31 Ogos (Merdeka) Khamis

1 Sept (Raya Haji) Jumaat

2 Sept (Raya Haji) Sabtu

3 Sept (Cuti Ganti) Ahad

9 Sept(Cuti Keputeraan Agong) Sabtu

10 Sept (Cuti Ganti) Ahad

16 Sept (Hari Malaysia) Sabtu

17 Sept (Cuti Ganti) Ahad

21 Sept (Awal Muharam) Khamis

22 Sept (Jumaat)

23 Sept (Sabtu)

Anda boleh mula catatkan tarikh di atas dalam kalendar telefon anda sekarang. Yang tertera 'cuti ganti Ahad’ adalah untuk tiga negeri yang bekerja Ahad.

Maklumat sebeginilah yang kita alu-alukan dalam media sosial. Bukan jenis menghasut atau sindiran politik. Itu amat merimaskan terutama kita ini yang bukan kemaruk berpolitik.

Merrepak hari ini tidak berminat mengulas hal itu. Suka hatilah anda yang gemar berpolitik. Ada seorang pada Rabu lalu, memuatkan gambar resit tandas premium di KLCC yang sekali masuk kena caj RM2.00 tetapi pada gambar ditanda anak panah pada ruangan GST.

Seorang teman mempersoalkan motif berbuat demikian di dalam grup. Sampai semalam, tiada jawapan. Inikan grup jiran tetangga, bukan parti politik. Kalau marah pasal tandas dikenakan GST, siapa suruh pilih tandas premium. Tanda percuma ada banyak di KLCC.

Baiklah, kembali kepada ceritera cuti. Rasanya baru sahaja kita kembali dari percutian yang agak panjang iaitu Aidilfitri. Jadi empat minggu lagi kita akan tiba sekali lagi ke musim cuti. Jangan lupa ya, negara kita jadi tuan rumah temasya Sukan SEA. Andai tidak ke luar negara, mari beri sokongan kepada atlet negara.

Terus-terang, saya secara profesional berasa sedikit cemas dengan kedatangan musim cuti September ini. Pada bulan itulah akan diadakan dua acara iaitu Simposium Saham Utusan dan Simposium Hartanah Utusan 2017, yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan. Saya bertugas pada kedua-dua acara tersebut – jaga parking.

Tidaklah saya risau soal sambutan kerana bab itu telah diuruskan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi dengan daya tarikan panel penceramah yang terkenal dalam bidang hartanah pasti menjamin minat yang tinggi daripada orang ramai. Begitu juga simposium hartanah yang dikendalikan oleh kolumnis Cikgu Saham Utusan Malaysia sendiri.

Yang saya sedikit bimbang ialah bila rakan-rakan setugas mahu bercuti. Ya, cuti itu hak pekerja, kata wakil kesatuan kepada saya. Dia lupa saya pada tahun 2000 pun pernah jadi Exco NUJ. Tidak perlu bersyarah hal hak, melainkan bersedia untuk saya merrepak balik.

Apa pun, semua akan dapat menikmati cuti tetapi tidak pada tarikh-tarikh program berkenaan. Itu pesan saya kepada rakan-rakan. Cuti adalah hak tetapi bukan keistimewaan. Saya sendiri pun hadkan cuti. Tiada erti cuti panjang bila telefon asyik berdering dan hati jadi gundah-gulana.

Biarlah selesai acara, baru difikirkan cuti. Namun disebabkan kedua-dua acara berlangsung selang dua minggu, itu menjanjikan fokus yang jitu. Tidak boleh main tunggu-tunggu.

Saya pasti ada sebilangan daripada anda berperasaan serupa dengan saya. Projek atau program kerja yang telah diatur pada September atau Oktober. Dalam tempoh yang semakin dekat, empat-lima minggu adalah masa kritikal untuk semakin akhir bagi kelancaran acara.

Tambah-tambah lagi sekarang ini diistilahkan sebagai tahun pilihan raya. Mandat kuasa Parlimen sedia ada akan tamat pada Jun 2018. Ramai yang meneka pilihan raya umum akan diadakan juga pada September iaitu selepas tamat Sukan SEA 2017. Kalau benar-benar berlaku, lagi haru-biru perancangan. Kedua-dua simposium harus ditukar ke tarikh lain.

Ada juga yang menduga tarikh pilihan raya umum pada Mac 2018. Ini bukan cerita politik tetapi merujuk kepada sudut lain profesional berkaitan yang akan terlibat bertugas dalam tempoh tersebut.

Rakan-rakan yang bertugas di jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam kini sudah bersiap-sedia kerana inilah tempoh yang mana aktiviti penerangan, jerayawara dan sebagainya akan dilipat gandakan.

Bukanlah hendak merungut mengenai bulan September yang sarat dengan cuti umum. Tidak sama sekali. Cuma hati berdebar-debar dek tugasan banyak yang berlangsung pada bulan itu.

Bagi anda yang tidak terkena tugasan seperti saya, didoakan anda gembira ceria bercuti bersama ahli keluarga di mana-mana destinasi di Malaysia. Pergilah. Sudah sah tiada cukai pelancongan dikenakan.