Selama ini pun katanya, terdapat puak-puak liberal di negara ini seperti kumpulan G25 sejak tiga tahun lalu mahu Jakim dimansuhkan. Bukan setakat Jakim malah hukuman terhadap perbuatan maksiat (khalwat) juga mahu dihapuskan atas alasan melanggar hak kebebasan seseorang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau betullah berita ini, apa akan jadi dengan Malaysia selepas ini? Adakah Islam tiada lagi peranan dan fungsinya dalam kerajaan? Adakah Malaysia bakal menjadi sebuah negara sekular dalam keadaan umat Islam merupakan penduduk majoriti? Tanyanya bertalu-talu kepada Kalam.

Sambungnya lagi, tidak mustahil selepas Jakim, institusi-institusi agama di peringkat Persekutuan yang lain seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) turut menerima nasib yang sama.

Kalam faham perasaannya ketika kami berbincang isu ini bersama-sama. Itu belum lagi disentuh masa depan institusi-institusi pendidikan agama sama ada milik kerajaan atau swasta. Kemudian Kalam menenangkannya dan menyatakan berita ini belum sahih dan kenyataan rasmi mengenainya juga masih belum dibuat.

Dengan perasaan yang agak lega dia berkata, jika itu keadaannya adalah amat diharapkan kerajaan Pakatan Harapan jangan sesekali memenuhi sebarang tuntutan yang seperti ini kerana kesannya amat buruk terutama kepada keamanan dan keselamatan negara.

Sememangnya setiap tutur kata teman Kalam ini ada asas dan ada benarnya. Sebagai rakyat dan seorang Islam yang taat dia amat khuatir sekiranya kerajaan Pakatan Harapan gagal meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya tetapi lebih mengutamakan kesaksamaan serta hak asasi.

Kalam juga berpandangan sedemikian. Islam adalah agama suci yang begitu tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Oleh itu kerajaan Pakatan Harapan mempunyai tanggungjawab melindungi Islam daripada anasir-anasir yang boleh mencemari kesuciannya.

Oleh itu, soal untuk memansuhkan Jakim tidak seharus­nya wujud dalam kamus pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan walaupun ditekan atau didesak oleh pihak-pihak tertentu. Sebaliknya institusi-institusi agama seperti Jakim ini perlu terus dipertahankan atas faktor kepentingan umat Islam.

Lagipun Kalam difahamkan dalam ikrar dan persetujuan antara semua Presiden parti yang membentuk Pakatan Harapan, mereka telah bersetuju dan kemudian menandatangani deklarasi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang antara intipati terpenting ialah Perkara 3 (1) iaitu Islam sebagai Agama bagi Persekutuan.

Yang penting, usah diberi ruang sedikit pun kepada puak-puak yang membuat desakan ini. Puak-puak tersebut sentiasa mengintai peluang untuk melakukan apa sahaja demi menghakis peranan serta fungsi Islam dalam pentadbiran kerajaan serta penguatkuasaan undang-undang.

Dalam pada itu Kalam amat bersetuju dengan ke­tegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam soal ini apabila beliau mahu kerajaan Pakatan Harapan tidak berkompromi dalam soal membabitkan Islam dan Melayu. Menurut Abdul Hadi, kedua-dua kepentingan itu perlu dipertahankan oleh kerajaan Pakatan Harapan sampai bila-bila atas nama tanggungjawab serta amanah.

Selain itu kebimbangan tentang kedudukan Islam dalam era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan turut disuarakan oleh para mufti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Seperti mana teman Kalam sebelum ini, kerisauan mereka termasuk kita dalam isu ini ada asasnya kerana komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam mempertahankan Islam pada masa ini masih belum jelas. Apa pun besarlah harapan kami agar kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengabaikan Islam tetapi terus mempertahankan agama suci ini tanpa kompromi. Renung-renungkanlah.-UTUSAN ONLINE