Banyak perdebatan dan perbincangan dalam kalangan ibu bapa, iaitu bagaimana tahun lalu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak diuar-uarkan secara meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan A bagi kesemua mata pelajaran tidak dihebohkan dalam media bagi menggambarkan bahawa sistem pendidikan negara kini tidak hanya meraikan pelajar cemerlang semata-mata.

Disusuli dengan keputusan permohonan kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi pelajar tingkatan satu pada minggu lalu menghangatkan lagi perbincangan tentang ­perubahan sistem pendidikan yang cuba diterapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Banyak persoalan yang timbul dalam kalangan ibu bapa tentang bagaimana perubahan ini boleh mengubah struktur kehidupan rakyat Malaysia. Bukan setakat perubahan minda tetapi juga bagaimana episod kecemerlangan akademik pelajar di bangku sekolah dipanjangkan ke peringkat menara gading dan dunia pekerjaan.

Sebagai contoh, bagaimana bidang pekerjaan kelak tidak lagi hanya tertumpu pada kecemerlangan akademik semata-mata untuk pengambilan pekerja baharu tetapi juga aspek-aspek kemenjadian lain yang cuba ditekankan di peringkat sekolah.

Sudah tentu kita tidak mahu perubahan ini hanya berlaku di peringkat sekolah, walhal di ­peringkat lebih tinggi kecemerlangan akademik masih menjadi kayu pengukur utama kejayaan dan kelayakan seseorang.

Sememangnya usaha Kementerian Pendidikan perlu dilihat dengan lebih menyeluruh. Hal sedemikian berlaku kerana masalah sosial dan akhlak dalam kalangan murid dan pelajar perlu ditangani sebaik mungkin untuk membina Malaysia yang bakal bergelar negara maju pada masa hadapan.

Dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah seperti ponteng sekolah, keciciran, gengsterisme, penagihan dadah, merempit dan buli yang mana sehingga kini menjadi dilema dalam kalangan masyarakat Malaysia, maka sudah tentulah aspek pembinaan karakter hebat melalui kemenjadian murid dan pelajar yang beradab dan bersahsiah tinggi menjadi teras generasi masa hadapan negara.

Maka, timbul persoalan seterusnya bagaimana untuk menyeimbangkan aspek kecemerlangan akademik dan pembinaan karakter hebat ini. Adakah de­ngan tidak mengasingkan pelajar kurang cemerlang akademik dengan pelajar cemerlang akademik dalam sesebuah kelas boleh membantu hal ini?

Keutamaan perlu diberikan dalam memastikan kedua-dua kategori pelajar ini bergaul de­ngan baik sehingga melonjakkan kecemerlangan akademik, kokurikulum, kepimpinan dan paling utama sahsiah. Ini bagi membentuk pelajar serba-serbi cemerlang pada masa hadapan.

Bagi pelajar kurang memiliki sahsiah tinggi pula, perubahan yang ingin dibawa oleh Kementerian Pendidikan perlu membentuk mereka ke arah karakter lebih baik pada masa hadapan. Kita tidak boleh menyisihkan mereka daripada arus perdana kerana mereka ini juga adalah sebahagian daripada masyarakat.

Tidak mustahil suatu hari kelak, jika dididik dengan cara betul, mereka ini mampu memberi sumbangan bermakna kepada negara dan rakyat Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, sistem pendidikan juga perlu melihat bagaimana teknologi terkini boleh digunakan secara positif dan bukannya negatif. Murid dan pelajar perlu dididik bahawa teknologi adalah alat untuk memudahkan urusan manusia dan digunakan untuk tujuan kebaikan. Dalam hal ini, kemenjadian murid dan pelajar amat penting agar tidak berlaku penyalahgunaan teknologi terkini yang boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat.

Apa yang boleh kita lihat pada masa kini, sikap manusia mudah melatah terhadap sesuatu isu dan menyebarkan kepada orang ramai tanpa mempedulikan fakta mahupun perasaan orang lain melalui penggunaan teknologi terkini seperti media sosial.

Hakikatnya, hal ini telah dan sedang mengubah bagaimana ma­nusia bertingkah laku berbanding pada masa lampau. Tidak hairanlah kini, budaya hormat-menghormati semakin terhakis, di samping sikap melampaui batas dari sudut menyampaikan maklumat dan pendapat.

Tambahan lagi, suasana pendidikan negara jauh berubah apabila guru semakin hari semakin tidak mampu ‘mengawal’ murid dan pelajar nakal melalui pendekatan fizikal seperti merotan sehingga menjadikan disiplin pelajar seolah-olah diperjudikan.

Walhal, disiplin asas kepada pembentukan karakter seseorang terutamanya anak-anak kecil di bangku sekolah. Dengan cabaran dan tekanan semakin meningkat dalam sistem pendidikan negara, jadi, mampukah kita dapat melahirkan generasi muda yang benar-benar seimbang dari sudut akademik dan karakter hebat?

Ini belum lagi membicarakan isu kelemahan institusi keluarga yang akhirnya memburukkan lagi usaha untuk merealisasikan kemenjadian seseorang murid dan pelajar. Jadi, dalam hal ini, negara amat memerlukan ekosistem jaringan pendidikan kukuh meliputi setiap rantaian nilai kehidupan rakyat Malaysia.

Justeru, tidak wajar tertumpu semata-mata pada isu meraikan kecemerlangan prestasi akademik murid, pelajar dan sekolah serta tiada pengasingan pelajar kurang cemerlang akademik.

Keperluan mengutamakan ka­rakter hebat yang dapat mengubah paradigma, sikap dan tingkah laku murid dan pelajar yang bakal memimpin negara kelak. Pada masa sama, tidak sesekali mengabaikan kecemerlangan akademik dalam kalangan mereka kerana itu juga gambaran kemajuan sesebuah negara.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).