Hafizh, 23, pernah mendapat gelaran el-pescao, perkataan Sepanyol yang membawa maksud ‘ikan’ dalam bahasa Melayu semasa menyertai perlumbaan kategori Moto2 siri CEV 2012 di Sepanyol.

Perkataan el-pescao kini mula menjadi sebutan ramai dan bagi penunggang jentera Yamaha YZR-M bernombor 55 ini, ia turut diguna di Facebook, [email protected] dan blog didedikasi untuk Hafizh iaitu Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao.

Jolokan King of Pocket Bikers (Raja Motosikal Poket) pula diperolehi Hafizh lantaran beliau sering menjuarai perlumbaan itu di seluruh negara suatu ketika dahulu.

Sejak namanya disahkan secara rasmi menyertai pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech 3, pada 21 Februari lalu, Hafizh kini menjadi perhatian ramai peminat sukan pemotoran itu apabila beliau menjadi penunggang pertama dari Asia Tenggara dalam saingan kelas utama untuk musim ini.

Pelumba itu baru berkahwin dengan model Muslimah, Noor Suzana Abdul Manaf, 23, yang dikenali melalui Instagram penghujung tahun lalu. Hafizh mengakui kini semakin fokus dan berkeyakinan tinggi untuk mencapai impian sebagai pelumba terbaik dalam kelasnya.

Hafizh cuba lebih memahami karakter jenteranya, Yamaha YZR-M1, saat menjelang perlumbaan pembuka musim MotoGP 2018 yang dijadualkan pada 18 Mac ini di Losail International Circuit, Qatar.

Malah, sebagai pendatang baru, akhbar-akhbar di Qatar turut memberi liputan kepada Hafizh yang kini muncul selaku rookie kedua terpantas dalam sesi ujian terakhir di Qatar awal Mac lalu.

Begitu juga dengan akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia turut memberi laporan meluas untuk Hafizh yang kini sedang menjalani latihan pramusim di Qatar, sejak awal bulan ini.

Bersejarah

Seluruh rakyat Malaysia tentunya berbangga dengan kejayaan Hafizh melakar sejarah sebagai pelumba pertama dari Asia Tenggara menyertai perlumbaan untuk musim ini.

Malah, apa yang membanggakan, Hafizh kini turut diiktiraf sebagai pelumba Islam pertama di dunia sekali gus mencipta kejayaan bersejarah.

Malah, selepas pengumuman secara rasmi Hafizh menyertai MotoGP musim ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menyampaikan ucapan penghargaan yang sama melalui twitternya.

Paling menggembirakan, tentulah Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali yang turut berbangga kerana penyertaan Hafizh dalam perlumbaan MotoGP pada tahun 2018 ini merupakan satu pencapaian bersejarah dalam industri sukan permotoran negara.

Hafizh memulakan aksi profesional secara kompetitif seawal usia 13 tahun apabila berjaya membuktikan keupayaan luar biasa mendominasi perlumbaan sirkit tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pasukan Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong merupakan insan pertama berjaya mengesan bakat terpendam Hafizh ketika pelumba cilik itu berlumba di liga motosikal poket ketika berusia belasan tahun.

“Saya mula mengenali dan membimbingnya sejak dia berusia 12 tahun lagi, berlumba sebagai seorang yang sangat berbakat dan kini telah menjadi seorang dewasa yang dahagakan kejayaan,” cerita Barry Leong ketika mengimbau kejayaan gemilang Hafizh bersama pasukan itu.

Selama 10 tahun bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia kendalian Barry Leong, Hafizh berjaya mencatat nama juara keseluruhan termuda siri kelas Novis dan CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.

Selain itu, pelbagai kejayaan berjaya diraih di peringkat antarabangsa seperti di Kejuaraan Motosikal Asia, Australia dan Sepanyol sebelum melangkah ke pentas MotoGP.

Mengimbau kembali penglibatan Hafizh dalam dunia pemotoran antarabangsa, sebenarnya minat pelumba muda negara ini sudah dipupuk sejak zaman kanak-kanak lagi.

Sewaktu berusia antara tujuh hingga lapan tahun lagi, Hafizh menceritakan beliau sering membantu ayahnya di bengkel motosikal selepas pulang dari sesi persekolahan.

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini akhirnya mula berjinak-jinak dengan ‘motosikal poket’ di kompleks membeli-belah Galaxy di Ampang.

Setiap kali bermain, Hafizh membelanjakan sebanyak RM20 untuk tempoh 15 minit. Hanya selepas sebulan bermain motosikal poket, barulah ayahnya mendapat tahu Hafizh sudah membelanjakan hampir RM400 dalam tempoh tersebut.

Ekoran peristiwa itu, Hafizh mengakui pernah dilarang mengunjungi litar tersebut. yang pasti, hadiah sebuah motosikal poket daripada seorang ayah telah menyuntik motivasi yang tidak mungkin dapat dilupakan Hafizh sehingga kini biarpun selepas bergelar pelumba MotorGP bertaraf dunia.