Katanya: “Sekolah kebangsaan di negara ini telah berubah menjadi ke arah sekolah agama. Justeru bagi memperkasa kembali sistem pendidikan di negara ini, kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah sedia ada.

Jelas Dr. Mahathir, kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan yang berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama.

“Seseorang telah mengubah kurikulum sekolah dan sekarang sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama. Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain dan keputusannya lepasan pelajar tidak berapa pandai mata pelajaran yang berguna untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya pada Majlis Makan Malam pada majlis makan malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) 2018.

“Hasilnya, pelajar tidak berapa mahir dalam subjek-subjek yang akan membantu mendapatkan kerja, tetapi mereka menjadi ulama,”

Perenggan terakhir ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Kosmo online. Tiga perkataan terakhir itu tidak terdapat dalam beberapa laporan lain. Saya percaya, mereka merasa tidak selesa untuk melaporkannya.

Malaysiakini serta merta menyokong kenyataan itu. Dalam ulasannya, Malaysiakini, antara lain, berkata:

“Dr. Mahathir Mohamad betul. Sekolah kebangsaan telah menjadi “sekolah agama” dan ramai pasti gembira bahawa Perdana Menteri berhasrat untuk membetulkan keadaan.

Dr. Mahathir sebenarnya telah menyentuh nota yang betul, kerana banyak kumpulan telah menyatakan keprihatinan mengenai keterlaluan memasukkan ‘agama’ dalam sukatan pelajaran sekolah semasa. “ (Terjemahan saya)

Saya juga temui rencana yang ditulis oleh seorang berketurunan Cina dan seorang yang berketurunan India yang menyahut baik kenyataan Dr. Mahathir itu dan mendesak supaya keadaan itu dipatah balik semula.

Penulis berketurunan India itu mendesak pula supaya sekolah aliran Bahasa Inggeris diwujudkan semula, di samping sekolah-sekolah aliran Cina dan India.

Lim Kit Siang menyatakan bahawa membetulkan keadaan itu merupakan cabaran yang paling besar. Ia mungkin akan membangkitkan bantahan seperti bantahan ratifikasi ICERD sekali lagi.

Saya hanya menemui seorang berketurunan Melayu yang menulis dan mengatakan bahawa Dr. Mahathir tersilap fakta atau confused dengan sekolah Kafa. Sebagai seorang yang mempunyai anak bersekolah, beliau tahu kenyataan Dr. Mahathir itu salah, katanya.

Kita tumpukan kepada apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir itu dahulu. Saya percaya ucapan Dr. Mahathir itu bukan satu ucapan bertulis yang dibacanya. Jika tidak, saya percaya ayat ini tidak berbunyi demikian:

“Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain.”

Tetapi, sama ada disengaja atau tersilap fakta atau beliau confused dengan sekolah Kafa atau Maahad Tahfiz, ia telah diucapkan, disiarkan dan dijadikan alasan oleh penulis-penulis bukan Islam untuk menggunanya bagi menyokong agenda mereka.

Kita kena menerima bahawa Dr. Mahathir telah mengeluarkan kata-kata yang dipetik itu dan bertanggungjawab mengenainya. Maka ulasan saya ini adalah berdasarkan apa yang dikatakannya itu.

Dr. Mahathir mengatakan sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama semata-mata berdasarkan kurikulum sekolah itu dan bukan atas alasan-alasan lain seperti pakaian, aktiviti keagamaan dan lain-lain. Maka ulasan ini pun tertumpu kepada alasan itu sahaja.

Sama ada sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama atau tidak adalah soal pendapat. Saya tidak akan berhujah mengenainya. Saya akan lebih menumpukan kepada alasan yang diberinya.

Kurikulum pelajaran memang perlu dikaji semula dari semasa ke semasa dengan tujuan menambahbaikkan dan mengemaskini. Saya tiada masalah dengan perenggan empat petikan ucapannya di atas.

Kenyataan bahawa “Seseorang telah mengubah kurikulum sekolah dan sekarang sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama” adalah tidak betul.

Sejarah menunjukkan kurikulum sekolah rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan nama Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan.

KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). (Ambil perhatian, Dr. Mahathir menjadi Menteri Pendidikan daripada tahun 1974 hingga 1978 dan Perdana Menteri daripada tahun 1981 hingga 2003.)

Selaras dengan ucapan bekas Perdana Menteri (Tun Abdullah Badawi) di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2006, KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

KSSR mula dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011. Sekurang-kurangnya Dr. Mahathir tentu tahu apa yang berlaku daripada tahun 1974 hingga tahun 2003. Kenyataan bahawa “Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain….” adalah salah. Carian rambang melalui internet menghasilkan peruntukan masa bagi mata-mata pelajaran berkenaan adalah seperti berikut (Supaya ringkas saya hanya menunjukkan mata-mata pelajaran teras asas sahaja):

Tahun 2 dan 3:

* Pengurusan Kehidupan: 240 jam setahun

* Asas 3M (BM, BI, Matematik: 192 jam setahun

* Pendidikan Seni Kreatif: 240 jam setahun

* Pendidikan Moral/ Islam: 96 jam setahun

* Pendidikan Jasmani: 64 jam setahun

Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Islam hanya 96/832 jam setahun atau 11.5%.

Bagi Tahun 4,5 dan 6:

* Bahasa Malaysia: 96 jam setahun

* Bahasa Inggeris: 64 jam setahun

* Matematik: 80 jam setahun

* Pengurusan Kehidupan: 96 jam setahun

* Pendidikan Seni Visual: 32 jam setahun

* Pendidikan Musik: 32 jam setahun

* Pendidikan Moral/Islam: 96 jam setahun

* Pen. Jasmani dan Kesihatan: 48 jam setahun

* Pen. Sains, Alam Sekitar : 80 jam setahun

* Teknologi Maklumat: 32 jam setahun

Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 96/656 jam seminggu atau 14.6%.

Bagi sekolah menengah rendah pula:

* Bahasa Melayu: 4 jam seminggu

* Bahasa Inggeris: 3.5 jam seminggu

* Pendidikan moral/Islam: 4 jam seminggu

* Matematik: 3.5 jam seminggu

* Sains 3.5 jam seminggu

* Sejarah 2 jam seminggu

Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 4/20.5 jam seminggu atau 19.5%.

Bagi sekolah menengah atas pula (mata pelajaran teras sahaja):

* Bahasa Melayu: 4 jam seminggu

* Bahasa Inggeris: 3.5 jam seminggu

* Pendidikan moral/Islam: 3 jam seminggu

* Matematik: 3.5 jam seminggu

* Sains 3.5 jam seminggu

* Sejarah 2 jam seminggu

Dalam kata-kata lain masa diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 3/19.5 jam seminggu atau 15.3%. Angka-angka ini dengan jelasnya menunjukkan keadaan sebenar.

Mengenai ayat terakhir yang beliau dilaporkan berkata, pelajar-pelajar itu “tidak berapa mahir dalam subjek-subjek yang akan membantu mendapatkan kerja,” pengajaran ilmu agama tidak boleh disalahkan kerana premis hujah beliau bahawa “Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain….” adalah salah.

Dalam kata-kata lain, kita tidak boleh menyalahkan pembelajaran ilmu agama Islam jika pelajar-pelajar itu tidak berapa mahir dalam subjek-subjek lain.

Ungkapan “…tetapi mereka menjadi ulama,” nyata salah tempatnya. Beliau bercakap berkenaan sekolah, bukan universiti.

Seorang pelajar berkelulusan sekolah menengah kebangsaan tidak menjadi atau digelar ulama. Saya pun pernah mengkritik penyalahgunaan perkataan “ulama” di negara ini. Tetapi, itu berlainan daripada apa yang dikatakan beliau.

Bersambung esok

Penulis ialah bekas Ketua 
Hakim Negara.