Tahniah kepada kuota rasmi Malaysia sebanyak 30,200 orang (berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa kini). Mereka akan berlepas dari lapan lapangan terbang seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kita doakan semua jemaah haji sihat dan selamat menunaikan ibadat serta beroleh haji mabrur.

Penerbangan pertama yang dijadual memasuki Madinah akan berlepas esok iaitu 14 Julai dan penerbangan terakhir ke Mekah dijadualkan pada 14 Ogos. Wukuf dijang­ka pada Isnin, 20 Ogos.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang antara lain maksudnya, setiap amalan itu bermula dengan niat, maka perlulah bakal-bakal haji membetulkan niat masing-ma­sing. Ikhlaskan niat ke tanah suci semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, banyakkan taubat sebelum ke tanah suci, meninggalkan perkara-perkara maksiat dan melalaikan serta meminta maaf dan keredaan semua orang terutama ibu bapa, suami, isteri dan sanak-saudara.

Di sana nanti, hampir tiga hingga empat juta jemaah haji berkumpul di satu tempat pada masa yang sama. Dalam keadaan yang telah ramai ini akan menimbulkan keadaan yang kurang selesa. Oleh itu, pengurusan diri (kendiri) amatlah penting semasa berada di tengah-te­ngah lautan manusia ini. Jemaah haji dinasihatkan me­rancang dan mengatur aktiviti harian supaya ia berjalan lancar dan dapat menyempurnakan ibadat dengan baik.

Memandangkan keadaan cuaca di tanah suci pada tahun ini memasuki era musim panas adalah disarankan semua jemaah haji menjaga diri agar kesihatan tidak terjejas. Jemaah haji disaran banyak minum air terutama zamzam supaya tidak mengalami gejala kekurangan air atau heat stroke.

Bagi yang pertama kali ke tanah suci Madinah, manfaatkan tempoh lapan hari atau 40 waktu solat di masjid. Pastikan anda memerhati keadaan sekeliling Masjid Nabawi bagi mengelak sesat untuk mencari jalan pulang ke hotel penginapan. Walaupun keadaan di Madinah pada awal musim haji ini tidak sesak, elok bergerak secara berkumpulan sekurang-kurangnya berdua. Bawa kad nama hotel sepanjang masa supaya jika sesat, ia boleh digu­nakan untuk mencari jalan pulang.

Jangan lepaskan peluang solat di Raudhah iaitu salah satu tempat di mana mustajabnya doa. Ia terletak pada sebelah kiri Masjid Nabawi dan berhampiran dengan makam Rasulullah SAW. Dalam hadis disebutkan bahawa Raudhah adalah taman surga. Ia dulunya kawasan antara rumah Nabi SAW dan mimbar tempat beliau berkhutbah di Masjid Nabawi yang asli. Luasnya 144 meter persegi dan ia dikenali dengan permaidani hijau manakala seluruh permaidani Masjid Nabawi berwarna merah.

Satu lagi masjid yang ‘wajib’ diziarahi adalah Masjid Quba’ yang terletak kira-kira lima kilometer dari Madinah. Ia masjid pertama dibangunkan dalam sejarah Islam oleh Rasulullah SAW dan para sahabat pada 8 Rabiulawal 1 Hijrah. Umat Islam yang menziarahi Madinah pasti mencari kesempatan solat sunat di masjid ini kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa berwuduk di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba’, lalu ia solat dua rakaat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah. (Riwayat Tirmidzi).

Kesempatan berada di Madinah, hendaklah digunakan untuk menziarahi makam Nabi SAW, insan paling mulia yang membawa rahmat ke sekalian alam. Menurut Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmuk dan Al-Azkar, menziarahi makam Rasulullah SAW adalah sunat muakkad atau ibadah yang sangat dianjurkan. Begitu juga berdoa di makam baginda adalah dianjurkan bagi jemaah haji dan umrah atau bagi mereka yang datang khusus ke Masjid Nabawi dan ziarah saja.

Antara hadis Nabi SAW yang menganjurkan umatnya menziarahi makam baginda adalah: Barang siapa menunaikan haji lalu ziarah ke kuburku setelah wafatku, maka bagaikan ia mengunjungiku saat masih hidupku. (Riwayat al-Baihaqi dan at-Tabrani).