Ofis sunyi sikitlah lepas ni sebab ramai yang ambil VSS. Hari ini sempatlah kali terakhir sembang-sembang, bertanya khabar masa depan atau nangis-nangis, berdakap pilu dengan mereka.

Seloroh seorang rakan, “Ala lepas ni boleh aje kita jumpa lagi di luar...kami bukannya pergi mana...ada.”

Tapi, itulah...bila tidak lagi kerja sebumbung, realiti sebenar agak sukar untuk berjumpa. Kalau satu ofis tu lainlah cerita. Mesti akan terserempak. Tegur sapa, kemudian bolehlah kopi-kopi di kafe.

Memang mudah cakap lepas ini ‘kita calling-callinglah’, tapi yang sebenar berlaku, payah. Masing-masing akan sibuk dihambat waktu.

Ya, abang hensem sedih sikit sebab rakan-rakan semua baik-baik belaka. Sesekali kena kutuk, kritik tu ada lah juga, tapi tak bawa dalam hati.

Begitulah hidup ini, di mana ada pertemuan, pasti akan ada perpisahan. Di mana ada awal, pasti akan ada akhir. That’s life.

Ketika akhir sebuah perjalanan akan menjadi awal perjalanan yang lain. Dan sebuah perpisahan akan menjadi pertemuan dengan sesuatu yang baharu. And that’s more about life.

Di dalam hidup, banyak orang yang datang dan pergi. Allah menemukan kita dengan orang-orang yang Dia telah gariskan dalam catatan takdir.

Mereka pun datang silih berganti. Ada yang melintas dalam segmen singkat. Namun berbekas di hati.

Ada yang telah lama berjalan beriringan, tetapi tak di­sedari erti kehadirannya. Ada pula yang begitu jauh di mata, sedangkan penampakannya melekat di hati.

Ada yang datang pergi begitu saja. Seolah-olah tak pernah ada.

Semua orang yang pernah singgah dalam hidup kita bagaikan kepingan puzzle yang saling melengkapi dan membentuk sebuah gambaran kehidupan.

Maka sudah fitrah. Kepada rakan-rakan satu ofis yang akan berpisah kerja petang ini, antaranya Bad Azhar, Norliza Rahman, Norlizah Abas, Amizul, Marzuki, Aziz Ittar, Dean, Mike, Datuk Zaini, Datuk Hassan, Datuk Baharom, Gamal, Saiful Haizan, Samsor, Mahiran, Hamden, Zul Dollah, Kadir Bachok, Rahman, JR foto, Zainul, Marhaini, abang hensem ucapkan selamat jalan, selamat berjaya.

Semoga anda semua dilimpahi rahmat, rezeki dan keberkatan-Nya.

Kalau kita tidak bisa berjumpa lagi di luar sana, boleh saja berbicara dalam grup WhatsApp.

Selamat semua. Salam sejahtera.