Syahril yang dikenali sebagai seorang yang peramah, meraih ramai pengikut dan peminat dalam halaman Facebook dengan penyiaran kandungan yang bukan berbentuk politik atau menghentam seperti sesetengah bekas wartawan sekarang.

Sebaliknya, Syahril memilih untuk menjadi penglipur lara kepada kisah-kisah benar, memberi inspirasi dan kisah di sebalik tabir tokoh-tokoh yang dipilihnya. Konsistensi ini mendorong ramai orang beralih perhatian kepadanya, kerana gaya penyampaian beliau yang kaya dengan naratif tanpa sibuk menyelitkan sindiran politik yang memualkan.

Beliau masih dialu-alukan di ibu pejabat Utusan ini, bukan kerana beliau sudah menjadi selebriti. Sejujurnya, selain personaliti beliau, tidak pernah sekali atau sepatah pun beliau menulis hal-hal yang negatif mengenai Utusan.

Ini kerana Syahril pernah menyebut ‘Utusan adalah institusi yang mengajarnya menulis’ dan hakikat ini menyebabkan beliau cukup disenangi oleh warga Utusan, malah masih menganggapnya ahli keluarga Utusan.

Merrepak hari ini mahu membawa perspektif bagaimana seorang penulis seperti Syahril yang telah beralih kepada platform Facebook tetapi tidak melupakan asal-usul bermula di sebuah akhbar arus perdana.

Dewasa ini, ramai yang sudah membaca "talkin" kepada industri akhbar arus perdana. Tindakan itu didorong oleh fakta benar penyusutan teruk bilangan edaran naskhah akhbar dari bulan ke bulan. Fenomena ini turut melanda Kumpulan Utusan. Namun, simpanlah dulu talkin. Izinkan kami mencari kaedah terbaik untuk menerus kesinambungan hidup.

Faktor-faktor yang mendorong kepada penyusutan itu ada pelbagai. Akhbar-akhbar arus perdana ditekan oleh boikot penyokong parti pembangkang kerana menganggap media arus perdana dikuasai parti kerajaan. Ingin saya perjelaskan. Bukan "dikuasai" tetapi sememangnya "dimiliki". Tiada apa hendak disorok.

Kumpulan Utusan sebagai syarikat tersenarai, boleh diselidik ekuiti pemilikannya memang majoriti UMNO. Jadi bila media pro-pembangkang seperti Malaysiakini melabelkan Utusan sebagai "akhbar dikuasai kerajaan", ia sebenarnya sedikit menyeleweng kerana memberi gambaran akhbar ini lemah, lalu dikuasai pihak berkuasa.

Hakikatnya, akhbar ini adalah milik parti pemerintah. Label tepat ialah "akhbar milik parti pemerintah".

Namun, jika dikaji secara rambang faktor penurunan jualan akhbar, boikot penyokong pembangkang ini membentuk hanya 30 peratus puncanya. Dua faktor yang lebih serius melebihi 50 peratus ialah pertama, generasi muda sekarang lebih menyukai membaca menerusi gajet seperti telefon pintar, tab dan sebagainya. Yang kedua ialah platform sebaran maklumat pilihan ialah media sosial seperti Facebook dan Youtube.

Kegelisahan

Jadi bukan boikot politik menjadi punca utama? Ya. Ini kerana penurunan jualan akhbar tidak eksklusif kepada Kumpulan Utusan semata-mata. Kesan ini turut dirasai oleh akhbar Harakah, organ propaganda Parti SeIslam Malaysia atau Pas.

Begitu juga akhbar berbahasa Inggeris nombor satu negara, The Star yang khabarnya bakal mengumumkan langkah penjimatan dramatik mungkin tidak lama lagi.

Ada pihak mencemuh kononnya, kecenderungan media arus perdana menyebelahi kerajaan mengundang "bacaan talkin" dipercepatkan. Mungkin benar. Mungkin tidak. Apakah hanya penyokong pembangkang sahaja diambil kira? Bagaimana penyokong kerajaan yang berterusan setia kepada akhbar arus perdana? Tidak penting untuk dimasukkan dalam penghujahan pencemuh tersebut?

Tetapi sekiranya anda perhatikan, di kala keasyikan orang kepada Facebook dan Youtube sebagai wadah penyampaian berita, pada masa sama semakin meningkat kegelisahan orang ramai ekoran berleluasanya gejala berita palsu.

Berita palsu ini merangkumi semua. Orang tidak mati, dilapor mati. Ada hadis indah sekali bunyinya, tetapi didapati tidak wujud. Tersebar petikan ucapan individu yang dijadikan bahan tular, rupa-rupanya diambil ‘sekerat’ dan lari daripada konteks. Tular dan tular tetapi kandungannya palsu belaka.

Berbeza dengan media tradisional. Seandainya berlaku ‘kesilapan’ atau ‘ketidaktepatan’, anda boleh membawa kes kepada pihak berkuasa. Berita palsu di media sosial, bagaimana pula? Andai dapat dikesan sekali pun kemudiannya, pesalah memadai sekadar ucap ‘minta maaf’ dan esok buat lagi.

Dalam konteks ini, beberapa kriteria yang pengamal media kesan dalam tempoh 12 bulan lalu, meyakinkan sebilangan orang sudah "kembali" kepada akhbar arus perdana. Tidak besar, tidak juga kecil tetapi cukup untuk memperlahan "kematian".

Selain faktor di atas, barometer boleh digunakan terhadap minat berterusan syarikat-syarikat untuk menempatkan berita mereka di dalam akhbar arus perdana. Entiti yang selamba mengetepikan akhbar arus perdana sedar projek mereka akan tidak sampai ke pengetahuan sasaran audiens hanya dengan bergantung kepada media sosial.

Jadi, untuk mencemuh media arus perdana sebagai tiada pengaruh lagi, mungkin tidak salah berasaskan angka jualan yang semakin menyusut.

Jika begitu jelek pandangan mereka terhadap media arus perdana, usahlah sibuk menjemput ke sidang akhbar mereka lagi. Lupakan media arus perdana. Pergilah kepada media sosial.

Mungkin CEO akan turut sama terkesima melihat beribu-ribu LIKE, seandainya itu diterjemahkan sebagai hasil jualan syarikat. Tetapi benarkah LIKE itu bernilai berjuta-juta ringgit?