Ketua Kluster Penyelidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Islam, Kulliyah ICT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Mohamad Fauzan Noordin berkata, Permainan Ganas dalam Talian atau (Violence E-Sports) yang popular tidak boleh terus diperkenalkan di Malaysia.

Dalam hal itu, kata beliau, usaha DNA23 (Digital Native Agenda 23) oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diterjemahkan sebagai agenda negara yang bersifat dan berteraskan nilai murni rakyat negara ini.

“Kesan negatif daripada permainan ganas dalam talian seperti Fortnite telah dirasai di negara barat, malah ada seorang ibu di UK di siaran TV mengatakan beliau hilang anaknya kepada Fortnite. Dalam kata lain Fortnite seperti dadah jika sudah ketagih susah untuk melepaskannya.

“Negeri Gujurat di India telah mengharamkan permainan dalam talian PUBG. Walaupun Menteri Belia dan Sukan menolak kaitan PUBG dengan kejadian di Christchurch, perbincangan dan penyelidikan mengenai pengaruh permainan ganas dalam talian dan kesan kelakuan kepada pemainnya perlu dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE