Soal pokoknya masih sama – terlalu banyak calon berlumba-lumba mahu mengabdi diri menjadi wakil rakyat sedangkan kerusi dipertandingkan tidak berubah.

Yang paling menonjol ketika ini ialah kemunculan selebriti politik. Jika benar menjadi kenyataan, pilihan raya kali ini akan menyaksikan banyak selebriti politik menjadi calon.

Berada di tangga teratas ialah Maria Chin. Aktivis pembangkang yang bergerak agresif di bawah bendera Bersih ini disebut-sebut bakal menjadi calon PKR.

PKR merancang meletakkan Pengerusi Bersih berusia 62 tahun ini di kerusi selamat di Lembah Klang. Alasannya ‘pejuang’ pilihan raya bebas dan adil ini lebih dikenali di Kuala Lumpur dan Selangor.

Kedudukan sebagai Ahli Parlimen akan lebih memudahkan Maria mengangkat perjuangannya di tempat yang sewajarnya iaitu Parlimen. Lagipun PKR dan Pakatan Harapan perlu menunjukkan mereka benar-benar serius mahu melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya seperti yang selalu dicanangkan.

Kerusi yang disebut-sebut sesuai untuk beliau ialah Parlimen Batu, Petaling Jaya Selatan atau Kapar. Setakat ini, Maria belum menyatakan keputusannya.

Selain Maria, bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevesan, 62, juga ditawarkan menjadi calon parti ini. Cuma nama Ambiga yang juga bekas Presiden Badan Peguam dan seorang pejuang hak asasi kurang menonjol. Ini barangkali kerana beliau pernah menolak untuk menjadi calon pilihan raya.

Selebriti politik yang tak kalah popularitinya ialah Abdul Aziz Bari. Kali ini Aziz yang popular dengan label pakar Perlembagaan disebut-sebut bakal bertanding di DUN Selangor.

Bersesuaian dengan keperluan politik DAP, parti yang baru disertainya selepas keluar daripada PKR, Aziz dikatakan akan bertanding di DUN Paya Jaras. Bagaimanapun jalan menuju ke kerusi Menteri Besar yang diidam DAP itu tidak mudah.

DAP perlu bersaing dengan PAN terlebih dahulu di kerusi yang diwakili oleh calon Pas pada pilihan raya lalu. Kerusi ini antara penyebab perbincangan pembahagian kerusi antara PKR, DAP, PAN dan PPBM belum selesai sehingga kini.

Aziz yang kalah semasa mewakili PKR di Parlimen Sabak Bernam pada PRU-13 bagaimanapun bakal menimbulkan kontoversi ekoran kritikannya terhadap Sultan Selangor sebelum ini. Kalaupun menang, peluang untuk Aziz menjadi Menteri Besar masih bergantung kepada banyak percaturan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang barangkali menyedari strategi sulit ini dilaporkan telah membuat benteng untuk menahan laju gerakan Aziz. Nama Aziz dilaporkan telah digugurkan daripada menjadi Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya walaupun dicalonkan oleh DAP.

Seorang lagi selebriti politik DAP yang selalu menyerikan pentas pakatan pembangkang ialah Young Syefura Othman. Gadis cantik ini diberikan ruang seluas-luasnya bukan sahaja dalam DAP tetapi juga oleh Azmin. Jelas Azmin tidak melihatnya sebagai pesaing.

Disediakan

Lebih dikenali sebagai Rara, 29, dia kini ialah ahli lantikan Jawatankuasa DAP Selangor, Penyelaras DAP untuk DUN Dusun Tua dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang. Sudah terang lagi bersuluh, Rara memang sedang disediakan untuk bertanding di DUN Dusun Tua.

Sama isu yang dihadapi Aziz, jalan untuk menjadi wakil rakyat DAP penuh berliku kerana DUN Dusun Tua turut dituntut oleh PAN.

Berbanding dengan Maria mahupun Ambiga yang ditawarkan kerusi selamat, DUN Paya Jaras dan DUN Dusun Tua belum tentu menjadi milik mereka jika DAP berjaya dalam tuntutannya.

Saingan daripada Pas, apatah lagi UMNO sama sekali tidak boleh dipandang ringan. Lainlah jika mereka berdua dicalonkan di 15 kerusi yang kini milik dan merupakan kubu kuat DAP.

Berbeza dengan Rara, nasib selebriti DAP yang satu ini belum ketahuan. Setelah gagal dalam cubaan pertama di kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil 2014, Dyana Sofea Mohd. Daud tidak lagi menyinar.

Bukanlah isu prestasi kerja mahupun kegagalannya di Teluk Intan tetapi akibat kontroversi hubungan terlarang dengan Ahli Parlimen DAP yang kebenarannya masih menjadi tanda tanya setakat ini.

Kalaupun tidak dianggap liabiliti tetapi kontroversi itu menyebabkan Dyana yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu, sukar untuk menarik undi Melayu. Barangkali sebab itu namanya tidak lagi kedengaran disebut-sebut sebagai calon DAP.

Tidak kurang menonjol ialah aktivis yang selalu muncul dengan pemikiran kritis, Wan Saiful Wan Jan yang baru-baru ini memilih untuk menyertai PPBM. Tentu ada kira-kira di balik tabir antara bekas ahli seumur hidup Pas ini dengan PPBM.

PPBM pun memerlukan wajah baharu untuk menyolek semula parti ini yang sedang berkecamuk dengan masalah perbalahan dalaman. Barangkali bagi PPBM, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) yang baru meletakkan jawatan ini boleh membantu memulihkan imej parti itu.

Bagi Wan Saiful pula, inilah peluang terbaik untuknya menjadi calon pilihan raya setelah melihat ruang yang semakin sempit dalam Pas. Tentu sahaja sebagai pemikir yang banyak terdedah dengan hasil kajian politik, Wan Saiful lebih masak membaca peluang dan nasib politik serta perjuangan pembaharuan yang dibawanya.

Kita pun ternanti-nanti apa kisah seterusnya kepada selebriti politik ini yang lebih popular di luar kerangka parti politik. Mereka, atas apa juga alasan menambah warna politik Malaysia.

Eloklah mereka ini aktif dalam parti politik kerana tidak ada demokrasi tanpa politik dan tidak ada politik tanpa parti politik.