Keputusan ini melengkapkan hasrat rakyat bukan sahaja mahu melihat kerajaan Malaysia berubah malah mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Anwar yang menghabiskan banyak masa di penjara merupakan tokoh paling sesuai untuk menterjemahkan agenda reformasi untuk negara.

Awang amat berharap peralihan kuasa bukan sahaja dapat berjalan dengan baik malah dapat disegerakan. Awang bimbang kerana sudah ada gerakan menjatuhkan Anwar dengan tersebarnya video seks baharu termasuklah dengan rakyat Indonesia.

Walau bagaimanapun, Awang mendoakan krisis 1998 tidak kembali berulang.

UNDANG-UNDANG ‘PI MAI PI MAI TANG TU’

SISTEM perundangan negara yang bebas dan adil mestilah menjadi keutamaan kerajaan PH bagi memastikan nama Malaysia kembali harum di persada antarabangsa.

Kalau dulunya kerajaan BN dilihat menggunakan agensi seperti SPRM, PDRM, LHDN, dan Jabatan Kastam untuk menekan pembangkang. Namun hari ini rakyat sedang melihat sandiwara yang sama sedang digunakan untuk menekan pembangkang juga terutamanya Ahli-ahli Parlimen daripada UMNO agar mereka ini takut dan meninggalkan UMNO untuk menyertai kerajaan PH terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Mahathir yang merupakan parti minoriti dalam Parlimen.

Rakyat sebenarnya merindui sistem perundangan yang bebas dan adil. Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara telah mendapat sokongan penuh daripada golongan profesional daripada semua kaum kerana ia dilihat boleh membawa perubahan besar kepada sistem undang-undang dalam negara kita.

Namun harapan rakyat hanya tinggal harapan ibarat perumpamaan ‘ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Tindakan semborono Tommy membebaskan Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dan penarikan semula kes terhadap Isa Samad yang menjadi calon menentang Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port Dickson memberi gambaran bahawa sistem perundangan negara sebenarnya masih tidak berubah.

Pertuduhan terpilih atau selective accusation yang menghantui negara bertahun-tahun terutamanya ketika zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu kini kembali semula. Situasi politik semasa sebegini menunjukkan kerajaan PH sekarang tidak ada beza dengan kerajaan BN dahulu. Bak kata orang utara ‘pi mai pi mai tang tu’ juga.

PEMBAHARUAN TIDAK KESAMPAIAN

RAKYAT Malaysia hari ini berkongsi rasa dengan rakyat Amerika Syarikat dan Britain yang telah memilih kerajaan dan pemimpin baharu kerana tekanan dan desakan untuk melakukan perubahan.

Seperti mana kita sedar, hari ini majoriti rakyat Amerika telah memilih Donald Trump sebagai Presiden kerana tertarik dengan slogan “Make America Great Again” yang memberi harapan untuk melakukan perubahan bagi mengatasi pelbagai masalah yang timbul.

Namun demikian, hari ini masalah yang sama seperti kenaikan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan, masa depan ekonomi yang tidak menentu masih tidak berubah. Perbalahan antara Amerika dan China bukan sahaja memberi tekanan ekonomi dalam Amerika sendiri malahan turut melibatkan seluruh dunia.

Begitu juga di Britain, rakyat mengundi untuk Brexit (diambil daripada perkataan Britain dan Exit) atau Britain keluar dari Kesatuan Eropah kerana merasakan mereka hilang pekerjaan akibat lambakan imigran dan rakyat Britain hilang kuasa untuk menentukan polisi masa depan negaranya sendiri yang ditentukan oleh Kesatuan Eropah. Namun hari ini keadaan di Britain makin parah dan rakyat terus keliru sama ada keputusan Brexit itu merupakan keputusan terbaik atau sebaliknya. Hingga hari ini mereka masih menghadapi cabaran besar terutama mengenai masa depan Britain sendiri.

Suasana yang sama sedang dirasai di Malaysia. Pakatan Harapan telah membawa slogan Bina Semula Negara untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Najib Razak dengan menjanjikan pemansuhan undang-undang purba, pendidikan percuma dan menghapuskan cukai GST yang dianggap penyebab kos sara hidup yang tinggi. Akhirnya rakyat Malaysia buat kali pertamanya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Najib Razak untuk digantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mahathir.

Keputusan berani ini juga kerana rakyat yakin bahawa Mahathir hari ini adalah tokoh reformasi yang boleh membetulkan semula pelbagai kelemahan sistem negara termasuklah sistem yang ada pada waktu kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dahulu.

Namun demikian, setelah lima bulan memerintah, ternyatalah bahawa janji Pakatan Harapan itu samalah seperti yang mereka katakan kepada kerajaan Barisan Nasional dahulu iaitu ‘janji yang dicapati’.

Kenyataan terbaru Mahathir kelmarin bahawa tidak mungkin Malaysia akan mempunyai lebuh raya tanpa tol melengkapkan lagi pengakuan PH bahawa bukan semua manifesto mereka akan dapat diterjemahkan kerana PH sendiri tidak yakin yang mereka akan menjadi kerajaan. Apa yang penting bagi mereka ketika berkempen ialah memberi satu harapan bagi memastikan rakyat menolak BN.

Awang menghormati kenyataan Mahathir ini kerana biarlah rakyat menerima hakikat sebenar. Mana-mana kerajaan sama ada BN atau PH tidak mungkin dapat menjanjikan pendidikan percuma, mengawal kos sara hidup yang selalunya bergantung kepada pasaran (supply and demand) dan bagi menjana pendapatan negara, rakyat tidak boleh elak daripada membayar cukai.

Pada Awang, ini adalah satu kenyataan berani daripada seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab walaupun ia bertentangan dengan janji PH kepada rakyat.

Kini rakyat sedar bahawa GST bukanlah penyebab harga barang naik, PTPTN tidak mungkin dapat dimansuhkan dan tol tidak boleh dihapuskan sewenang-wenangnya. Kos sara hidup sebenarnya bergantung kepada gaya hidup rakyat sendiri dan bagaimana mereka menguruskannya.

Apa yang penting ialah Malaysia perlu terus melangkah ke hadapan agar tidak ketinggalan. Rakyat mesti berpijak di bumi yang nyata dan meningkatkan daya juang di dalam semua segi sama ada meningkatkan tahap produktiviti, menguruskan kehidupan yang lebih berhemah dan mengawal kestabilan politik negara supaya Malaysia terus menjadi syurga pelaburan ekonomi dan pelancongan.

AWANG SELAMAT