Malah, ada yang sanggup tidur berdekatan kaunter tiket. Ada juga yang menunggu di stadium sejak pukul 11 malam walaupun tiket hanya mula dijual pada 9 pagi esoknya. Semuanya bagi memastikan tidak ketinggalan mendapat tiket menyaksikan perlawanan antara skuad Lang Merah dan Harimau Selatan. Dikatakan 400 bas akan mengangkut penyokong Kedah ke Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.

Begitulah apabila manusia dirasuk cinta, lautan api akan direnangi dan pelbagai halangan pasti dilalui. Tidak sabar rasanya menunggu esok, masa terasa bagaikan me­rangkak bergerak.

Islam tidak melarang umatnya bersukan. Cuma alangkah baiknya, semangat dan ‘kegilaan’ peminat ter­hadap bola sepak itu turut diterjemahkan dalam pelaksanaan ibadat terutama dalam bab solat. Setakat ini belum pernah kita melihat orang ramai atau jemaah berkumpul sebagai mana peminat yang menyerbu kaunter tiket di sta­dium di Alor Setar dan Larkin, Khamis lalu.

Seingat penulis, tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana masjid di Malaysia, makmum siap sedia membanjiri pekarangan masjid menunggu solat Jumaat sejak malam Khamis lagi. Belum pernah juga para jemaah berbaris menunggu untuk solat subuh Jumaat dua tiga jam sebelum masuk waktu walaupun di sesetengah negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Jumaat.

Hal yang demikian disebabkan kita masih gagal men­cintai Allah dan Rasul-Nya melebihi diri sendiri. Walhal orang beriman itu sangat cintakan Allah dan Nabi SAW. Sentiasa meletakkan perintah dan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasu­­­­­­­­l-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (at-Taubah: 24)

Alangkah molek jika semangat berkobar-kobar para pencinta bola sepak itu dijelmakan dalam setiap perlakuan ibadat kepada Allah. Pastinya, terpancar keindah­an Islam apabila masjid-masjid yang gah dibina dipenuhi setiap inci ruangnya dengan orang yang solat berjemaah lima waktu sehari semalam. Malangnya, hal sebegini tidak berlaku. Masjid hanya penuh untuk solat Jumaat, solat sunat hari raya dan solat tarawih (itupun hanya 10 malam pertama). Pada waktu-waktu lain, hanya dua tiga saf masjid yang dipenuhi jemaah. Bakinya kosong. Walhal kita maklum antara ciri tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak adalah orang yang hatinya selalu terikat kepada masjid. (hadis riwayat Bukhari).

Orang begini tidak akan melepaskan setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardu berjemaah. Hatinya akan ‘resah dan gelisah’ apabila jauh dari masjid. Dia juga akan sedih sekiranya tidak boleh ke masjid pada waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis ilmu diadakan.

Justeru, mari kita perbaiki diri dengan meletakkan ke­utamaan mencintai Allah dan rasul-Nya mengatasi yang lain. Dengan demikian, barulah kita dapat merasakan kelazatan beribadat. Sebabnya, ganjaran pahala beribadat itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebagai menambah motivasi diri, hayati sabda Nabi SAW yang bermaksud:

• Sekiranya manusia mengetahui tentang pahala yang terdapat pada azan dan saf pertama dalam sembahyang, kemudian untuk mendapatkannya mereka perlu membuat pengundian, sudah tentu mereka akan membuat pengundian.

• Sekiranya mereka mengetahui tentang pahala bersegera dalam mendirikan sembahyang, nescaya mereka akan berlumba-lumba mengerjakannya.

• Dan sekiranya mereka mengetahui tentang kelebihan sembahyang isyak dan subuh, nescaya mereka akan me­nunaikan kedua-duanya (secara berjemaah), walaupun me­reka terpaksa datang secara merangkak. (Hadis disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim).