Dulu pun, sepuluh tahun dahulu banyak yang berfikir adalah mustahil untuk pembangkang menawan Selangor dan Pulau Pinang. Pakatan Rakyat berjaya dan kemudiannya mengekalkan kuasa untuk satu penggal lagi.

Kini suasananya berbeza. Pakatan Rakyat sudah terbubar dan digantikan dengan Pakatan Harapan. PAN menggantikan Pas. PPBM, parti serpihan UMNO yang berisiko terbubar akibat melanggar perlembagaan sendiri menjadi anggota baharu Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan diketuai DAP ini belum teruji. Jika dinilai daripada Plihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta Pilihan Raya Negeri Sarawak, pakatan ini yang semasa itu belum tertubuh secara rasmi tidaklah hebat sangat.

Setelah sepuluh tahun, Pulau Pinang dan Selangor boleh bertukar kerajaan, BN boleh menawan semula dua negeri itu. Mendekati tarikh pilihan raya umum misi itu dilihat tidaklah mustahil. BN dan UMNO terutamanya ada kemampuan.

Ini yang barangkali merisaukan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Sehari selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Pulau Pinang, Guan Eng segera mengadakan sidang akhbar.

Cara Guan Eng memberi respons terhadap gempuran awal BN itu membayangkan kegusaran DAP Pulau Pinang.

Melihat dari kaca mata Guan Eng, Setiausaha Agung DAP itu mulai gundah-gulana dengan kesungguhan BN untuk menawan Pulau Pinang.

Beliau malah memberi inga­tan kepada jentera parti agar tidak memandang ren­dah “cita-cita, keyakinan dan kemahuan BN untuk me­­nawan semula Pulau Pi­nang”.

Guan Eng pun menyebut se­mula sasaran BN - me­nang di semua 15 ke­ru­si di­­tandingi UMNO, 3 (Gera­kan), 2 (MCA) dan satu (MIC).

“Kita akan berlawan de­ngan lebih serius meman­dangkan BN mempunyai se­­­mua jentera kelengkapan berbanding Pakatan Hara­pan,” kata Guan Eng.

Guan Eng yang dise­lu­bungi banyak kon­troversi da­ripada kes ra­suah, alam sekitar, banjir sehingga perumahan rakyat cuba menggunakan taktik lama - menyalahkan musuh po­litik­nya.

Taktik itu bagaimanapun tidak laku selamanya. La­ma-ke­­lamaan ketahuan jua.

Perilaku beliau sehingga digelar ‘tokong’ dan dilabel angkuh memudarkan imej cekap, telus dan amanah yang cuba dibinanya.

Jelas sehari waktu ber­lalu kewibawaan Guan Eng semakin diragui.

Barangkali sebab itu timbul desas-desus Lim Hui Yin, adik perempuan bongsu Guan Eng bakal diterjunkan di DUN Tanjong Bungah.

Hui Yin disebut-sebut bakal menggantikan Guan Eng jika nanti beliau dihukum penjara.

Pertembungan

Benar, untuk BN mencapai sasaran kemenangan majoriti mudah 21 kerusi tidaklah mustahil walaupun sukar. Gerakan yang disasarkan menang di tiga kerusi perlu dibantu oleh jentera UMNO.

Sekurang-kurangnya tiga kerusi diwakili Gerakan itu mempunyai komposisi lebih 30 peratus pengundi Melayu. Di kawasan mojoriti Cina ini Gerakan kalah dengan majoriti besar pada PRU-13.

Pada PRU-13, Gerakan kalah di Pantai Jerejak (PKR - majoriti 5,354), Sungai Pinang (DAP - majoriti 4,707), Datuk Keramat (DAP - majoriti 5,020), Bukit Tengah (PKR - majoriti 5,190) dan Machang Bubuk (PKR - majoriti 11,900).

MCA menyasarkan DUN Seri Delima (DAP - majoriti 9,277) dan Jawi (DAP - majoriti 9,076) manakala MIC di DUN Bagan Dalam (DAP - majoriti 5,161).

Di Selangor pertembungan Pakatan Harapan dengan Pas bakal memberikan kelebihan kepada BN. Pertembungan kali ini bukan calang-calang. Pas tidak seperti 10 tahun dahulu.

Pas kini sudah ada pengalaman dalam mentadbir kerajaan negeri. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti rakannya di Pulau Pinang juga berhadapan dengan banyak kontroversi.

Gaya kepimpinan serba anggun beliau gagal menyaingi stail bersih dan polos Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang malangnya dijatuhkan oleh partinya sendiri.

Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor terkesan ekstra hati-hati dalam perbincangan pembahagian kerusi.

Musuh dalam PKR dan Pakatan Harapan menanti-nanti kejatuhan beliau. Setakat ini pembahagian enam kerusi gagal diselesaikan dan terpaksa dirujuk ke peringkat lebih tinggi.

Ditambah ketiadaan Pas, kedudukan PKR dan Pakatan Harapan tidaklah sesihat pilihan raya umum lalu. Tidak terbayang sakitnya hati Pas. Mereka dulu yang ke hulu hilir menaikkan Azmin. Kini orang itu sedang menggigit Pas.

Pertembungan Pakatan Harapan dan Pas dalam program semalam menjadi cerminan. Di Stadium Malawati, kumpulan Azmin menganjurkan Karnival Himpunan Rakyat yang memaparkan kejayaan kerajaan negeri.

Di Stadium JKR, kira-kira 10 kilometer dari situ, Pas menganjurkan program Munajat dan Ceramah Perdana. Entah disengaja atau tidak, kedua-duanya diadakan sempena menyambut 10 tahun mentadbir Selangor.

Semasa PKR, DAP, PAN dan PPBM mahupun Pas dalam keadaan ketidaktentuan, BN terus fokus dengan gerak kerja menawan Selangor. BN konsisten menyasarkan 30 kerusi, lebih satu kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

UMNO menyasarkan sehingga 28 kerusi manakala tumpuan MCA ialah di DUN Sungai Pelek dan Kuala Kubu Baru dan MIC di DUN Ijok.

Di atas kertas, BN mampu memperoleh sekurang-kurangnya 22 kerusi. Tinggal mencari lapan lagi kerusi.

Jika fokus dan calon yang tepat serta tiada sabotaj daripada jentera parti, misi menawan Pulau Pinang dan Selangor bakal tercapai. Bukankah ini satu kejayaan yang indah dan manis?

Lihatlah lawan mereka yang dulu ‘angkuh dan anggun’ kini sedang gundah-gulana.