Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 dijadikan pengajaran cukup berharga betapa pentingnya rakyat Malaysia hidup bersatu. Peristiwa pahit itu diatasi dengan bijaksana melalui meja rundingan membabitkan pemimpin pelbagai kaum.

Hasilnya lahirlah apa yang dinamakan ‘kejuruteraan sosial’ yang memberikan kesan yang cukup signifikan terhadap perpaduan rakyat di negara ini. Hampir semua dasar yang dirangka dan dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei itu adalah bersifat nasional dengan matlamat memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan seperti Rukun Negara (ideologi negara), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Nasional, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Nasional, Dasar Perpaduan dan Integrasi Nasional serta pelbagai dasar yang lain adalah bertujuan membentuk negara dan masyarakat Malaysia yang bersatu, demokratik, liberal, progresif, saintifik, adil dan saksama.

Perpaduan yang kukuh dan kestabilan politik yang dinikmati selama ini memberi ruang yang cukup sihat untuk kerajaan melaksanakan segala dasar pembangunan dengan lancar dan berkesan. Keadilan sosial yang menyeluruh untuk semua kaum begitu terserlah dan dirasai oleh setiap lapisan rakyat.

Walaupun dalam masa-masa tertentu wujud suara-suara pelampau yang cuba melemahkan solidariti rakyat dengan cara membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan, namun hal itu berjaya dibendung dengan baik. Pasukan keselamatan negara bekerja dengan penuh dedikasi bagi memelihara negara ini daripada sebarang bentuk ancaman subversif dan golongan pelampau agama dan kaum.

Hakikatnya, solidariti rakyat yang tinggi berjaya mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat. Majoriti rak­yat tidak termakan dakyah jahat yang cuba dimainkan oleh musuh negara, sama ada musuh dari dalam mahupun dari luar.

Tuduhan tidak berasas se­perti kerajaan mendiskriminasikan golongan minoriti atau kaum-kaum tertentu sukar diterima rakyat kerana mereka memahami bahawa rakyat di negara ini diberi peluang seluas-luasnya untuk memajukan diri dan negara. Dasar Sosial Negara (DSN) yang diperkenalkan kerajaan membuka ruang kepada setiap anggota masyarakat memperkembangkan potensi diri secara optimum dalam persekitar­an sosial yang sihat berdasarkan unsur-unsur bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermo­ral, bertoleransi, progresif, pe­nyayang, adil dan saksama.

Selari dengan gagasan 1Malaysia yang mendukung falsafah “Rakyat Didahulukan, Pencapai­an Diutamakan”, usaha memperkukuh perpaduan rakyat terus diperkukuh. Realitinya, perpaduan rakyat memang terserlah. Ini terbukti dengan solidariti yang ditunjukkan rakyat apabila negara diancam musuh seperti dalam peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, tragedi kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa pesawat MH17 ditembak di Ukraine beberapa tahun lalu.

Namun, perpaduan sering diganggu-gugat oleh permainan politik yang tidak matang dan tidak mengutamakan kepenting­an nasional. Media sosial dijadikan saluran untuk mencetuskan provokasi perkauman dan keagamaan, menyebarkan fitnah dan kebencian politik.

Kesan daripada permainan politik yang tidak matang, pe­nyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti hubungan etnik di negara ini menyebabkan perpaduan rakyat sedikit tergugat. Namun, perkara itu tetap berbahaya kerana artikulasi perkauman yang berterusan melalui media sosial dan politik kebencian yang tidak dibendung boleh mengundang pertembungan fizikal dalam bentuk rusuhan kaum.

Justeru, sambutan Hari Kebangsaan 2016 mengekalkan tema tahun lalu, iaitu ‘Sehati Sejiwa’ bertujuan memperkukuh solidariti atau perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Tema ini penting dihayati terutama dalam konteks memperkukuh semangat patriotisme kepada negara. Tema itu sepatutnya dapat menggerakkan dan menyema­rakkan perasaan persefahaman, kekitaan, kasih sayang serta hormat-menghormati dalam kalang­an rakyat di negara ini.

Kita harus ingat bahawa proses menyatukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bukannya satu usaha yang mudah. Hal itu me­nuntut penyatuan tenaga, fikiran dan pengorbanan dalam kalangan anggota masyarakat. Orang yang bijaksana akan selalu ingat bahawa meruntuhkan sesuatu itu memang mudah tetapi untuk membinanya kembali adalah sesuatu yang sukar.

Oleh itu, perkara pokok yang perlu ada dalam fikiran setiap kaum di negara ini ialah kesedaran tentang betapa pentingnya perpaduan sebagai prasyarat utama untuk hidup harmoni dan sejahtera di negara ini. Semua pihak mesti mengutamakan kepenting­an nasional lebih daripada kehendak atau kepentingan kelompok atau etnik masing-masing.

PENULIS ialah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.