Justeru dalam tempoh berbaki 11 bulan ini pucuk pimpinan parti yang diterajui oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh barisan kepimpinan lain terutama Ahmad Zahid ­merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden perlu bertindak segera menyelesaikan kemelut yang berlaku di mana-mana Bahagian UMNO.

Apapun penulis yakin pucuk pimpinan parti telah mempunyai senarai Bahagian UMNO yang perlu ‘diselamatkan’ segera serta formula terbaik untuk menyelesaikannya dalam usaha memastikan persiapan bagi menghadapi PRU-14 akan datang tidak terjejas.

Mahu tidak mahu kita perlu akui rakyat di luar sana khususnya pengundi-pengundi atas pagar termasuk ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi sedang memerhatikan perkembangan yang berlaku dari semasa ke semasa ter­utama gelagat pemimpin-pemimpin mereka.

Mungkin pada masa ini mereka tidak menunjukkan apa-apa reaksi tetapi jika masalah dalaman parti terus berlarutan jangan terkejut sekiranya ada di antaranya yang memilih calon parti pembangkang sebagai tanda protes.

Berbalik kepada kejayaan pucuk pimpinan mendamaikan dua pemimpin utama UMNO Bahagian Gombak, pendekatan yang sama perlu digunakan untuk mendamaikan mana-mana pemimpin UMNO Bahagian yang bertelingkah. Jangan biarkan keadaan menjadi barah, kelak UMNO dan BN juga yang rugi.

Sebaik-baiknya digerakkan oleh pemimpin-pemimpin besar seperti yang dilakukan oleh Ahmad Zahid di UMNO Bahagian Gombak. Sebagai abang kepada kedua-dua pemimpin itu, Ahmad Zahid berjaya menjalankan pe­ranannya sebagai pendamai bagi kedua-duanya.

Kepada Abdul Rahim dan Megat Zulkarnain, amatlah diharapkan mereka segera melupakan segala sengketa yang berlaku sebelum ini demi memastikan Parlimen Gombak yang kini disandang oleh Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Rapatkan semula ikatan perpaduan khususnya dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi. Tunjukkan keikhlas­an dan keinsafan yang kita benar-benar sudah berdamai.

Meskipun usaha merampas semula Parlimen Gombak bukan tugas mudah atas faktor sebagai kubu kuat pembangkang namun tidak mustahil kerusi itu mampu dirampas semula oleh BN asalkan kedua-dua pemimpin berkenaan bekerjasama rapat.

Dalam perkembangan lain, ada sahabat penulis mencadangkan agar UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama dalam PRU-14 kali ini mengikut bentuk yang dipersetujui oleh kedua-dua parti tersebut. Sama ada secara sembunyi atau terang-terangan terpulang kepada kedua-dua parti. Pilih mana yang lebih selesa.

Tujuannya bagi memastikan kuasa politik Melayu Islam dapat dikekalkan. Langkah ini juga berkaitan dengan kelangsungan Islam dan hak istimewa orang Melayu yang selama ini kita mempertahankannya tanpa kompromi.

Kita tidak boleh mengharapkan PKR, PAN mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperjuangkan agenda penting tersebut walaupun ketiga-tiga parti itu ­didominasi oleh pemimpin-pemimpin Melayu termasuk yang pernah berjuang bersama UMNO sebelum ini seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana ketiga-tiga parti berkenaan jelas bersekongkol dengan DAP apabila menjadi anggota Pakatan Harapan.

Selama ini pun kita sering mendengar terdapat pihak tertentu yang cemburu dengan keistimewaan yang dinikmati oleh Islam dan orang Melayu di negara ini. Malahan sudah kedengaran suara-suara yang berhasrat menghapuskan segala hak istimewa ini kemudian memperkenalkan konsep kesamarataan antara semua rakyat.

Paling menakutkan pihak terbabit mahu mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atas nama hak asasi. Justeru, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT melindungi negara ini daripada segala bencana tersebut. Amin.