Berpaksikan kepada amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rashid Seman, penjawat awam mestilah mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Sebagai tulang belakang kepada kerajaan, kata beliau, setiap penjawat awam seharusnya bersama-sama men­dukung dasar-dasar dan memastikan pelaksanaan program dan projek pembangunan secara tuntas untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ironinya, amanah yang diberikan itu bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya seluruh kakitangan awam perlu memberikan komitmen dan memiliki keazaman tinggi daripada segenap aspek dalam meningkatkan prestasi serta menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berpaksikan rakyat. Meletakkan tugas rasmi sebagai keutamaan sebaik kaki melangkah ke tempat kerja, mereka akan dipandang tinggi kerana mengotakan janji untuk merakyatkan sektor awam.

Jika 2017 hangat dengan pelbagai kontroversi membabitkan kakitangan awam termasuk bertaraf Ketua Setiausaha, diharapkan 2018 tidak dicemari dengan isu penjawat awam bergari direman di mahkamah.

Tambahan pula, dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober lalu, jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam mendukung kemajuan negara sama sekali tidak dilupakan dengan pengumuman beberapa inisiatif. Antaranya:-

• Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;

• Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib

• Membenarkan gantian cuti rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan;

• Menaikkan kadar cuti rehat khas bagi pegawai perkhid­matan pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;

• Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah;

• Untuk memberi fleksibiliti, kerajaan akan menambah satu lagi waktu kerja berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;

• Pakar perubatan gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan waktu kerja fleksi;

• Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan pulang lebih awal sejam dan suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam;

• Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun;

• Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan kursus sarjana dan PhD secara in-house;

• Menaikkan kadar pencen terendah kepada RM1,000 sebulan melibatkan lebih 50,000 pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan

• Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara kerajaan.

• Bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018, dan RM500 menjelang Hari Raya Aidilfitri dan kepada pesara kerajaan, bayaran khas seba­nyak RM 750, iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.

Meminjam kata-kata, orang memberi kita merasa, amat molek sekiranya kakitangan awam bertugas dengan penuh integriti selepas pelbagai keistimewaan disediakan oleh pemerintah.