Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Selamat Hari Guru. Tatap bah sayang cikgu...

ASSALAMUALAIKUM cikgu! Selamat pagi cikgu! Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh negara. Tema sambutan tahun ini yang dilancarkan di Kota Kinabalu, Sabah hari ini ialah Gu­ru Pembina Negara Bangsa. Te­ma sambutan ini memberi fokus kepada peranan warga pendidik sebagai penggerak utama dalam membimbing, membangun dan mengupayakan modal insan negara. Setiap guru perlu menanam pera­saan kasih dan taat setia murid atau pelajar terhadap pemimpin dan negara secara keseluruhannya. Tema ini pernah digunakan pada tahun 2009 dan juga pada tahun berikutnya setelah ke­men­terian mendapati profesion guru semakin mencabar pada abad ini.

Mungkin ramai yang sudah tahu kenapa 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru tetapi sebagai peringatan eloklah diselak semula secara ringkas. Tarikh ini pada tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Penyata Razak, salah satu daripada empat Laporan Jawatankuasa Pelajaran mengenai pendidikan di negara kita. Dokumen ini dikenali sebagai Laporan Razak kerana ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein adalah Menteri Pelajaran. Dokumen ini juga dijadikan Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tahun 1956 dan kekal sehingga ke hari ini. Sambutan peringkat Kebangsaan pada tahun ini berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Seperti sambutan sebelum ini, ada pengiktirafan yang bakal diberi kepada pendidik yang terpilih. Begitu juga di peringkat negeri, daerah dan sekolah akan berlangsung majlis meraikan guru.

Jelaslah sambutan ini dapat memberi peluang kepada masyarakat, murid-murid dan pelajar-pelajar menghargai golongan pendidik yang telah melahirkan insan yang berjaya dalam pelbagai bidang. Tidak ada insan sama ada di desa atau kota, miskin atau kaya yang terlepas daripada mendapat bimbingan guru atau cikgu. Disebabkan bimbingan guru, lahir generasi profesional, berkemahiran tinggi dan berke­peribadian mulia. Siapa pun mereka dan apa juga jawatan yang dipegang pada hari ini, gurulah insan yang telah banyak berjasa kepada mereka. Inilah hakikat yang tidak boleh dinafikan. Melalui guru, kita mengenali huruf dan angka, kemudian dapat menulis, mengeja, membaca dan mengira, menyelidik dan mencipta seterusnya menceburi bidang pekerjaan masing-masing. Sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah, gurulah yang paling dekat dengan anak-anak kita selain ibu bapa. Namun, peranan guru sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Banyak cabaran yang dihadapi oleh guru-guru pada hari ini. Dunia pendidikan ketika ini amat mencabar berbanding pada masa lalu. Pemikiran murid-murid atau pelajar hari ini amat jauh berbeza dengan masa dahulu. Kerenah anak-anak hari ini tidak sama seperti pada masa lalu. Generasi hari ini lebih terdedah kepada pelbagai teknologi elektronik dan gajet. Buku bukan lagi medium utama untuk mereka belajar. Maka guru juga perlu lebih berkemahiran supaya mereka juga tidak ketinggalan. Bukan setakat anak-anak yang mendapat pendidikan malahan pemikiran ibu bapa juga jauh berbeza berbanding pada masa dahulu. Jika murid dahulu boleh dirotan atau didenda kerana kesalahan berkaitan disiplin tetapi hari ini, guru terpaksa lebih berhati-hati ketika menghukum. Tidak boleh keterlaluan.

Sikap ibu bapa juga sama. Dalam sesetengah perkara, guru sering dipersalahkan sehingga laporan polis dibuat. Jauh berbeza pada masa lalu, guru ibarat ibu bapa yang boleh menegur, merotan, memukul yang tujuannya untuk mendidik. Bagi generasi lalu, dihukum rotan di telapak tangan, berdiri di atas kerusi, dipulas telinga, dicubit pada bahagian perut, mencuci longkang, berlari keliling padang, rambut panjang dipotong sudah menjadi lumrah. Dulu, nampak guru di­siplin pun ada yang akan mengelak jika di bajunya tidak ada lencana sekolah, rambutnya tidak kemas, kasut sekolah kotor, tidak pakai sarung kaki, dan macam-macam lagi. Kerja sekolah pula tidak dipandang remeh. Kini keadaan sudah banyak berubah. Banyak cabaran dalam dunia pendidikan pada abad ke-21 ini yang menuntut kesabaran dan komitmen golongan pendidik. Bagaimanapun, guru-guru tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran ini. Banyak yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi melengkapkan guru dengan pelbagai ilmu supaya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah/kelas lebih relevan, seiring dengan tuntutan semasa. Begitu juga isu-isu berkaitan profesion perguruan yang semakin banyak diberi perhatian termasuk gaji, tempat bekerja dan perkara-perkara yang dikatakan menjadi beban guru selama ini.

Kepada guru-guru, peranan mendidik anak-anak tidak boleh dipertikaikan lagi. Hanya ada beberapa profesion yang panggilan jawatan itu kekal selepas bersara atau sehingga ke akhir hayat. Panggilan cikgu tidak pernah lekang sekalipun mereka sudah bergelar dengan pelbagai gelaran sama ada Datuk, Datuk Seri, Tan Sri, Tun dan sebagainya. Begitulah besarnya sumbangan dan jasa guru. Masyarakat pula terutama ibu bapa perlu berganding bahu untuk membantu guru-guru ini. Jangan hanya pandai mengkritik tetapi ambillah peranan dan tanggungjawab memberi pandangan serta teguran melalui saluran yang betul. Sokonglah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi kepentingan anak-anak kita. Amat malang, setiap kali mesyuarat PIBG, jumlah yang hadir amat kecil. Tidak sama dengan jumlah murid yang diajar oleh guru.

Kepada guru-guru, teruskan mendidik anak-anak bangsa biar pun cabaran semakin besar. Selak ingin mengulangi semula kata-kata motivasi yang pernah disiarkan di ruangan ini pada awal penggal persekolahan lalu (Motivasi untuk guru). Kiriman itu diterima daripada seorang kenalan dari Pulau Pinang. Dia pun tidak pasti siapa penulisnya. Diharapkan, cikgu semua teruskan tanggungjawab memikul amanah yang diberi. Cikgu amat beruntung kerana profesion ini amat mulia. Terima kasih cikgu! Kepada murid-murid dan pelajar-pelajar, hargailah guru anda. Tatap bah sayang cikgu!

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain