Menurut ahli-ahli akademik ini, Laporan Brundtland, 1987 telah menetapkan bahawa pembangunan yang lestari bermakna pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.

Ini bermakna pembangunan yang dilakukan tidak seharusnya mengancam keselamatan penduduk apatah lagi merosakkan alam sehingga berlakunya pelbagai bencana yang tidak dapat dibendung dan dikawal, lebih perit apabila tiada usaha yang jelas dibuat untuk mengatasinya dalam jangka panjang.

Bukit digondol. Hampir semua bukit diterokai dan dijadikan kawasan pertanian tidak terkawal. Perumahan mewah bermaharajalela. Lereng ditarah. Plastik kanvas digunakan menutup ta­nah yang kian runtuh. Banjir kilat menjadi fenomena biasa apabila hujan turun dalam tempoh masa yang singkat. Laut ditambak. Nelayan hilang pendapatan. Air tersekat. Longkang tersumbat bukan sahaja dengan plastik dan sampah sarap tetapi juga apabila berlaku banjir lumpur.

Kebimbangan mereka memang dapat difahami kerana ini adalah isu keselamatan dan alam sekitar yang mengancam generasi masa hadapan. Isu alam sekitar yang diterokai sukar difahami tentang apa yang sebenarnya terjadi, walau pun peraturan dan undang-undang sedia ada dan sepatutnya mampu menjaganya.

Seperti kata ahli panel, seorang pensyarah yang sudah le­bih 30 tahun terlibat sebagai penilai dan melakukan audit impak alam sekitar akibat pembangunan Profesor Dr. Nik Norulaini Nik Ab. Rahman, hanya mereka yang melihat dan merasai kesannya tahu tentang perasaan dan kebimbangan yang ada, keadaan yang sudah tidak sama dengan dahulunya sebagai sebuah pulau yang dianggap sebagai Pulau Mutiara.

Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam membuat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) penilaian kualiti alam sekitar dan pelbagai peraturan lain yang ada, yang ketara adalah kelemahan dalam penguatkuasaan dan pemantauan sering menjadi masalah kepada semua.

“Laporan EIA diluluskan de­ngan memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak pemaju dengan langkah-langkah kawalan serta perlu mematuhi Pengurusan Amalan Terbaik atau Best Management Practices - BMPs bagi langkah-langkah kawalan ha­kisan dan sedimen yang perlu disenarai dan diperincikan.

“Soal yang penting ialah siapakah yang memantau dan memastikan pemaju projek mematuhi kesemua syarat, tidak mudah memanipulasikannya, jika tidak patuhi adakah langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa ke atas pemaju serta yang utama, berapa banyakkah projek yang tidak membuat EIA sebelum pembangunan dan me­ngapa terjadi sedemikian?,” tegas Nik Norulaini.

Sementara itu Pakar Rujuk Alam Sekitar dan pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Profesor Dr. Mohd. Omar Ab. Kadir berkata, keengganan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri untuk mende­ngar nasihat dan pandangan dari pelbagai pihak, memburukkan keadaan ini seperti yang terjadi di Pulau Pinang.

“Walaupun pelbagai peraturan ada untuk mengekang isu kemusnahan alam sekitar tetapi pene­rokaan tanah cerun, pertanian yang tidak terkawal di atas bukit yang digondolkan, perumahan mewah, menambak laut yang mengancam pendapatan nelayan mahu pun alam dan pelbagai lagi kegiatan yang memberi kesan besar kepada masyarakat apabila berlaku tanah runtuh dan banjir tetap berlaku,” kata Mohd. Omar.

Dengan penuh beremosi, Mohd. Omar berkata, apalah er­tinya tangisan jika kemudiannya menjadi sendaan, tanpa rasa bersalah dan berusaha dengan ikhlas untuk mengambil tindakan menghadapi bencana yang sering terjadi.

Paling tidak, dengarlah suara hati para marhaen yang hidupnya terjejas oleh musibah yang berlaku, berilah keutamaan kepada pembangunan lestari dalam me­nguruskan alam sekitar dan belajarlah dari kejadian yang berlaku di tempat lain, malah di seluruh pelosok dunia.

Tegas beliau, adalah amat penting untuk mengambil langkah pencegahan demi masa hadapan negara dengan setiap orang menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa kerana apa yang berlaku adalah melibatkan kita semua serta pada masa sama pihak berkuasa perlu mendengar rintihan dan suara masyarakat kerana merekalah yang sering terjejas teruk tatkala berlaku sesuatu bencana dan mala petaka alam.

“Saya pernah membangkitkan isu kualiti alam sekitar tetapi tidak diambil serius yang akhir­nya kita tahu berlaku banyak kejadian yang menjejaskan kehidupan apatah lagi bagi saya yang pernah kehilangan keluarga terdekat dalam tragedi Highland Towers,” kata Mohd. Omar.

Bagi mereka, ini bukan cerita politik menjelang pilihan raya, tetapi gesaan agar selamatkanlah alam sekitar terutamanya di Pulau Pinang ini demi kelesta­rian hari esok demi kelangsungan hidup masyarakat.

Usaha perlu dibuat untuk menyelamatkan dari terus berlaku. Bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di tempat-tempat lain juga di mana sahaja.

Yang diperlukan ialah lebih dari sekadar tangisan, iaitu tindakan berkesan dalam jangka panjang untuk membendung ke­rosakan dari terus berlaku semata-mata untuk mengaut keuntungan dari perumahan mewah, mahu pun pembangunan yang tidak lestari.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM).