Namun tak terlewat rasanya Tumpang lalu kalungkan tahniah buat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana telah menjulang kembali nama Malaysia di persada antarabangsa. Sila baca kupasan santai rakan Tumpang lalu, geostrategis Azmi Hassan bertajuk Naratif UNGA Dr. Mahathir di Mingguan Malaysia terbitan 30 September 2018.



 

* Sebelah kaki ke Putrajaya?

Dalam sejarah politik tanah air (tepatnya merujuk kepada UMNO), tiada hubungan akrab yang lebih nyata antara Perdana Menteri dan timbalannya daripada hubungan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar.

Mula-mula dari lawan jadi kawan. Kemudian dari kawan bertukar lawan. Kini, kembali berkawan.

Semua ini selain menjadi sejarah, juga memberi pengajaran yang jelas dan grafik. Sekurang-kurangnya kepada mereka yang mahu mempelajari sesuatu daripada sifat-sifat sinis politik. Politik yang baik memang diakui mampu membina bangsa, agama dan negara.

Tetapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan positive human values atau sifat positif manusia itu sendiri. Seseorang itu ditolong bersungguh-sungguh, misalnya untuk menduduki tempat tertinggi, tapi tak sampai beberapa bulan ‘mencengkam balik’.

Ini juga bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini. Namun orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.

Tidak ada pemimpin yang suka terhutang budi kepada ketua-ketua yang lebih rendah . Peningkatan dan kejayaan seorang ahli politik sentiasa diukur atas kedudukan yang beliau peroleh.

Sudah tentu, impian mutlak bagi seorang ahli politik adalah jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Tetapi jawatan cloud nine ini secara ringkasnya bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat untuk jawatan PM dan TPM.

Jangan dilupai bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Suatu ketika Allahyarham Tun Gazali Shafie atau King Ghaz amat disohorkan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri sebelum tahun 1976. Tetapi 'baris tangannya’ atau tuah badan tiada melambangkan untuk jadi TPM.

Tuah ada pada Dr. Mahathir. Misalnya, Dr. Mahathir dilaporkan sebagai terkejut apabila diberitahu semasa beliau berada di Batu Pahat beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Hussein Onn sebagai timbalannya.

Dr. Mahathir kerap memberitahu Tan Sri Dr. Rais Yatim - sumber Tumpang lalu dalam ‘membaca’ politik tanah air semasa - dalam beberapa pertemuan parti dengan kawan-kawan lain bahawa tidak perlu ‘lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti.

Kepadanya, ‘tuah’ tetap mendatang jika seseorang jujur dan tekun bekerja serta amanah menjalankan tugas.

Bagi Dr. Mahathir, tuah atau luck itu sudah mendatang kepadanya, susulan tenaga dan kekuatan peribadinya. Orang Melayu menyebut tuah badan ini sebagai bulan jatuh ke riba.

Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being entrusted upon. Peluang begini sudah tidak ada lagi dalam politik termasuklah UMNO.

Budi bahasa politik dalaman mesti dilandaskan kepada sistem yang bersih. Sistem yang berasas kepada budaya khidmat dahulu, habuan kemudiannya. Kalau bersekali dengan hasil yang harus dibawa oleh para perwakilan UMNO yang kembali ke kawasan masing-masing Ahad lepas - UMNO sendiri mesti bangkit dari kemelaratan budaya memilih pemimpin yang berunsur ufti.

Waima apa pun dalam politik, apa-apa yang mungkin berlaku itu boleh berlaku.

Seperti tangan panjang jam, naik dan turun dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi.

Sama ada ya atau tidak, ia akan berbunyi untuk Anwar sekali lagi di Port Dickson pada malam 13 Oktober depan apabila tangan pendek dan panjang datang berpusing lagi. Hanya masa dan keadaan akan menentukan.

* Satu pintu tutup, satu lagi pintu besar terbuka

HINGGA ke hari ini Tumpang lalu masih ‘kurang mengerti’ bagaimana sikap seseorang yang diharap-harapkan boleh dengan mudah berubah hala.

Walaupun ada uar-uar ‘diugut’ sekali pun, bagaimana pula dengan daya tahannya sejak berpuluh-puluh tahun dalam parti politik yang menaikkan kariernya? Sehinggakan masuk Kabinet silih berganti bertukar portfolio, disanjung penyokong dan pengundi di tempatnya? Tapi akhirnya berpaling. Wallahualam.

Maka, bila macam-macam label dikeluarkan terhadap mereka yang tidak setia ini dalam dua hari Perhimpunan Agung UMNO Sabtu dan Ahad lepas, yang panas istilahnya hinggap ke cuping telinga ini, ‘pelacur politik’, Tumpang lalu hanya boleh berkongsi ayat ini: “Luahkan, tidak ada salahnya, tapi selepas ini, pandang saja ke depan.”

Maka, dalam hidup berpolitik dan berjuang, perkembangan seperti ini jangan digundahkan sangat kerana setiap negatif itu akan diketemukan juga dengan yang positif. Memang benar, perjawatan sesuatu kerja atau darjat itu rezeki masing-masing.

Cuma sebagai landasan biasa, manusia yang membantu kita ke arah itu harus juga diingati.

Tumpang lalu selalu sahaja mengetepikan hal ini seperti mendenguskan bahawa itu perkara kecil. Terserahlah kepada Tuhan menimbangkannya.

Lagipun, bak kata falsafah Inggeris, bila sesuatu pintu ditutup di hadapanmu, satu lagi pintu besar akan terbuka. Tumpang lalu amat mempercayai inti sari falsafah ini.