Ada juga meratap gaji tidak naik, bonus tiada, apa lagi hendak mengharapkan kenaikan merit. Perit sungguh, kata mereka. Tapi telefon pintar tetap dalam genggaman. Ya lah, kalau tiada telefon pintar, bagaimana hendak luahkan perasaan dalam Facebook? Jadi persoalannya ialah sehingga ke tahap apakah sanggup anda berkorban?

Tiada paksaan. Tidak mahu fikir, pun tidak berdosa. Bukan soalan wajib. Berikut adalah satu ceritera yang saya terima daripada penglipur lara, mungkin boleh mendorong anda mula berfikir:

Alkisah di sebuah negara bernama Epal Nanaspen, seorang lelaki miskin tinggal bersama isterinya di hujung bendang.

Tersangatlah miskin lelaki itu, hinggakan beli televisyen 55 inci pun tidak mampu, apalagi melanggan TV satelit.

Harta yang ada pun hanya seutas jam tangan. Ini penting kerana dengan adanya jam, dia boleh mengambil upah mengejutkan orang kampung dari tidur untuk ke bendang.

Selain jam tangan, lelaki itu tiada harta. Yang mungkin boleh dikategorikan 'harta' ialah isterinya. Walaupun miskin, sang isteri menjaga suaminya dengan tertib dan penuh kasih sayang.

Malah, penampilan pun dijaga walaupun hanya dapat mandi di pinggir kali. Sang isteri menyimpan rambut panjang, yang menjadi kesukaan belaian suaminya. Satu hari, sang isteri meminta suaminya membelikan sikat rambut agar dapat diguna untuk mendandan rambutnya dengan lebih elok.

Malangnya, lelaki itu terlalu miskin tidak berduit untuk memenuhi permintaan isterinya. "Maafkan daku wahai adinda, abang tidak cukup duit. Hendak menukar tali jam tangan ini pun tidak mampu,’’ katanya. Terdiamlah sang isteri dan tidaklah dia meminta lagi.

Keesokan harinya, le­la­ki itu keluar bekerja menge­jutkan orang kampung seperti biasa dan semasa pu­lang, dia terlihat gerai menjual jam tangan.

Setelah berunding, dia berjaya menjual jam ta­ngan­nya walaupun tali jam rabak. Dengan duit ter­se­but, dia membeli sikat seperti yang dimahukan isterinya. Sesampai di ru­mah dengan sikat di ta­ngan, lelaki miskin itu ter­peranjat melihat isterinya berambut pendek.

Sang isteri memberi­tahu, dia telah menjual ram­butnya dan di tangan­nya tali jam baharu. Sean­dai­nya watak-watak di atas itu anda, sanggupkah anda ber­korban ke tahap begitu? Mengapa tidak? Ia melibatkan suami atau isteri anda, separuh daripada nyawa anda.

Tetapi bagaimana jika ia melibatkan orang-orang seperti adik-bera­dik, sa­ha­bat-handai atau jiran tetangga? Lama ter­menung mencari jawapan ya?

Satu lagi ceritera yang juga diperoleh dari­pada sang penglipur lara dan diper­tu­runkan se­mula mengikut kaedah Merrepak ialah kisah bapa dengan anak­nya yang berusia lima tahun.

Makan malam

Sang bapa adalah seo­rang eksekutif kanan yang banyak projek perl­u diurus­kan dan ini mengakibatkan dia sering pu­lang lewat. Satu malam, lelaki itu yang pulang lewat dalam keadaan letih dan lesu, terkejut mendapati sang anak menantinya di pintu.

"Ayah, bolehkah saya bertanya satu soalan?’’ Bapanya menjawab 'ya’.

"Ayah, berapa gaji ayah dalam satu jam?’’ soal anak.

"RM20 sejam. Kenapa nak tahu?’’ soal bapa semu­la kepada anak.

"Saya cuma hendak tahu. Ayah boleh pin­jamkan saya RM10?’’ kata anak.

Mendengarkannya, tiba-tiba sang bapa naik darah. "Kenapa? Awak hendak beli alat permainan lagi? Tidak cukupkah lagi yang ayah sudah berikan?

"Awak tidak fikirkah betapa ayah letih bekerja 12 jam sehari untuk mencari duit tetapi awak senang-senang minta duit,’’ bentak sang bapa lalu mengarahkannya masuk ke bilik dan tidur.

Anak berusia lima tahun itu tidak membantah dan masuk ke bilik. Setelah sejam, sang bapa sudah bertenang dan teringat kembali perbualan dengan anaknya. Mungkin ada sesuatu yang anaknya mahu belikan dengan RM10.

Sang ayah masuk ke bilik anaknya dan bertanya sama ada dia sudah tidur atau tidak. Sang anak menjawab, tidak dan masih berjaga sebenarnya. Sang bapa pun berkata, "Ayah mungkin terkasar awal tadi. Maafkan ayah. Setelah bekerja lama hari ini, ayah letih dan berkasar dengan awak. Nah, ini RM10 yang awak minta.

Sang anak tadi bingkas duduk menyambut wang yang dihulur bapanya dengan girang. Kemudian, dia mengeluarkan beberapa helai duit dari bawah bantalnya.

Melihatkan tingkah laku itu, sang bapa mula naik darah lagi tetapi anaknya terus mengira duit, sebelum memandang wajah bapanya.

"Kenapa awak hendak duit lagi sedangkan awak sudah ada duit,’’ rungut bapanya.

"Sebab dulu saya tidak cukup tetapi sekarang cukup. Ayah, sekarang saya ada RM20. Bolehkah saya membeli sejam daripada masa ayah? Tolong balik awal esok. Saya hendak makan malam dengan ayah,’’ kata anak itu.