Al-maklum sejak dahulu kala rasuah dan penyelewengan adalah isu paling berkesan meraih simpati umum. Umpama komoditi bahan makanan asas, rasuah paling mudah dijual. Rasuah sudah menjadi pakaian wajib pilihan raya selain kos sara hjdup.

Kini sudah ada Parti Bebas Rasuah walaupun pendaftarannya masih menjadi kontroversi termasuk dakwaan penyelewengan daripada pemilik asal. Terlihatlah parti yang sebegini pun dan semua pihak umpama bencikan rasuah dan berintegriti tinggi.

Tetapi seperti yang kita saksikan, banyak yang lebih cakap daripada buat. Prinsip ideal kebertanggungjawaban seperti letak jawatan sebaik-baik pertuduhan di mahkamah untuk kes diri sendiri atau orang bawahan, belum menjadi budaya.

Kita masih tebal dengan perangai kalau kena orang lain perlu letak jawatan tetapi berdalih konspirasi politik apabila terkena batang hidung sendiri.

Begitu pun bibit-bibitnya sudah mulai nampak. Tiada alasan, langkah-langkah agresif SPRM perlu disokong dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Perlu diakui dalam konteks yang tersendiri perlakuan rasuah di negara ini serius walaupun data menunjukkan ia terkawal. Terlalu banyak kes terutama melibatkan penegak undang-undang terlibat makan rasuah. Ada yang sampai ke tahap berbangga mempertontonkan hasil rasuah mereka. Inilah yang sebenarnya begitu membimbangkan.

Terbaharu sekumpulan pegawai kanan polis di Bukit Aman ditukarkan dan ditahan kerana didakwa melindungi sindiket dadah. Kemudian sekumpulan anggota polis di Melaka ditahan kerana disyaki ambil imbuhan bagi melindungi pengusaha pusat judi dan rumah urut. Ini - penguat kuasa lindungi aktiviti haram - cerita biasa kita dengar. Masyarakat sudah lali.

Cuma kali ini tindakannya agak luar biasa. Rangkaian "rasuah berjemaah" daripada ketua polis daerah, anggota biasa serta orang hubungan diberkas. Akaun bank bernilai RM459,000 milik sembilan individu termasuk enam pegawai kanan dipercayai melindungi aktiviti haram di sekitar Melaka itu dibekukan.

Klise

Wang tunai bernilai RM186,000 ditemukan di rumah suspek. Kemudiannya wang tunai RM800, 000 ditemukan di stor rumah polis milik seorang koperal. Wang itu dipercayai daripada tauke-tauke judi haram sejak awal tahun ini.

Tindakan seperti ini memang sangat dinanti-nantikan masyarakat. Mereka sudah lelah dan bosan dengan cerita klise si tauke dilindungi polis seperti tiada siapa peduli dengan rantaian rasuah itu.

Yang paling terkesan penangkapan pegawai kanan Pusat Pungutan Zakat Pulau Pinang(PPZPP) bersama tujuh kontraktor. Sukar untuk ditelan mahupun diluah, orang yang bertanggungjawab terhadap institusi zakat boleh terjerumus dalam perlakuan jijik rasuah dan salah guna kuasa. Memang sukar dimengerti. Tambahan pula ini berlaku di Pulau Pinang, negeri yang lidah pemimpinnya mengagungkan soal kebertanggungjawaban.

Cuma yang agak janggal apabila Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dalam Negeri, Datuk Abdul Malik Kasim menegaskan penahanan pegawai PPZPP itu bagi membantu siasatan yang menjurus kepada penyelewengan peribadi.

Exco daripada PKR ini memberi jaminan tidak ada wang zakat yang disumbangkan umat Islam diselewengkan. Hujah bernada membela dan membersihkan nama PPZPP tidak selari dengan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus kerajaan negeri.

Sesuai dengan kayu ukur "wira-wira rasuah" daripada Pakatan Harapan kita mengharapkan Abdul Malik menunjukkan teladan. Paling tidak memohon maaf atas keributan yang berlaku khususnya kepada penyumbang zakat. Atau paling ideal menyatakan komitmen untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika pegawai PPZPP didakwa di mahkamah kelak.

Tetapi begitulah perilaku mereka. Berdegar-degar mahu menjadi wira rasuah, mahu pihak paling ke hadapan. Apa sahaja kes rasuah melibatkan pegawai mahu dipolitikkan. Ucapan SPRM yang memberi ingatan kepada UMNO sempena ulang tahun ke- 71 pun disensasi kononnya suruhanjaya itu tunduk kepada UMNO.

Dalam kes ini tidak pula ada politikus mahupun sekutu Pakatan Harapan dan NGO yang meminta kerajaan negeri Pulau Pinang bertanggungjawab atau meletakkan jawatan. Tidak ada.

Kayu ukur mereka berbeza. Dan, ini bukan yang pertama. Dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng situasinya lebih teruk kerana beliau sendiri adalah orang kena tuduh.

Begitulah isu rasuah dipergunakan. Pada hari-hari mendatang ini kita akan menyaksikan "hero-hero rasuah" ini akan tambah kuat berkokok. Nilailah, siapakah yang sebenarnya, yang sungguh-sungguh berjuang untuk membanteras rasuah?