Yalah, hidup ini tetap jalan juga walaupun tidak mempunyai akaun media sosial atau diblock oleh mana-mana kawan atau sebenarnya bukan kawan dalam Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain. Bergaduh pasal media sosial, misalnya, ini soal terlalu remeh. Kita bukan dikuasai oleh hal-hal sebegini. Dan kegembiraan kita dalam hidup ini pun bukan bergantung pada aktif atau tidaknya kita di situ. Bukan.

Melayari laman media sosial pada bulan ini, topik dan gambar paling hangat, bukan lagi cerita kenapa Zamani tak menang Gegar Vaganza atau bila mahu mansuh tol ni? Kasut hitam atau putihkah? Itu pun kena masuk dalam buku Sejarahkah? Bukan juga. Sekarang ini, semua orang mahu tunjuk mereka sekeluarga sedang dalam percutian. Di luar negara atau dalam negara.

Saya sendiri tumpang seronok melihat gambar-gambar yang dimuat naik dalam media sosial. Syukur, Alhamdulillah, rakyat negara ini ramai juga yang mampu ke luar negara, walaupun ramai yang mengakui sendiri dan bising-bising di laman sosial, kos sara hidup tinggi dan merungut-rungut duit tak cukup. Tapi tiba-tiba, nampak di FB membeli-belah di Bicester Village, UK!

Sebenarnya, demi menggembirakan hati ahli keluarga, kita sanggup buat apa saja. Itu hakikatnya. Soal, duit cukupkah selepas percutian tersebut, untuk kelangsungan hidup pada bulan-bulan selepasnya, tolak tepi dulu. Itu boleh fikir kemudian. Lainlah, orang yang memang bergaji besar.

Ya, betul bulan ini adalah bulan percutian. Cuti sekolah. Inilah masanya untuk berkumpul bersama keluarga, sesekali bercuti mengeluarkan duit yang banyak, apalah salahnya. Saya amat menyanjung tinggi orang yang mengutamakan keluarga. Siapalah kita tanpa keluarga.

Tetapi kadang-kadang, saya fikir ada juga yang agak keterlaluan dalam menunjuk segala macam aktiviti keluarga pada musim cuti ini dalam media sosial. Nampak anak-anak biasa-biasa saja, ibu bapa yang lebih-lebih. Apa tujuan mempamerkan semua? Fikirlah sendiri.

Seseorang memberitahu kepada saya, dia memuat naik gambar percutian atau apa saja dalam akaun media sosial, sebagai album keluarga. Kalau ada 40 gambar, 40 gambar juga dia masukkan. Baguslah, satu dunia boleh lihat gambar-gambar itu.

Entahlah, kalau saya, ini kalau sayalah, tak beritahu orang ke mana saya pergi. Bukan hendak berahsia sangat, tetapi lebih kepada privacy. Tetapi itulah, bukan semua orang suka begitu. Ada yang mahu begitu terbuka, ada pula yang mahu tutup terus. Hak masing-masing. Dan kita dalam bab-bab hak ini memang cukup jaga dan sensitif. Jangan cuba pertikai.

Saya pernah dengar perbualan budak-budak. Musim sekolah sebelum inilah. Bunyinya lebih kurang macam ini:

“Pergi mana cuti sekolah? Kita pergi Hong Kong,’’ kata seorang budak. Yang seorang lagi menjawab: “Kita pergi Kuala Pilah, kita tak kaya macam awak.’

Dan saya rasa bila buka sekolah nanti, perbualan seperti ini akan popular dalam kalangan anak-anak.

Teringat saya kisah beg Smiggle dulu dalam media sosial jugalah. Seorang bapa mengeluh, anaknya rasa rendah diri kerana tidak ada beg jenama mahal itu, sedangkan kawan lain, mampu menggalasnya. Dan ibu bapa pemilik beg smiggle itu, memberitahu anaknya, hanya orang kaya saja boleh membeli beg tersebut.

Harap-harap, cerita macam Antara dua darjat ini tak timbul lagilah. Budak-budak jangan diajar begitu. Berapa banyak harta pun kita ada dan berapa banyak duit kita dalam bank, cakap biarlah merendah diri dan selalunya perangai ibu bapalah yang ditiru atau diikut oleh anak-anak, bukan nasihat.