Kita perlu menerima hakikat bahawa bilangan kenderaan di negara ini terus meningkat setiap tahun sekali gus turut menyumbang kepada kadar peningkatan penggunaan jalan raya serta kadar kemalangan jalan raya ter­utamanya kemalangan maut.

Perkembangan ini menjadikan sambutan Aidilfitri mahupun ­perayaan lain yang sewajarnya di­sambut dengan kemeriahan dan kegembiraan bersama semua ahli keluarga seringkali bertukar menjadi mimpi ngeri buat segelintir yang terpaksa menahan pilu dan meratapi pemergian dan kehila­ngan insan tersayang yang terkorban dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman ataupun ketika kembali ke kota.

Statistik kadar kemalangan ketika musim perayaan yang diperoleh melalui operasi khas yang biasa dikenali Ops Sikap mahupun Op Selamat selama ini jelas mengecewakan dan cukup merisaukan.

Dalam konteks ini antara rumusan punca utama kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia iaitu terbabas sendiri, ‘makan jalan’ dan gagal memotong.

Pihak berkuasa turut merekodkan beberapa faktor lain seperti pemanduan tidak cekap, salah pertimbangan, pandu dengan melebihi had laju, suka mencelah atau menghimpit kenderaan lain, memecut sesuka hati, tidak memberi isyarat membelok, kurang tumpuan, tidak sedia memandu, tidak memeriksa kenderaan, kurang sabar dan tidak peduli keadaan jalan raya.

Apa yang pasti kegagalan segala operasi khas yang dilaksanakan selama ini adalah kerana sikap pemandu itu sendiri dan bukannya berpunca daripada pihak berkuasa yang telah pun melaksanakan tugas mereka dengan baik. Malah untuk tahun ini seperti biasa pihak polis telah pun melancarkan Ops Selamat 11/2017 bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi bermula 18 Jun hingga 2 Julai depan.

Hakikatnya walaupun pelbagai usaha dilaksanakan secara berte­rusan namun, jelas sekali sikap pemandu terus menjadi punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalang­an maut. Ternyata pelbagai hasil kajian juga membuktikan sikap pemandu sebagai antara punca utama kemalangan maut.

Antaranya sikap mementingkan diri, tidak pedulikan hak dan keselamatan pengguna jalan raya lain, tidak mematuhi undang-undang serta ego. Ini termasuklah sikap pemandu yang memandang rendah pada tindakan undang-undang yang dikenakan.

Ironinya, kita masih tertanya-tanya di mana silapnya dan sampai bila perkara ini perlu berterusan. Kenapa seolah-olah kadar kemalangan dan kematian yang direkodkan ini langsung tidak boleh dikawal dan dikurangkan? Walaupun rata-rata semua pihak terus menuding jari dan menya­lahkan sikap pengguna jalan raya sebagai punca utama menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan namun sampai bila kita mahu terus berselindung dan berdiam diri di sebalik alasan yang cukup klise seperti ini?

Kita perlu akui bahawa sikap adalah aspek yang amat sukar untuk diubah dan dibentuk dalam sekelip mata kerana sikap pada zahirnya sebati dalam diri masing-masing. Sikap baran misalnya wujud sejak kita kecil lagi dan tidak boleh diubah dalam masa sekejap melalui kempen-kempen.

Begitu juga sikap pemandu seperti tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan bertolak ansur. Buatlah kajian sebanyak mana sekalipun inilah jawapannya.

Inilah hasil ataupun sikap yang dimiliki oleh majoriti pemandu yang terus menjadi duri dalam daging di atas jalan raya.

Justeru menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini penulis ingin merayu kepada seluruh pengguna jalan raya agar meningkatkan tahap kesedaran dan keselamatan ketika memandu. Ubahlah sikap supaya kita boleh menjadi pemandu berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain. Ingatlah kata-kata keramat yang sering diungkapkan iaitu, “seminit tidak membawa erti jika berakhir de­ngan tragedi”. Hanya kita sendiri yang mampu mengubah sikap dan ego ketika memandu.

Kenapa begitu sukar untuk mengambil iktibar dengan segala insiden dan kemalangan yang se­ring berlaku selama ini? Amalkanlah tiga tips mudah iaitu kawal kelajuan ketika memandu, bersabar di atas jalan raya termasuk de­ngan gelagat pemandu lain serta pastikan diri kita sentiasa cergas ketika memandu terutamanya membabitkan perjalanan jauh ke­rana boleh mengantuk dan membawa kepada pelbagai musibah.

Raikanlah hari lebaran ini bersama ahli keluarga dengan air mata kegembiraan dan bukannya dengan tangisan kedukaan. Jangan biarkan ahli keluarga menangisi kepulangan kita.

Perubahan perlu bermula daripada diri setiap seorang daripada kita. Marilah memasang tekad agar mendidik hati, perasaan dan nafsu ketika berada di atas jalan raya selaras dengan bulan Ramadan yang mulia ini supaya sama-sama dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan terutamanya kemalangan maut.

Jangan terus biarkan jalan raya bermandi darah lagi.

Selamat pulang ke destinasi masing-masing dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Eh­wal Pelajar Universiti Putra Malaysia.