Dalam cuaca panas ketika ini jika kita tidak dapat membasahkan tekak dengan seteguk air pun ia sudah cukup menjadikan kita resah dan hilang pertimbangan. Kita boleh hidup tanpa makanan, jika masih ada air.

Ini menunjukkan air memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan kita. Selain untuk menghilangkan dahaga dan untuk kehidupan yang sejahtera, kita menggunakan air di dalam setiap aspek kehidupan.

Bagaimanapun kita khususnya di Malaysia sering mengambil mudah dengan air kerana menganggapnya ia secara semulajadi bumi kita dianugerah dengan banyak bekalan air dari sungai, mahupun hujan.

Saya dalam wawancara dengan pakar air Dr. Ibrahim Ashaari baru-baru ini melahirkan kegusaran sikap masyarakat di negara ini, walaupun ketika kita dilanda cuaca panas berpanjangan pada masa ini dan pada masa yang sama berlaku tragedi pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Johor yang menjejaskan kesihatan dan kehidupan ratusan penduduk.

Ibrahim berpendapat sikap sambil lewa semua pihak telah menyumbang kepada apa yang berlaku di Pasir Gudang dan jika ia tidak dijadikan pengajaran, dikhuatiri negara akan ditimpa bencana yang lebih besar seperti di India pernah berlaku kebocoran klorin yang mengorbankan nyawa.

Orang ramai sendiri tidak mempunyai kesedaran untuk mencegah kegiatan tidak bertanggung jawab membuang sisa tidak sepatutnya ke dalam sungai dan dalam banyak keadaan orang ramai yang menyumbang kepada masalah itu, hanya kerana untuk mengambil tindakan mudah serta mencari sedikit keuntungan.

Teknologi yang digunakan untuk membersihkan sisa kumbahan domestik dan sebagainya juga masih lagi terbelengggu teknologi yang diimport dari Barat yang tidak berkesan sepenuhnya dan tidak bertahan lama, sedangkan negara Barat kini lebih gemar menggunakan kaedah semulajadi yang lebih berkekalan dan berkesan.

Lihat sahaja di negara Belanda mereka menggunakan kawasan gambut yang sengaja dibiarkan untuk menjadi zon penapis air dan kesannya sangat baik serta tanpa membabitkan kos yang tinggi bahkan berjalan secara semulajadi.

Kita di Malaysia perlu insaf, jika sikap tidak berubah apa yang menimpa negara lain juga boleh berlaku kepada kita. Di seluruh dunia terdapat 2.1 bilion orang yang masih tidak mendapat bekalan air bersih dengan 700 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari kerana meminum air yang tidak bersih.

Bagaimanapun diramalkan menjelang 2030, 700 juta penduduk dunia akan berdepan dengan masalah bekalan air bersih.

Hari air sedunia diraikan hari ini yang bertemakan `Leave No One Behind’ atau lebih kurang terjemahannya jangan biarkan ada yang tertinggal. Ini bermakna semua orang berhak untuk mendapat air yang bersih dan semua orang juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan bekalan terus cukup untuk kehidupan kita.

Utusan Online mengucapkan Selamat Hari Air Sedunia.