Peluang yang ada saya gunakan untuk berbual dengan orang ramai bagi memahami dan mendalami politik setempat.

Pada kebanyakan masa juga mereka akan belanja saya sarapan, itu bahagian paling saya suka tentang Port Dickson. Ha ha ha. Makannya lazat, harga berpatutan, penduduknya peramah.

Satu hal yang saya pelajari, penduduk Port Dickson kurang gemar menghadiri ceramah politik, mereka lebih gemar keluar pagi-pagi bersarapan dan berborak dengan rakan taulan tentang politik.

Pada awal kempen saya hairan kerana kehadiran ceramah politik kurang memberangsangkan. Pada fikiran saya timbul persoalan berlaku penolakan calon luar. Namun telahan saya itu salah. Orang Port Dickson tidak gemar hingar-bingar ceramah politik.

Mereka lebih menyukai sentuhan yang lebih secara peribadi iaitu duduk dan berborak di kedai kopi.

Kadangkala analisis mereka lebih dalam dan tajam daripada pemerhati politik.

Di sini saya catatkan beberapa analisis mereka.

Ada yang meramalkan Datuk Seri Anwar akan menang besar. Ada juga yang berkata Tan Sri Isa Samad.

Bermakna calon Pas dan Bebas yang lain tidak ada peluang dan kemungkinan besar akan hilang wang pendahuluan.

Ada yang berhujah siap dengan angka. Isa akan memperolehi sekitar 12,000 undi, Pas 5,000 undi dan calon Bebas lain termasuk Mohd Saiful Bukhari Azlan total akan memperolehi 3,000 undi sahaja.

Bermakna keseluruhan undi diperolehi lawan Anwar adalah sekitar 20,000 undi.

Selebihnya daripada kira-kira 75,000 pengundi di Port Dickson akan mengundi Anwar. Jika peratusan keluar mengundi kira-kira 70 peratus, Anwar masih menang selesa.

Sekian dapatan saya untuk seminggu, analisis kedai kopi mungkin berubah di saat akhir menjelang pengundian.

Bagaimanapun saya dan korum kedai kopi berkongsi kebimbangan sama, iaitu pengundi luar yang pulang akan merosot kerana tarikh pengundian 13 Oktober, ketika kebanyakan poket mulai kering, sedangkan gaji masih lambat.

Jika pulang dari Kuala Lumpur sahaja minyak dan tol pasti mencecah RM50 pergi balik.

Ketika kantung kering jumlah ringgit itu adalah besar nilainya.

Tapi pengundi Port Dickson saya seru pulanglah mengundi. Anda bukan sahaja memilih pemimpin anda, tetapi bakal Perdana Menteri kelapan. Ha ha ha... saya pun sudah bercakap seperti orang politik.