MUSTAFAR: Ketetapan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak ada pemutihan. Sebab itu 30 Ogos baru-baru ini bila tamat tempoh program 3+1, sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2018, kita berusaha memerdekakan negara kita daripada PATI.

Itu adalah komitmen kita. Bukan senang. Kerana hari ini masuk sebagai pelancong, dia bekerja sebagai pelacur, esok sudah jadi PATI. Masuk sebagai pelajar tetapi dia bekerja di kelab malam, esok jadi PATI.

Memang sukar tetapi komitmen kita memerlukan gabung jalin daripada semua orang. Tidak boleh hanya mengharapkan JIM.

Adakah kajian pernah dibuat bagi menentukan anggaran bilangan PATI di negara ini?

MUSTAFAR ALI
MUSTAFAR ALI 

MUSTAFAR: Sekarang ini kita ada 1.8 juta orang pekerja asing. Bila tanya berapa bilangan PATI, saya tidak tahu. Macam mana hendak menentukan bilangan PATI? Sebab itu operasi dijalankan secara berterusan.

Semasa program E-Kad dijalankan pada 30 Jun 2017, sasaran saya ialah untuk membersihkan antara 400,000 hingga 600,000 PATI. Tetapi kita dapat 108,000 orang sahaja yang berdaftar untuk E-Kad. Sebab itu, semasa operasi demi operasi dibuat, kita tangkap.

Baru-baru ini, kejadian tanah runtuh berlaku lagi di Cameron Highlands. Antara puncanya, kebanjiran warga asing. Apakah terdapat ramai PATI di kawasan pelancongan itu?

MUSTAFAR: Dulu pernah apabila berlaku tiga kematian akibat banjir lumpur dan kemudian empat orang.

Terbukalah mata kenapa benda itu berlaku kerana adanya penarahan atau penerokaan tanah secara berleluasa sehingga dikaitkan dengan pekerja warga asing termasuk PATI. Apabila terlalu ramai warga asing, penempatan mereka tidak dikawal dengan baik.

Apabila warga asing duduk terlalu ramai dalam satu rumah, penempatan mereka kotor dan sampah dibuang ke tepi sungai sehingga berlaku mendapan sampah. Itu merupakan antara punca berlaku banjir lumpur dan kilat baru-baru ini.

Suatu ketika dahulu Cameron Highlands merupakan satu tempat pelancongan yang menarik tetapi sekarang ini ‘hutan batu’ dipenuhi dengan bangunan dan bukit ditarah. Apakah masyarakat hendak tengok bangunan atau flora dan fauna?

 

Sejauh mana kebenaran dakwaan bahawa ada kebun sayur di Cameron Highlands dimiliki oleh warga asing?

MUSTAFAR: Ada sesetengah itu 'ali baba’ dan sesetengah itu dimiliki oleh orang di luar negara tetapi menggunakan pekerja asing di Malaysia.

Saya sebut tadi memutuskan rantaian kesalahan, warga asing yang tidak ada dokumen, menyalahgunakan pas dan sebagainya, itu tanggungjawab JIM.

Bercakap tentang 'ali baba' kalau premis perniagaan itu tidak dibenarkan untuk ditadbir oleh warga asing, bukan dalam bidang kuasa JIM tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) misalnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Berapa banyak serbuan kita buat. Macam tadi (baru-baru ini) di Plaza Low Yat. Kalau warga asing tidak boleh menjalankan perniagaan di Plaza Low Yat, sepatutnya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau DBKL sita tempat itu.

Dalam memutuskan rantaian kesalahan, kita tidak boleh bertindak keseorangan.

Oleh sebab isu ini, apakah JIM akan menambah kekerapan operasi di Cameron Highlands bagi menangkap PATI?

MUSTAFAR: Operasi demi operasi dibuat secara berterusan dan banyak operasi telah dijalankan. Kali terakhir pada 11 Oktober lalu. Kita tahan 44 orang PATI yang terdiri daripada 40 orang lelaki dan empat orang perempuan. Yang paling penting, kita turun menahan majikan kerana melindungi dan menggajikan PATI.

Saya sudah lihat cawangan JIM di Cameron Highlands. Satu pejabat mengeluarkan pasport dan satu lagi ialah pejabat penguat kuasa.

Walaupun sumber kita tidak cukup, oleh sebab tempat ini berisiko tinggi dan penting untuk negara, kita tarik pegawai-pegawai dari ibu pejabat dan tempat-tempat lain termasuk dari Pahang untuk ditempatkan di situ.

Buat permulaan, kita tempatkan 15 orang pegawai untuk menguruskan tempat itu.

 

Apakah pendekatan terbaik bagi menangani masalah warga asing termasuk PATI di Cameron Highlands?

MUSTAFAR: Ramai orang termasuk saya mengatakan ini merupakan satu pendekatan “memadamkan api”. Kita hendak menangani permasalahan, memang betul tindakan penguatkuasaan dan punitif penting. Tapi strategi pencegahan daripada awal juga penting.

Macam tadi saya sebut, berapa ramai keperluan pekerja asing? Kedua, sistem prosedur strategi. Sudah ada sistem itu.

Untuk membuka satu-satu kawasan dengan berapa ramai pekerja, ada jumlah keluasan tanah diperlukan. Tanah itu pula mesti dipunyai oleh orang tertentu sama ada tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau ada geran.

Ketiga, pokok apa hendak tanam. Tengok orang putih, mereka tanam pokok teh di kawasan cerun sebab akar pokok teh memegang tanah. Kita tanam sayur. Apabila sayur dituai, akar dicabut maka tanah terdedah.

Mereka guna plastik dan apabila tidak ditadbir dengan baik, satu corong terus ke hujung maka mencurah-curah air ke satu tempat. Hakisan berlaku di situ.

Aspek pendidikan juga penting. Masyarakat di Cameron Highlands perlu dididik bahawa ini negara kita. Warga asing boleh datang dan pergi. Kalau kita tak jaga kawasan kita, siapa hendak jaga.

Warga asing mengeksploitasi Akta Imigresen dengan berkahwin dengan rakyat tempatan bagi menjalankan perniagaan di sini. Sejauh mana seriusnya perkara ini?

MUSTAFAR: Selepas beberapa tahun pengalaman kita meneliti macam mana orang asing dapat pas permit masuk dan pemastautin tetap (PR), selama ini kita tahu permohanan itu selepas keberadaan mereka lama di negara kita, sudah berkahwin dan ada anak.

Tapi ada satu modus operandi dipanggil marriage of convenience iaitu berkahwin semata-mata untuk mendapat keistimewaan.

Selepas itu mereka akan membuat permohonan tertentu seperti permohonan permit masuk, PR dan selepas beberapa tahun mereka akan dapat kad pengenalan biru.

Sebagai contoh, Kelantan antara disebut paling banyak orang Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan.

Bila berkahwin, warga tempatan itu ada lesen kedai runcit, kedai kain dan sebagainya tetapi yang menjaga perniagaan adalah orang Pakistan.

Selepas sudah berjaya dalam perniagaan, mereka menceraikan isteri warga tempatan dan membawa isteri pertama dari Pakistan ke Malaysia.

Kebelakangan ini berlaku beberapa kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan dipandu warga asing. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh JIM?

MUSTAFAR: Mana-mana orang yang melakukan kesalahan lalu lintas yang banyak, ada ketetapan tertentu yang membolehkan kita mengusir mereka.

Sama seperti kes dadah, walaupun bukan kesalahan melibatkan imigresen tetapi apabila melibatkan warga asing, kita boleh bertindak untuk keluarkan dia dari negara kita kerana kesalahan dia dan kita senarai hitamkan.

Bagaimana pula dengan tapisan kemasukan mereka ke negara ini?

MUSTAFAR: Sekarang ini, bagi orang asing yang hendak datang bekerja di Malaysia, kita semak rekod mereka di negara kita. Mereka belum masuk lagi, mana ada rekod? Untuk lebih proaktif, kita hendak tengok rekod dia di luar negara lagi.

Misalnya, dia pernah melakukan 14 kesalahan lalu lintas termasuk melanggar orang dan dituduh di mahkamah, penagih dadah dan penjenayah di negaranya.

Jadi, sebelum dia masuk ke Malaysia, kita sekat dia. Tapisan untuk membawa warga asing itu bermula sebelum masuk.

Yang ada sekarang untuk dibolehkan masuk ialah bioperubatan. Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) menentukan kesihatan mereka.

Kalau mereka diperiksa di luar negara tidak sihat, tidak boleh masuk. Kalau di Malaysia, Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Tapi apa yang saya sebutkan tadi adalah lebih daripada itu. Bukan sahaja rekod kesihatan malah rekod lalu lintas, jenayah dan dadah. Kalau rekod dia buruk, kita kata jangan terima dia. Jangan terima kerana dia akan bawa tabiat dia ke Malaysia.

Apakah cadangan tersebut telah dibincangkan secara serius untuk dilaksanakan?

MUSTAFAR: Saya sudah bincangkan tetapi hendak masuk dalam sistem negara luar, itu memerlukan perbincangan lanjut antara kerajaan dengan kerajaan.