Kini, akhbar itu kembali bersinar, selepas pudar untuk satu masa agak panjang dek revolusi pendidikan yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan, individualistik serta jumud yang secara perlahan-lahan memakan konsep bahan bacaan luas dan pengetahuan semasa dalam kala­ngan pelajar. Sejak itu muncul semula cahaya di hujung terowong.

Seperti satu rahmat dari-Nya, maka penekanan semasa dalam kurikulum kepada Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) telah merubah pendidikan dunia kepada melahirkan modal insan, de­ngan kaedah, aktiviti, teknik serta prinsip dan teori yang menjurus untuk mencanai pelajar kreatif, kritis, kolaboratif, berkomunikasi serta berpegang kepada etika dan nilai (4K1N) yang diterima.

Di Malaysia, secara perlahan-lahan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan transformasi yang disarankan di dalamnya mahu supaya sudut pandang di lihat se­mula, termasuk dari segi standard kurikulum, pentaksiran, pedagogi, psikologi serta teknologinya dianjakkan kepada satu hala tuju berfokuskan modal insan.

Di sinilah, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin memperkenalkan istilah merangkai titik-titik (Connecting the Dots) supaya PPPM dapat digarap dalam ekosistem proses pem­belajaran dan pemudahcaraan (PDPC). Beliau mengiktiraf Utusan Pelajar sebagai teks untuk guru di seluruh negara menerapkannya PDPC di bilik darjah ma­sing-masing.

Kata Amin, akhbar pendidikan yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan ini menepati aspirasi merangkai titik-titik PAK-21 yang menjadi hala tuju Kementerian Pendidikan.

Malah akhbar pendidikan yang diterbitkan sejak perte­ngahan Ogos 1970 itu disifatkan oleh Amin harus menjadi ‘teks’ kepada sebanyak 700 buah sekolah transformasi bermula tahun depan dalam usaha memacu kemenjadian murid, guru berkesan, kepemimpinan sekolah serta penglibatan komuniti.

Kenyataan dan saranan itu dinyatakan beliau baru-baru ini semasa kunjungan hormat Unit Pendidikan bagi menyatakan hasrat untuk menyambung inisiatif penjenamaan PAK-21 serta me­lantik beliau sebagai ikon Utusan Pelajar mulai 2018.

“Saya mengiktiraf Utusan Pelajar menepati konsep Connec­ting the Dots dan menepati semua elemen PAK-21,” katanya sambil bersetuju menyokong inisiatif Kumpulan Utusan selepas ini yang mempunyai kalendar yang sarat untuk menjenamakan aktiviti PAK-21.

Kunjungan hormat diketuai oleh Pengurus dan Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim, Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Pengarah Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Dr. Suhaimi Mohd. Ali.

Program penjenamaan PAK-21 yang memasuki tahun kedua itu bertujuan menyemarakkan budaya PAK-21 dalam ekosistem pendidikan di negara ini melalui modul 10 minit perhimpunan mingguan, modul integrasi Utusan Pelajar - CIDS (Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif) dan ikon.

Menurut Amin, semua sekolah, terutamanya 700 buah sekolah transformasi di Malaysia akan diarahkan supaya menggunakan Utusan Pelajar serta komponen di dalamnya dalam proses PDPC mulai awal 2018.

Program Penjenamaan PAK-21 ini menggunakan wadah dan wacana institusi dominan dalam ekosistem pendidikan, iaitu perhimpunan pagi, bahan PDPC, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pusat sumber dan ikon.

Utusan Pelajar sebagai bahan rujukan pusat sumber berbentuk bahan bacaan tematik dan modular yang patuh tema PAK-21 yang boleh digunakan oleh guru dalam proses PDPC sepanjang masa. Bahan-bahan ini diambil daripada rencana berkualiti yang di­sunting dengan ilustrasi berwarna-warni dan bersifat semasa.

Modul 10 Minit sebagai bahan projek murid untuk dibentangkan di perhimpunan mingguan sekolah, Ketua Pengarah Pelajaran semasa secara sendirinya ialah ikon projek penjenamaan. Modul dibangunkan oleh IPGKIK yang mempunyai kebitaraan dalam PAK-21 dan pendidikan khas dan inklusif.

Elemen terbaru yang disarankan oleh Amin untuk dilaksanakan di semua sekolah adalah mengintegrasikan semua elemen PAK-21 melalui Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dengan CIDS dijadikan mekasnime perancangan pengajaran harian guru.

Utusan Pelajar dilengkapi de­ngan bahan rangsangan merentas subjek dan tahap, halaman aktiviti PDPC berfokus i-Think dan pembangunan Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) hingga Tinggi (KBAT) serta sampel Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Sampel RPH akan dilengkapkan dengan kod imbas (QR Code) supaya guru boleh mengimbas dan dituju pandu kepada sistem CIDS bagi membolehkan guru merancang PDPC secara profesional, terancang dan boleh didokumenkan.

Semua guru dengan mudah­nya, boleh membangunkan RPH kerana Dokumen Standard Pem­belajaran (DSKP) telah disediakan dalam CIDS bagi menyenangkan mereka membangunkan objektif, kriteria pembelajaran murid dan sebagainya mengikut kreativiti masing-masing, berdasarkan bahan rangsangan yang disediakan oleh Utusan Pelajar.

Gandingan antara bahan Utusan Pelajar dan CIDS adalah contoh bagaimana konsep pembelajaran teradun (blended learning) dan konsep bilik darjah beranjak (flipped classroom) diaplikasikan dalam situasi perancangan guru yang baharu ini.

Bagi golongan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) yang bersifat technology savvy, CIDS menyediakan platform bagi mereka bersembang maya melalui kemudahan sembang video dan persidangan video atau forum untuk berkongsi bahan, ilmu dan kemahiran dalam menyelesaikan permasalahan pembelajaran.

Utusan Pelajar adalah bahan perancangan aktiviti pembelajaran yang mudah, tetapi mampu melangkah ke hadapan seiring dengan transformasi pendidikan PAK21 dan mengekalkan visi KPM menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia.