Sebab itu dihujahkan sejak awal lagi Perdana Menteri Britain, Theresa May menghadapi laluan sukar dalam setiap rundingan dengan Brussels mengenai hasrat United Kingdom (UK) untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU). Ini kerana beliau tidak mempunyai mandat kukuh kerana May tidak mendapat sokongan penuh dari menteri Kabinet beliau.

Kecelaruan yang dipamerkan oleh UK digunakan sepenuhnya oleh Brussels dalam setiap rundingan yang menyaksikan UK besar kemungkinan tidak akan memperoleh terma keluar dari EU seperti yang diharapkan.

Begitu jua apabila dua menteri kanan kerajaan membuat kenyataan yang memberi maksud bertentangan mengenai status kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Maka jika ada rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan bimbang tentang perkara ini ia adalah perasaan yang munasabah.

Bimbang bukan kerana status projek ECRL tidak dapat ditentukan dengan sahih tetapi gusar sama ada projek ECRL itu dibatalkan, dirunding semula atau ditangguh, di sebalik kesan keputusan dibuat yang terkesan adalah China, negara kuasa besar di mana kebergantungan Malaysia dalam ekonomi adalah kritikal.

Memang tidak dinafikan Malaysia tidak perlu berunding dengan China kerana ECRL adalah projek Malaysia dan CCCC hanyalah kontraktor utama yang melaksanakan projek tersebut. Berbeza dengan senario keputusan penangguhan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang memerlukan persetujuan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura kerana tadbir urus dan pembangunan fizikal HSR melibatkan kedua-dua negara berjiran ini.

Tetapi perlu diingat, Beijing mempunyai kepentingan saham majoriti dalam CCCC dan tidak keterlaluan jika diandaikan setiap keputusan komersial CCCC mesti selari dengan kehendak China.

Sebab itu tidak keterlaluan jika diandaikan apa jua keputusan yang bakal dibuat mengenai ECRL adalah keputusan yang bukan sahaja memberi kesan kepada CCCC tetapi juga Beijing.

Setakat ini Beijing belum lagi mengeluar kenyataan rasmi dan saluran media seperti Peoples Daily dan CGTN yang lazim menyiarkan berita pro-Beijing juga belum membincangkan status projek ECRL tersebut.

Tetapi akhbar Global Times China ada menyiarkan berita yang memberi gambaran status ECRL masih belum ditentukan dan rundingan kedua-dua negara masih berjalan.

Bagaimanapun, pihak CCCC ada mengeluarkan kenyataan bahawa mereka masih berharap persetujuan dapat dicapai supaya projek tersebut dapat diteruskan dengan terma baharu yang tidak begitu membebankan Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha untuk meredakan situasi tidak menentu telah mengumumkan bahawa status projek ECRL masih belum diputuskan secara muktamad yang antara lain satu keputusan jalan tengah di antara kenyataan kedua-dua menteri kanan yang mengeluarkan kenyataan bertentangan sebelum ini.

Menjadi kemusykilan siapakah antara dua menteri kanan tersebut yang akan menjadi menteri bertanggungjawab mengenai hal ECRL. Ini kerana begitu jelas Dr. Mahathir tidak akan memikul tanggungjawab tersebut bersandarkan bentuk kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini.

Menarik disingkap kembali dua tahun lepas apabila dua menteri Kabinet berbalah mengenai isu pencerobohan perairan Laut China Selatan oleh nelayan China di mana kedua-dua menteri ini mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Akhirnya Menteri Luar yang tidak terlibat dalam perbalahan mengeluarkan kenyataan bahawa setiap isu yang membabitkan pertikaian sempadan maritim Laut China Selatan hanya boleh diuruskan Wisma Putra kerana ia membabitkan kuasa besar China.

Sebab itu juga dalam kes ECRL apakah akan ada kemungkinan Menteri Luar akan menjadi menteri bertanggungjawab mengenai ECRL kerana kedua-dua menteri kanan yang bertelagah itu dikatakan sudah menggambarkan pendirian masing-masing dan sukar untuk mengambil pendirian yang bertentangan selepas ini.

Tetapi satu perkara yang nyata mengenai ECRL adalah Beijing pada ketika ini masih dengan pendirian tunggu dan lihat sebelum mengambil langkah seterusnya.