membuatkan penulis terfikir, alangkah baiknya jika kita boleh mencontohi akhlak mufti berkenaan dalam membuat teguran.

Teknik yang digunakan oleh mufti tersebut adalah dikenali sebagai praise sandwich atau hamburger techniques. Praise sandwich sesuai digunakan untuk menegur atau membuat kritikan iaitu memulakan teguran dengan pujian (lapisan pertama) atau ayat-ayat motivasi dan positif kepada pelaku. Isi penting tersebut adalah teguran yang sebaiknya bersifat membina atau konstruktif dan tutuplah teguran tersebut dengan pujian dan kata-kata positif.

Bagaimanapun cara kita menegur dipengaruhi oleh situasi atau keadaan ketika menegur. Berikut merupakan beberapa situasi menegur yang boleh dipertimbangkan oleh kita semua.

Menegur ketika mood baik

Menegur ketika seseorang berada dalam mood baik adalah cara paling selamat jika si isteri mahu menegur suami, anak menegur bapanya, pekerja menegur ketuanya, atau sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menegur orang lain. Ketika mood seseorang baik, nasihat dan teguran lebih mudah diterima.

Menegur secara tertutup

Ini juga adalah cara terbaik membuat teguran kepada seseorang iaitu dengan berjumpa secara tertutup terutama perkara-perkara berkaitan peribadi. Walaupun dalam keadaan tertutup, jika boleh elakkan menegur semasa mereka sedang sibuk dengan urusan lain.

Menegur secara berjenaka

Mereka yang menegur mestilah seseorang yang memang selalu berseloroh atau berjenaka kerana dikhuatiri ia tidak dapat diterima oleh orang lain.

Namun, kita perlu berhati-hati kerana tidak semua orang boleh menerima jenaka kita lebih-lebih lagi jenaka yang dibuat di hadapan orang ramai.

Menegur di hadapan khayalak atau orang ramai.

Situasi ini kurang sesuai dan cuba elakkan kerana ia boleh memalukan mereka. Namun, dalam situasi penulis sebagai pendidik, penulis sering juga menggunakan pendekatan ini untuk memberi pengajaran kepada pelajar lain terutama mereka yang datang lewat atau tidak memberi tumpuan di dalam kelas.

Walau bagaimanapun, ia mungkin boleh menyebabkan pelaku malu dan berdendam dengan kita.

Menegur menggunakan media sosial

Jika boleh kita elakkan menegur menggunakan Facebook, Twitter atau media sosial. Ada juga ketikanya kita terpaksa menggunakan medium seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatApps untuk menegur secara peribadi. Dalam hal ini kita perlu memastikan ayat yang digunakan sesuai kerana ayat penulisan tidak sama dengan ayat percakapan yang kadangkala boleh mendatangkan salah faham.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan Koordinator Institut Pendidikan NEO di UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.