Dalam bulan Ramadan ini banyak kemalangan telah meragut nyawa rakyat negara ini dalam jumlah yang bukan kecil. Saban tahun tragedi yang sama juga berlaku. Pilu dan rasa terharu bila menatap wajah mereka yang kehilangan orang tersayang dan tempat berteduh. Suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak hilang kasih sayang ibu bapa, dan ada keluarga yang hilang kesemuanya.

Bukan tidak diperingatkan tentang kemalangan yang tidak berbau tapi takdir yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia tetap terjadi. Itulah namanya qada dan qadar. Tapi semasa di sekolah dahulu, ustaz beritahu kami - qada dan qadar boleh dielakkan. Caranya kita kena berusaha mengelak apa yang mungkin akan menimba pada diri kita. Kalau kita nampak lubang di tengah jalan, elaklah, kenapa hendak dilanggar juga lubang itu. Mesej ustaz saya itu ialah kita perlu sentiasa berhati-hati. Dengan cara itu Insya-Allah kita dapat mengelak tragedi daripada berlaku.

Kadangkala kalau sudah tiba ajal, kita tak dapat mengelaknya. Walau macam mana berhati-hati ketika memandu tetapi tiba-tiba kita dilanggar kenderaan lain, itu takdir namanya. Apa yang penting semua orang, diri sendiri kena beringat-ingat dan berhati-hati apabila berada di jalan raya.

Untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya, saban tahun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri. Suruhan­jaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula akan me­­nangani isu pengendali dan pemandu bas ekspres yang me­langgar undang-undang.

Bermacam-macam tindakan telah dilakukan pihak berkuasa yang terbabit misalnya penguatkuasaan audit terhadap rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan CCTV di pusat operasi lebuh raya.

Walau apa pun penguatkuasaan, sikap gemar memandu secara laju dalam kalangan rakyat kita mesti diubah. Memandu lajulah dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kes kemalangan maut di negara ini. Faktor lain ialah ter­dapat juga pemandu yang enggan mematuhi undang-undang jalan raya dan mementingkan diri sendiri.

Dalam laporan kajian kes kemalangan di negara ini, terdapat beberapa faktor yang turut dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan termasuk peningkatan jumlah kenderaan, struktur jalan raya yang rosak, cuaca dan faktor kenderaan pengguna itu sendiri.

Kita hargai kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya yang dilaksanakan pelbagai pihak. Kalau di Kuala Lumpur, melalui sistem ITIS, pengguna jalan raya sentiasa diperingatkan tentang pemanduan berhemah. Terpapar notis pada skrin yang melintasi jalan raya yang mengingatkan semua pemandu supaya jangan memandu laju, jangan berhenti dalam petak kuning, jangan guna telefon ketika memandu dan beri isyarat jika mahu mengubah laluan.

Perhatian

Dengan adanya kenyataan atau kempen yang secara ber­terusan dan setiap hari itu, pemandu di KL sentiasa menerima pesanan berguna. Tetapi bagaimana panduan dan pesanan yang sama untuk pemandu di kawasan luar bandar. Boleh dikatakan tidak ada. Cuma kita meletakkan harapan pada papan tanda di tepi jalan untuk perhatian pemandu. Tetapi kebiasaannya kempen cara begitu dipandang sepintas lalu sahaja.

Di luar bandar, kematian akibat kemalangan jalan raya terlalu banyak terutama melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Oleh itu kempen kesedaran perlu ditumpukan kepada golongan berkenaan. Suatu yang perlu diberi perhatian juga ialah peraturan memakai topi keledar dalam kalangan penunggang motosikal di luar bandar yang agak rendah berbanding kawasan bandar dan pinggir bandar.

Mereka mungkin tidak sedar mengenai kepentingan memakai topi keledar ini, kecuali takut disaman oleh anggota polis. Sebab itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kena lebih agresif mengadakan kempen keselamatan jalan raya di kawasan luar bandar termasuk ladang, skim pembangunan tanah dan kampung-kampung.

Selain saman, denda yang tinggi dan hukuman penjara jika sabit kesalahan, pendidikan tentang keselamatan jalan raya perlu digiatkan. Saya tertarik dengan pendekatan kempen keselamatan jalan raya mungkin diterbitkan pada tahun 1960-an atau 1970-an. Bila melihat semula rakaman video kem­pen Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia itu, nampak pendekatannya mudah dan terus kepada sasaran. Saya petik kata-kata suara latar yang mengiringi filem berkenaan.

“Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia minta pertolongan tuan untuk mengelak kemalangan di jalan-jalan raya. Sama ada tuan pemandu kereta, atau lori, sama ada tuan menung­gang motosikal atau basikal ataupun berjalan kaki, tuan ber­tanggungjawab antara satu sama lain.

“Patuhilah undang-undang lalu lintas. Ikuti peraturan jalan raya. Lebih 80 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada pengguna-pengguna jalan raya, umpamanya orang berjalan kaki juga suka menempah maut. Jalan mencelah-celah lalu lintas juga sangat berbahaya, lalai memberi isyarat, nyawa tuan sendiri padahnya.

“Beberapa tahun yang lalu, kemalangan di jalan raya telah menyebabkan kira-kira 16 orang maut setiap hari, banyak yang parah dan luka, dan banyak juga cacat seumur hidup. Yang cedera itu mungkin sahabat ataupun mungkin tuan sendiri.

“Jika tuan memandu dengan cermat, dengan berhati-hati dan dengan sopan, keselamatan jalan raya hendaklah sentiasa di hati tuan. Dan ingatlah kesemalatan di jalan raya bermula dengan tuan.”

Bagaimana kempen keselamatan jalan raya sekarang?

Dalam keadaan orang ramai sibuk pulang berhari raya hujung minggu ini dan kunjung-mengunjung antara satu sama lain, janganlah musim perayaan ini bertukar menjadi musim tragedi. Keselamatan diri dan keluarga bermula daripada diri kita sendiri dan bukannya kerana ada polis atau penguat kuasa, baru kita mahu mengikut peraturan jalan raya.