Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) bersikap budiman lantas menerima realiti pilihan rakyat. Begitu juga politikus dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang pertama kali menikmati kuasa Putrajaya, tidak beraksi keterlaluan.

Cuma ada beberapa politikus yang bersikap berlebih-lebihan sehingga terkesan mahu membalas dendam dan lebih mengutamakan kepentingan politik.

Barangkali mereka lupa keadaan sudah berubah. Malaysia telah memasuki era politik baharu. Rakyat sebagaimana trend di negara maju boleh menukar regim pemerintahan begitu sahaja, semudah membalikkan telapak tangan.

Politikus PH pula seperti alpa peranan sudah berubah - kini sebagai kerajaan. Kerajaan yang akan dipertanggungjawabkan terhadap apa juga yang dilakukan. Mereka ini sebaliknya terkesan mahu terus berpolitik.

Di Putrajaya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba diaibkan dengan tindakan penguat kuasa yang keterlaluan. Media, bukan mahkamah digunakan untuk mencari keadilan dan menegakkan kebenaran. Aroma kepentingan strategik politik kerajaan baharu terasa menyengat akal fikiran.

Hutang negara digem­bar-gemburkan begitu ting­gi dan kerajaan BN dituduh menipu angka. Gaji menteri pun terpaksa dipotong.

Yang boleh dibaca ini tidak lebih strategi untuk menghalalkan dasar-dasar baharu yang mungkin tam­bah meningkatkan kos sara hidup sekali gus menambah beban rakyat. Jadi, mereka telah menyediakan jawa­pan ‘ini salah kerajaan ter­dahulu’.

Rakyat tentu sahaja tidak rela ‘kesalahan ke- rajaan terdahulu’ dijadi- kan dalih untuk menutup kelemahan kerajaan ba­haru. Tugas membawa Ma­­­laysia dan rakyat hidup se­­­jahtera memang su- kar te­tapi mereka telah be­r­sung­guh-sungguh memilih untuk memikul tanggungjawab itu. Tidak boleh berpaling. Tidak boleh gagal.

Ke depan kita mengha- rapkan peralihan kuasa benar-benar berjalan mulus. Beberapa kemen- terian dan kerajaan negeri yang melakukan majlis serah tugas antara menteri atau menteri besar lama dengan baharu perlu diberi penghargaan. Inilah perubahan dan demokrasi matang yang diharapkan.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Kemen­terian Pertanian dan Industri Asas Tani antara yang berbuat demikian selain kerajaan Terengganu dan Negeri Sembilan.

 

Mendedahkan

Di Melaka peralihan kerajaan negeri ditandai dengan orang ramai dipelawa melawat Seri Bendahara, kediaman rasmi Ketua Menteri. Yang tersurat mahu menunjukkan bagaimana ketua pentadbir negeri bekerja. Yang tersirat mahu mendedahkan betapa bermewah dan borosnya pentadbiran terdahulu.

Di Sabah, keadaan lebih parah. Walaupun drama politik perebutan kuasa di Sabah bukan baharu tetapi pertikaian siapa yang layak menjadi Ketua Menteri antara Tan Sri Musa Aman (BN) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) begitu memualkan rakyat dalam era budaya lompat parti tidak lagi diterima.

Setakat ini belum nampak perubahan sikap kedua-dua belah pihak. Bukan asing, Musa dan Shafie tidak sehaluan sejak mereka berdua berada dalam UMNO lagi. Ini lebih kepada dendam peribadi.

Pertembungan dan dendam politik dua kem ini dijangka berterusan. Akhirnya rakyat juga yang merana, yang nantinya menjadi korban.

Di Perlis, satu daripada dua negeri dikuasai BN keadaannya umpama memijak-mijak hak rakyat. Rakyat telah memilih tetapi politikus itu rupa-rupanya ada perkiraan lain. Apa lagi, kalau bukan kuasa yang mereka mahukan?

Dua kem iaitu diketuai Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama sembilan ADUN menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar. Kuasa istana yang telah melaksanakan proses angkat sumpah dinyahkan begitu sahaja.

Hal ini yang boleh dirungkai melalui perundingan telah mencapai tahap melampaui batas. Rakyat memerhati dan pasti akan menghukum politikus jenis ini walaupun sebesar mana jasa mereka.

Selepas hampir tiga minggu, tanda-tanda perubahan itu sama ada positif atau negatif jelas kelihatan. Memang begitu tradisi pemerintahan baharu di mana pun belahan dunia.

Modal awal perubahan telah kita lihat. Pembentukan Kabinet yang bersih dan berintegriti sudah dibuat walaupun ada pertikaian terutama pelantikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sedang berhadapan dengan kes rasuah di mahkamah.

Selain integriti para menteri, yang sama penting ialah kecekapan pemimpin. Begitu pun sehebat mana integriti dan kecekapan pemimpin jika berjuang sendirian tidak akan mampu membuat perubahan. Peranan pelbagai pihak – institusi raja, Parlimen, mahkamah, NGO, media dan tentunya pembangkang yang kini dipikul oleh BN sangat mendesak terlebih PH bukan pakatan yang stabil.

Kini perubahan yang dimahukan rakyat dengan memilih PH sebagai kerajaan dan BN selaku pembangkang akan diuji. Inilah waktunya.

Perubahan itu boleh sahaja bergerak pantas, kekal di tempat bahkan mengundur. Terserah kepada pemimpin yang telah dipilih dan rakyat menentukannya. Masing-masing ada peranan.

Umpama sebuah roda, Malaysia tidak boleh dibenarkan untuk berundur. Kita semua perlu memainkan peranan menggerakkan roda perubahan dan bergerak bersama menuju arah yang lebih baik.