Namun, gambaran itu dikatakan bertentangan realiti sebenar. Bahkan, Azmin akan menjadikan UMNO sebagai ‘mangsa’nya meskipun kelemahan-kelemahan yang dibongkarkan kerajaan negeri itu hanya mahu membaiki kecacatan sedia ada terutama melibatkan isu-isu berkepentingan rakyat di Selangor.

Khamis lalu, wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan ABDUL YAZID ALIAS serta jurugambar, SAHARUDDIN ABDULLAH menemui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, individu yang paling dibimbangkan Azmin waktu ini. Dan Noh menjawab lima soalan yang diajukan.


UTUSAN: Azmin mendakwa pentadbirannya ‘diserang’ setiap hari, setiap malam dengan isu-isu kes denggi me­ningkat, perumahan, masalah air. Katanya, macamlah di Malaysia ini hanya ada Selangor sahaja?

NOH: Azmin ini nak tunjuk pandai dan memandai-mandai. Mengapa nak salahkan orang lain khususnya UMNO dan BN ­sedangkan yang pertikai serta membangkitkan masalah yang berlaku di Selangor ini rakyat Selangor sendiri. Ini ‘penyakit’ Azmin suka salahkan orang lain. Contoh, dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, beliau kata langkah Kerajaan Persekutuan wujudkan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) kononnya ditiru daripada program Tabung Wari­san Anak Selangor (Tawas) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Sedangkan hakikatnya, ­negeri lain di bawah pentadbiran BN seperti di Perak dan Terengganu telah pun wujudkan skim yang sama. Malah lebih awal dari Selangor tetapi pentadbiran negeri itu tidak bersikap seperti Azmin. Inilah sikap Azmin dan pakatan pembangkang seperti ayam, bertelur sebiji tetapi riuh sekampung.

Azmin juga perlekehkan UMNO sambil secara sinis me­ngatakan ‘UMNO sudah tidak ada’ di Selangor. Yang ada cuma ‘spesies’ katanya?

Ini cakap orang bongkak dan takbur. Dia barangkali lupa de­ngan apa yang dia cakap sebelum ini. Kalau UMNO tidak wujud di Selangor, masakan pula kerajaan negeri bersusah payah memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sepatutnya jika UMNO tidak wujud di Selangor, benarkan sahajalah SPR buat kerja mereka. Apa yang Azmin nak kelam-kabut?

Sama juga dalam soal kebebasan media, mengapa dia nak haramkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dari dilanggan jabatan, agensi dan anak-anak syarikat kerajaan negeri? Apakah kerana akhbar-akhbar itu sering melaporkan kelemahan dalam pentadbirannya selain menyiarkan kenyataan tidak puas hati daripada rakyat termasuk para pemimpin UMNO di Se­langor? Kalau begitu, Azmin ini takut pada bayang-bayang sendiri.

Bagaimana persediaan jentera UMNO Selangor menghadapi pi­lihan raya umum ke-14 (PRU-14) termasuklah komitmen daripada semua ketua bahagian?

Saya 100 peratus yakin semua kepemimpinan di 22 UMNO bahagian di Selangor ketika ini menunjukkan komiten penuh terhadap parti dan bersatu. Saya sentiasa menekankan soal mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU-14. Ini juga ditegaskan kepada semua komponen parti dalam BN. Dengan komitmen ini, tidak mustahil Selangor kembali ke pangkuan BN.

Mungkinkah Tan Sri bimbang dengan komitmen ini?

Saya tidak pernah meragui komitmen, kesetiaan dan sema­ngat semua pemimpin dan ahli UMNO di Selangor. Namun apa yang paling dikhuatiri jika wujudnya tindakan sabotaj di peringkat dalaman UMNO kerana tidak puas hati tidak dapat jadi calon. Jika ini berlaku, segala usaha untuk ­merampas semula Selangor akan sia-sia.

Kita tidak boleh berjuang berlandaskan peribadi kerana usaha untuk merampas semula Sela­ngor hanya boleh dicapai secara berkumpulan. Begitu juga de­ngan parti-parti komponen BN yang saya harap jangan ada unsur sabotaj selepas pemillihan calon dan pembahagian kerusi pilihan raya.

Semua ada cita-cita nak jadi calon, tapi lebih baik bercita-cita jadi wakil rakyat kerana nak jadi calon semata-mata tidak semestinya akan menang pilihan raya.

Jadi, apa saranan Tan Sri kepada kepada semua barisan ke­pemimpinan UMNO dan BN di Se­langor?.

Kita perlu ikhlas dalam perjuangan untuk memenangi semula BN di Selangor. Dua penggal kalah di Selangor, tak perlu lagi diulangi sejarah itu. Kena lihat ke depan. Kalau Allah SWT dah tetapkan jadi calon maka, lakukanlah dengan dengan terbaik.