Semasa pusingan ketiga Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas Malaysia berjalan, negara kita menerima banyak syor untuk menambah baik takat pemakaian hak beragama termasuklah dengan memberikan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama secara bebas. Antara negara yang menyebut tentang isu ini adalah Amerika Syarikat yang turut menyuarakan kebimbangan berkenaan dengan sikap tidak bertoleransi Malaysia dalam hal kepelbagaian agama.

Benarkah Malaysia negara yang tidak bertoleransi dalam beragama? Ramai yang mempermainkan isu perebutan milikan tanah Kuil Sri Maha Mariamman sebagai isu perkauman sehingga melibatkan agama.

Lebih keruh lagi apabila ada politikus yang dengan bebal memainkan isu ini bagi memperkukuhkan agenda masing-masing. Entah bagaimana nama ‘Muslim’, ‘Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)’ dan ‘Melayu’ dimomokkan sehingga menjadi bahan bakar untuk menaikkan rasa marah antara kaum Melayu di negara ini.

Daripada mulanya hanyalah isu persendirian tentang pencerobohan dan rumah ibadat, kini isu ini bercambah lebih besar. Pihak yang manakah yang tidak segan dengan peruntukan perundangan dan Perlembagaan? Sedangkan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan kebebasan kepada semua penganut mana-mana agama untuk beramal namun di bawah Perkara 11(5), kebebasan ini adalah dengan had bahawa amalan agama itu tidaklah boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Maka selagi mana sesuatu agama masih diselia dengan baik untuk kehidupan harmoni masyarakat Malaysia yang majmuk ini, tiada yang salah dengan kepelbagaian agama. Toleransi masyarakat Melayu yang fitrahnya beragama Islam ini juga tidak pernah memandang agama lain dengan rasa cemburu. Maka tidak pelik apabila dinyatakan ada ratusan ribu kuil didirikan untuk penganut Hindu di seluruh negara walaupun penganut Hindu berjumlah tidak sampai tujuh peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Itulah maksud toleransi dalam membenarkan penganut Hindu selesa mengamalkan agama mereka selagi mana menjaga ketenteraman dan kesihatan awam, serta prinsip moral. Namun apabila toleransi itu diperkotak-katikkan sebagai alat untuk menidakkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, maka yang timbul hanyalah rasa tidak puas hati dan rasa khianat sesama rakyat Malaysia.

Dalam pada meleraikan permasalahan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman agar tidak berlanjutan kepada insiden yang lebih besar dan teruk, ramai yang tidak sedar akan pelepasan semula empat warga Finland yang ditahan di Langkawi baru-baru ini. Mereka pada asalnya ditahan atas kesalahan mengedarkan pen dan buku risalah yang mengandungi petikan Injil kepada orang awam.

Penahanan mereka adalah susulan laporan polis yang dibuat orang awam berlandaskan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Keputusan Peguam Negara melepaskan empat individu ini berkemungkinan dibuat selepas mengambil kira perjuangan hak asasi manusia yang menegakkan kebebasan beragama. Tetapi adakah ini keputusan terbaik yang mengimbangi di antara tuntutan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang Malaysia?

Malaysia akan menempuh tempoh lima tahun ini dengan memberikan komitmen memperteguhkan lagi kedudukan hak asasi manusia di negara ini. Komitmen negara haruslah bijak diimbangi dengan menghormati Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, bukannya semberono mengangkat tuntutan hak asasi semata-mata sebagai dakyah baharu yang menggantikan jati diri orang Malaysia.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.