Sememangnya kemerdekaan dan kebebasan tiada galang gantinya. Walaupun pada hari ini mungkin sudah tiada lagi negara yang sedang dijajah secara fizikal namun secara realitinya tidak semua negara bebas sepenuhnya.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kepada semua rakyat negara ini untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kemerdekaan dan kebebasan yang ada sekarang. Perlu diingatkan kemerdekaan ini tidak dicapai atau datang bergolek begitu saja.

Sebaliknya kemerdekaan hadir melalui pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu setelah lebih 400 tahun bumi bertuah ini dijajah dengan rakusnya oleh puak-puak penjajah. Bukan sedikit nyawa yang terkorban dan bukan sedikit kerosakan, kehancuran dan kemusnahan yang telah berlaku sepanjang masa penjajahan tersebut.

Zaman komunis misalnya nyawa umpama tiada nilai langsung. Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan oleh komunis secara kejam dan zalim. Itulah harga dan nilai sebenar kebebasan yang telah dibayar oleh generasi terdahulu demi mempertahankan ibu pertiwi dan seterusnya mencapai kemerdekaan.

Oleh itu generasi hari ini perlu menginsafi segala kejadian yang telah berlaku itu agar kita sama sekali tidak leka, lupa mahupun lalai untuk terus melahirkan rasa syukur. Hal ini penting kerana kemerdekaan yang dikecapi tidak selama-lamanya kekal.

Pada hari ini penjajahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan kaedah antaranya penjajahan dari segi minda dan pemikiran. Termasuk juga penjajahan mela­lui teknologi serta penjajahan dari aspek ekonomi.

Di samping itu usaha untuk campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara atas pelbagai alasan termasuk menggunakan kekuatan tentera turut giat dijalankan oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Realitinya kita tidaklah bebas sepenuhnya. Masih banyak lagi perkara perlu dilakukan dalam usaha bagi memastikan negara ini benar-benar menikmati kemerdekaan yang sebenar. Jika zaman penjajahan dahulu generasi ketika itu sanggup mengetepikan segala perbezaan demi mencapai kemerdekaan, pada hari ini ge­nerasi sekarang juga dituntut sehati sejiwa bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara ini daripada diceroboh oleh mana-mana pihak.

Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh golongan pasca merdeka yang selama ini telah mewarisi nikmat kemerdekaan daripada generasi dahulu. Pastinya gene­rasi hari ini tidak pernah merasai kesusahan dan keperitan zaman penjajahan.

Namun itu bukanlah alasan untuk generasi sekarang berpeluk tubuh dan berdiam diri tanpa mempedulikan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Sebaliknya generasi hari ini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Sesungguhnya mencapai kemerdekaan itu memang susah tetapi untuk mempertahankannya adalah lebih sukar lagi.

Dalam konteks ini satu-sa­tunya kekuatan yang ada pada Malaysia ialah perpaduan antara setiap kaum dan etnik. Meskipun ada ketikanya tahap perpaduan kaum ini dilihat sedikit goyah aki­bat beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku, namun secara keseluruhannya masyarakat majmuk negara ini masih kekal bersatu padu.

Hakikatnya, inilah tanah air yang amat dicintai. Sehubungan itu marilah kita sama-sama bangkit berganding bahu sehati sejiwa mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara ini. Ja­ngan sesekali benarkan anasir luar mengambil peluang dan menghancurkan apa yang telah dibina dan dibanggakan selama ini.

Demi Malaysia, perpaduan ka­um yang menjadi tunjang kejayaan dan manifestasi kebersamaaan kita selama ini perlu terus diperkukuhkan.

Janganlah ada lagi pihak yang cuba bermain api dengan menyen­tuh isu-isu sensitif terutamanya membabitkan aspek hak sesuatu kaum, kebebasan beragama serta beberapa perkara berkaitan. Isu-isu seperti ini mudah mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan dalam masyarakat apatah lagi dalam suasana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Jika selama ini amalan politik perkauman menjadi punca perbalahan, marilah kita berdamai dan menghentikan segala pertelagahan. Tiada gunanya masing-masing bertelingkah sesama sen­diri sekiranya yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Sedarlah dalam usia Malaysia yang telah menginjak 60 tahun tidak sewajarnya kita menoleh ke belakang lagi. Dunia sudah semakin maju. Mahu tidak mahu Malaysia perlu mengorak ke hadapan dan inilah yang berlaku sekarang.

Apa pun perlu diakui Malaysia kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semuanya ini adalah hasil daripada perpa­duan yang dikecapi di samping kebijaksanaan para pemimpin negara dari dahulu hingga ke hari ini.

Jadi marilah kita buktikan bahawa semua rakyat negara ini mampu sehati sejiwa dalam meneruskan legasi kejayaan Malaysia bagi tahun-tahun mendatang. Dalam pada itu agenda nasional Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah hala tuju negara yang dilihat mampu mencorak masa depan Malaysia dan generasi akan datang dengan lebih cemerlang.

Bagaimanapun kejayaan dasar seperti ini banyak bergantung kepada kesanggupan rakyat untuk menterjemah dan menzahirkannya sebagai agenda bersama. Dalam merealisasikannya tiada golongan yang terkecuali mahupun terpinggir atau ditinggalkan. Segenap lapisan masyarakat perlu sehati sejiwa dalam menjayakan agenda nasional ini demi masa depan anak cucu kita kelak.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia.