Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Selamat Berpuasa: Pesta makan atau pesta ibadah?

SEMALAM saya kurang sihat. Mungkin kerana tersentak dengan makan sahur, agak meragam sistem badan saya. Makan pula bukannya banyak, sikit sahaja. Banyak makan sup dengan nasi. Mungkin usia sudah meningkat agaknya?

Namun tertarik saya dengan pelbagai nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan mengenai apa yang perlu dimakan, bagai­mana hendak makan, minum sekurang-kurang lapan gelas air dari sahur, berbuka, selepas ­solat sehinggalah sebelum tidur. Sungguh menarik maklumat yang diterima.

Antaranya dari Dr. Norhissam Mustafa, CEO Institut Pengurusan Kesihatan Islam (IPKIM), katanya: Ramadan adalah bulan kesihatan, bulan silaturahim, musim perubahan, masa hilang ketagihan, bulan lembut hati, bulan keluasan rezeki, dan bulan membaiki institusi keluarga. Namun Ramadan juga dikaitkan dengan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan kini sebagai pesta makanan.

Kajian yang beliau lakukan adalah kesilapan besar semasa berbuka ialah: Menghimpunkan makan malam dengan berbuka puasa adalah kesilapan. Berbukalah dengan tiga biji kurma (atau makanan yang tinggi potasium seperti makanan bergula perang yang tinggi molasesnya) dan air kosong.

Sebab katanya, buka puasa bukan untuk perut tetapi untuk memberi tenaga kepada hipotalamus (otak dalam otak). Salah satu caranya, elakkan hidang makan malam di depan semasa berbuka.

Hipotalamus yang keletihan berfungsi sepanjang hari akan tidak berfungsi dengan betul sekiranya makanan masuk dengan banyak semasa berbuka. Hal ini menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Katanya lagi: Jangan window shopping ke bazar Ramadan kerana pada waktu itu fungsi kawalan hipotalamus dalam mengawal nafsu makan amat lemah setelah bekerja seharian daripada mula waktu Subuh untuk mengawal kerja-kerja pembongkaran di hati menyebabkan kita hilang perhitungan untuk terus membeli makanan yang kita tidak perlu.

* Jangan lewatkan solat Maghrib.

Hasil daripada pembongkaran glukogen tepu di hati sejak pagi akan menghasilkan tenaga yang sangat banyak, tenaga ini untuk diagihkan keseluruhan tubuh melalui sel. Satu kilo berat badan mempunyai 10,000 trilion sel.

Tenaga ini perlu ditolak/diagih kepada sel-sel dalam tubuh, hasil daripada pergerakan solat 13 rakaat yang berulang-ulang serta gema tenaga sekitaran pada waktu setelah azan Maghrib itu akan menyebabkan tenaga yang dihasilkan oleh tubuh kesan daripada puasa sepanjang hari akan dapat diserakkan ke dalam nuklues sel dan digunakan dengan sempurna. Oleh itu, solat Maghrib perlu disegerakan.

* Selepas solat Maghrib, sel sudah dapat tenaga. Balik terus makan malam. Secara automatik kita akan makan secara baik dan sedikit serta sudah boleh mengawal nafsu makan.

Menu makan malam jangan lebih lima jenis makanan dalam satu hidangan satu jenis makanan ruji (contoh Nasi), lauk, sayur, buah dan air.

* Selepas makan malam, sangat baik kita mandi dengan air sejuk.

Jangan mandi air panas. Boleh letak air batu tambah sejuk. Jangan risau kaitan mandi malam dengan paru-paru berair. Dongeng. Dalilnya jika kita berhadas besar, fiqh suruh segera mandi tanpa menunggu pagi. Jangan mandi macam burung untuk elak paru-paru berair. Burung mandi dengan cara basahkan rambut tapi badan tidak basah.

* Selepas mandi, sebelum pergi solat Isyak minum setengah cawan susu segar + tiga biji kurma + satu sudu teh madu lebah yang diputar (blender).

Solat Isyak berjemaah. Lepas itu sembahyang tarawih, solat dengan perlahan dan santai. Jangan terlalu gopoh-gapah.

* Kalau hendak ambil makanan selepas solat tarawih, pastikan ringan dan sedikit. Makan lepas pukul 10.30 malam adalah kemudaratan yang besar. Masa ini tenaga sudah cukup penuh dalam badan.

Masa itu aktiviti terbaik adalah tadarus minimum. Masa ini tenaga akan bawa input terbaik ke dalam otak dan hati. Kalau masa ini diisi dengan aktiviti atau info yang lalai, maka otak dan hati akan merakam perkara yang kita isi dan boleh menjadi pegangan kita seterusnya.

Selepas itu, sebaiknya tidur sebelum pukul 12 malam untuk kerehatan. Jangan pasang lampu semasa tidur kerana cahaya lampu meningkatkan asidifikasi (asid) tiga kali ganda, salah satu sebab kandungan kolesterol meningkat dalam darah.

* Selepas itu bangun pukul 3 pagi untuk qiamullail. Sunat kejutkan ahli keluarga dengan renjis air sejuk dengan hujung jari. Boleh mandi. Tiada masalah kesihatan.

* Sempurnakan sekurang-kurangnya 10 rakaat solat sunat, Sunat wuduk (2 rakaat), taubat (2 rakaat), tahajud (4 rakaat 2 kali salam), hajat (2 rakaat) dan 3 rakaat witir bagi yang belum witir selepas tarawih tadi.

* Sahur. Sebaik-baik sahur adalah 1/18 dari makan malam dan yang terbaik adalah lebihan makan malam dengan syarat masih elok dan tidak basi. Lewatkan masa masak petang untuk elak cepat basi.

Masak lebih sedikit untuk makan malam, jangan campur garam dan simpan sikit untuk sahur. Bila nak sahur panaskan dengan api perlahan dan setelah panas sedikit baru masukkan garam.

* Jangan tidur selepas Subuh kerana gangguan kepada Tirod. Ini akan menyebabkan masalah terhentinya kerja-kerja pembongkaran (detokfikasi) toksid dalam badan.

* Tidur qailulah ( masa terbaik adalah 1 jam sebelum zohor, cukup hanya sekadar beberapa minit). 1 saat waktu ini ­me­n­yamai tenaga tidur 45 minit waktu biasa.

Norhissam juga berkongsi ­petua memakan kurma: 60 peratus kebaikan berada pada selaput permukaan luar biji kurma.

Masukkan sebiji kurma dan akhir sekali keluarkan biji. Jangan kupas di luar. Antara kurma yang terbaik ada 5 jenis: ajwa, medjool, mabrom, safawi dan mariami

* Puasa adalah detoksifikasi. Ia berlaku apabila fungsi proses makanan dalam perut berehat lebih daripada 8 jam.

Itulah petua beliau untuk kebaikan kita bersama. Allahualam.

Petang semalam saya sempat singgah ke Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam. Masya-Allah begitu ramai orang yang membeli dan menjual. Berjalan sehingga berlaga bahu.

Kerana terlalu ramai manusia yang membeli dan menjual. Saya tak jadi beli apa-apa. Tidak tahu mahu membeli apa.

Naluri wartawan berkata sekadar nak dapatkan feel. Begitu mewah rakyat negara ini. Namun bagi penjual juallah dengan se­ikhlas hati, bukan semata-mata mahu mengejar wang dan keuntungan. Takutlah dengan Allah.

Selamat Beribadah, bukan selamat berpuasa!

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain