Pada tahun ini, penulis meraikan hari bersejarah itu di kota suci Mekah bersama petugas-petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Mekah.

Sambutan diadakan di Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji Mekah disertai hampir 600 petugas yang bertanggungjawab menguruskan 22,320 jemaah haji Malaysia.

Namun sementara Hari Kebangsaan diraikan, dalam masa yang sama mereka turut diperingatkan untuk memperbaharui ikrar bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji. Apatah lagi seluruh jemaah haji akan berwukuf Arafah.

Dalam apa yang dipanggil operasi masyair itu, pengurusan Tabung Haji mula mempertingkatkan persiapan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Penulis dapat melihat bagaimana gigihnya petugas-petugas Tabung Haji melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Sememangnya operasi masyair amat penting kerana perkara itu adalah rukun wajib haji. Jemaah perlu dipastikan berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Dengan tenaga 600 orang petugas bagi menjaga kebajikan dan hal ehwal 22,320 orang, perkara itu bukanlah tugas yang mudah, tetapi seperti mana seruan Ketua Rombo­ngan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, mereka perlu mempunyai semangat tentera Islam dalam Perang Badar - jumlah yang kecil tetapi berjaya menum­paskan tentera musuh yang jauh lebih ramai jumlahnya.

Semangat ‘Perang Badar’ itulah selama ini tersemat dalam sanubari petugas-petugas Tabung Haji. Walaupun jumlah mereka kecil dan memikul beban tugas yang besar namun mereka tetap gigih melaksanakan amanah itu.

Misi mereka bukan sahaja bagi memastikan imej Malaysia terus kekal sebagai negara yang mempunyai jemaah haji paling berdisiplin tetapi juga memperoleh haji mabrur.

Berdasarkan pengumuman kerajaan Arab Saudi, hari Wukuf ditetapkan pada 11 September bersamaan 9 Zulhijjah, ini bermakna petugas-petugas haji mempunyai masa sekitar seminggu sahaja lagi bagi membuat persiapan terakhir.

Ini memandangkan mengikut perancangan jemaah haji akan bertolak ke Arafah pada 10 September iaitu sehari sebelum wukuf bermula.

Bagaimanapun bagi penulis yang ‘berkampung’ di Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji sejak awal bulan lalu, tiada sebarang keraguan yang wujud berhubung kemampuan petugas-petugas melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Apa yang penting ialah kerjasama sepenuhnya daripada jemaah-jemaah haji bagi memastikan pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina berjalan lancar.

Petugas Tabung Haji bukan sahaja akan menguruskan perjalanan mereka dari segi fizikal malah juga kerohanian (bimbingan ibadah) agar keberangkatan mereka ke Arafah tidak menjadi sia-sia.