NAMA tempat menggunakan bahasa Inggeris bukan berpunca kerana
NAMA tempat menggunakan bahasa Inggeris disebabkan sikap masyarakat yang tidak mementingkan bahasa kebangsaan. – GAMBAR HIASAN/ UTUSAN

Dengan membandingkan penggunaan bahasa Perancis di Paris, Jerman di Frankfurt dan Berlin, Jepun di Tokyo, Korea di Seoul dan Mandarin di Beijing, apakah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memainkan peranan yang sama di Kuala Lumpur dan Putrajaya?

Kalau ada Presint dan Boulevard di Putrajaya dan akhir-akhir ini Bangsar South dan Kuala Lumpur Gateway di Wilayah Persekutuan, tidakkah itu isyarat tentang masalah penggunaan bahasa Melayu di Malaysia?

Kalau diperhalusi sebab mu­sababnya, kejadian yang ­seperti ini bukan sangat kerana kekurangan bahasa Melayu itu sendiri, tetapi adalah masalah sikap fikiran penduduknya. Kalau mahu disoroti lebih mendalam lagi, semua ini adalah gejala atau tanda kelemahan sikap pendirian kebudayaan penduduk Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) sebagai suatu negara bangsa.

Kurangnya penghormatan terhadap warisan bersama melalui bahasa kebangsaan ini bukan sahaja tercermin pada nama-nama tempat tetapi juga dalam sistem pendidikan negara.

Sebenarnya di lapangan pendidikanlah nilai-nilai ilmu, kecendekiawan, kebersatuan dan keperibadian individu serta bangsa seharusnya dipupuk sejak peringkat sekolah lagi melalui bahasa kebangsaannya.

Orang Melayu sekarang pun bukan mesti sama lagi de­ngan Melayu sebelum atau awal merdeka yang sangat insaf akan penindasan penjajahan Inggeris. Ramai Melayu sekarang tidak miskin atau merempat lagi, sudah menjadi anggota kelas menengah dan atasan, memegang jawatan lumayan, selesa dan mempunyai kuasa dalam politik, perkhidmatan awam atau korporat perniagaan.

Masing-masing bebas memi­­lih­ watak, keperibadian dan matlamat hidup dalam masyarakat baharu yang sedang bersaing merebut pelbagai peluang yang terbuka. Malaysia sudah menjadi negara merdeka yang demokratik dan terbuka luas pada lalu-lintas pengaruh nilai-nilai luar.

Inilah bezanya budaya dan pengalaman sejarah kita berban­ding budaya serta sejarah Jepun, Korea dan China yang sudah mantap dengan nilai-nilai wa­risan kebudayaan masing-masing dalam peradaban mereka.

Hanya sesudah itu baharu mereka menyaring dan ­menyerapi unsur-unsur Barat untuk me­modenkan bangsanya. Dalam kata lain mereka mengambil Barat untuk memperbaharui dirinya.

Dan bukannya ‘membaratkan’ dirinya atau mengajuk Barat. Tentu ada kesan yang buruk kalaupun tidak traumatik terhadap kebudayaan apabila sesuatu bangsa itu ‘membaratkan’ dirinya - bukan me­modenkan bahasa dan kebudayaannya.

Justeru pemimpin sepatutnya memikirkan masalah kebudayaan ini setara dengan perhatian yang mereka berikan terhadap masalah ekonomi dan pendidikan. Kebudayaan yang dimaksudkan bukanlah sekadar seni tari, muzik dan lagu, tenunan dan karya kreatif-ekspresif sahaja, tetapi adalah nilai-nilai dalam pandangan hidup manusia yang mencakupi konsepnya tentang alam, waktu, masyarakat dan ketuhanan.

Nilai-nilai baik dan manusiawi inilah yang harus dipupuk sejak awal pendidikan di sekolah untuk melahirkan apa jenis manusia berbudaya yang akan menjadi warga negara. Jenis manusia yang benar-benar terdidik dengan nilai-nilai rohaniah (seperti mempunyai kesedaran sivik, menghormati alam sekitar, beriman atau beragama, cinta pada tanah air, jujur, istiqamah, teliti dan kritis).

Inilah yang akan menjamin kelangsungan teknologi dan ekonomi, perpaduan dan ke­peribadian bangsa di tengah-te­ngah asakan dunia antarabangsa. Sekalian pembangunan ekonomi dan teknologi sekarang tidak akan bertahan dan berkembang maju sekiranya jenis dan sifat manusia yang ada tidak memiliki kualiti dan nilai-nilai budaya yang baik dan sesuai.

Kembali kepada masalah bahasa Inggeris dalam hubungannya dengan bahasa Melayu, memang bahasa Inggeris itu patut dikuasai supaya pelajar mahir bertutur, membaca, menulis dan menterjemah dalam bahasa Inggeris.

Ajarlah mereka dengan cara yang berkesan dan profesional, tetapi jangan sampai mengambil alih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam subjek Matematik, Sains dan Teknologi.

Kalau perkara itu berterusan dan jika ibu bapa dan guru besar sekolah semakin tahun semakin banyak memilih untuk bertukar ke bahasa Inggeris, bahasa Me­layu sukar menjadi bahasa yang moden bagi sekalian disiplin ilmu (sains, sains sosial, dan kemanusiaan).

Bayangkan setelah 20 tahun sesudah sijil MCE digantikan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar 1979, ada kira-kira 10 juta pelajar yang telah lulus subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Ramai daripada mereka ini (yang sekarang berada di bawah usia 53 tahun), yakni yang berkelulusan SPM sebelum ke pusat pengajian tinggi, menjadi pengurus, eksekutif kanan, malahan ketua pegawai eksekutif (dalam syarikat-syarikat berkaitan ke­ra­jaan), selain daripada menja­di pemimpin politik, tokoh usa­ha­wan dan ada yang sudah bergelar jutawan.

Tidak sedikit pula jumlahnya yang berjaya menjejakkan ka­kinya di institusi pengajian tinggi yang termasyhur di United Kingdom dan Amerika. Merekalah yang turut menyumbang dan menjadi nakhoda (captain) bagi menggerakkan bahtera ekonomi negara pada hari ini.

Walaupun mereka ini belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, tetapi pada hari ini terbukti berjaya memainkan pe­ranan penting memimpin dan memajukan sektor per­khidmatan awam, ekonomi dan sosial Malaysia.

DATUK BAHARUDDIN ZAINAL (BAHA ZAIN) ialah Sasterawan Negara.