Kita juga akan dapat mendengar semula lagu Tanggal 31, Malaysia Oh Tanah Airku, Perwira, Barisan Kita dan beberapa lagu lain yang sudah sinonim dengan sambutan Bulan Kebangsaan di corong radio dan di televisyen yang mampu menaikkan semangat kita. Anak-anak kecil di tadika pun sudah dapat menghafal serta menyanyikan lagu Tanggal 31. Ini memperlihatkan kepada kita bahawa generasi muda di negara kita terdidik dengan sambutan Bulan Kebangsaan sejak kecil lagi.

Dalam pada itu, pelbagai pihak sedang bersiap sedia menyambut Bulan Kebangsaan dengan pelbagai acara. Sama ada di peringkat kampung, daerah, negeri atau nasional, pelbagai acara yang sebelum ini selalu diada­kan akan diadakan lagi sebagai tanda menghargai kemerdekaan tanah air.

Sambutan Bulan Kebangsaan sangat penting bukan ha­nya sebagai tanda meraikan kemenangan negara mencapai kemerdekaan, tetapi sebagai satu didikan kepada generasi baharu agar menghargai pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu serta berusaha mempertahan­kan ta­nah air daripada cengkaman penjajah.

Oleh itu, pengisi sambutan Bulan Kebangsaan mestilah dilakukan seperti sebelumnya ataupun diadakan penambahbaikan supaya selaras dengan kehendak semasa. Sebelum ini, pelbagai pihak mengadakan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai acara termasuklah agensi kerajaan, badan-badan swasta, kerajaan negeri, peringkat daerah dan kampung.

Pelajar-pelajar sekolah pula mengisi sambutan de­ngan pelbagai acara seperti deklamasi sajak, pengisahan sejarah, kuiz, persembahan drama pentas dan keceriaan kelas. Semua ini menunjukkan bahawa sambutan Hari Kebangsaan sangat penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, oleh sebab pada bulan Ogos sudah bermula peperiksaan percubaan bagi peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 dan juga Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, pihak sekolah terpaksa mengurangkan aktiviti sambutan tersebut. Sambutan biasanya dilakukan oleh pelajar yang tidak terbabit dengan sebarang peperiksaan.

Bagi golongan belia pula, mereka mestilah berusaha mengadakan pelbagai aktiviti yang sesuai dengan sambutan tersebut. Tidak semestinya rasa cinta akan tanah air diterjemahkan menerusi kibaran Jalur Gemilang sahaja tetapi pelbagai cara lain boleh dilakukan oleh golongan ini sebagai meraikan ulang tahun kemenangan negara

Di kampung-kampung terpencil, sukar dapat kita lihat sambutan seperti ini diadakan oleh anak-anak muda kecuali sambutan yang diadakan di sekolah. Keadaan ini bo­leh diperbaiki dengan mengambil kira penglibatan go­longan belia untuk menghidupkan sambutan di peringkat kampung.

Tegasnya, sambutan Bulan Kebangsaan tidak semestinya tertumpu di bandar-bandar utama, di pekan-pekan, atau di negeri-negeri padat penduduk sahaja, tetapi mesti diadakan secara menyeluruh dan membabitkan pelbagai golongan masyarakat.

Oleh hal demikian, ketua penduduk di sesuatu kawasan mestilah memikirkan cara-cara untuk menghidupkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menyediakan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan masyarakat setempat dan menjurus ke arah semangat cinta akan negara.

Ibu bapa mestilah berusaha menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti-aktiviti dalam sambutan Bulan Kebangsaan supaya generasi muda memahami kepenti­ngan sebuah negara merdeka, menghargai pemimpin, jasa pejuang dan berusaha mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi.

Tegasnya, semua pihak mesti memainkan peranan ma­sing-masing dalam usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan demi menyampaikan mesej setia kepada negara.