Tetapi pada masa yang sama,  masih ada suara-suara yang mempersoalkan tentang jurang kemajuan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Sebagai sebuah negara majmuk yang mengamalkan konsep integrasi, isu sensitif melibatkan kaum dan agama juga masih wujud. Jadi, sejauh mana kita telah mencapai aspirasi pembentukan Malaysia seperti semangat asalnya pada 1963? Bagi membincangkan perkara itu, Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Wacana Ilmuwan bertajuk Negaraku Malaysia: Di Mana, Ke Mana Kita? di UPM pada Rabu lalu. Ikuti sedutan wacana yang disediakan oleh wartawan Mingguan Malaysia, FARHANA JONI dan AZMAN IBRAHIM.

TIMBALAN PENGERUSI MPN, PROF. ULUNG SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN

Perlunya kita pisahkan konsep negara dan bangsa. Kita sudah ada negara, yang kita warisi daripada penjajah dengan sistemnya yang jelas, perundangan, sempadan, kerakyatan dan perlembagaan.

Ini adalah ciri-ciri sebuah negara tetapi bangsa masih kita idamkan dan belum kita capai. Itu sebabnya ada disebut Wawasan 2020, United Malaysian Nation dan pelbagai lagi istilah seperti Malaysian Malaysia dan Negara Islam. Ini semua keinginan yang diimpikan oleh rakyat Malaysia yang mengisi negara ini.

Kita mempunyai negara tetapi soal bangsa masih diperjuangkan. Yang kita perjuangkan setiap hari dalam akhbar dan media massa adalah bukan masalah negara tetapi cabaran dalam peruntukan bangsa.

Sebab kita tahu ada dua hujah, dalam pelbagai badan ekonomi dunia menilai Malaysia maju, bagus dan pencapaian pertumbuhan tinggi tapi mereka masih bergelut untuk mencari ruang dan gambaran tentang masa depan bangsa Malaysia.

Inilah kehebatan Malaysia, tidak seperti negara lain yang mempunyai konflik etnik yang hebat dan kuat sedangkan di Malaysia banyak bertikam lidah berbanding berperang.

Dalam hal ini, saya melihat Malaysia memilih integrasi dan bukan asimilasi. Asimilasi seperti di Indonesia atau Thailand iaitu rakyatnya perlu menukar dan menggunakan nama yang memiliki ciri-ciri negara tersebut.

Oleh itu, apa yang dilakukan negara Malaysia adalah membina tapak-tapak integrasi untuk membolehkan perbezaan pandangan dan pendapat disimpulkan dalam satu tapak supaya menjadi satu pengantar untuk kita sama-sama bersetuju dan bergerak ke depan. Tidak perlu 100 peratus bersetuju, tetapi kita kena juga terus berjalan dalam rumah ini.

Itulah sebabnya sifat politik di Malaysia berkelompok-kelompok sebenarnya platform integrasi, federalisme antara satu lagi bentuk integrasi.

Dasar Ekonomi cuba dibentuk bagi menyuarakan platform ekonomi untuk menyelesaikan masalah ekonomi antara kaum. Platform ini untuk integrasi. Itu di peringkat atas, tetapi rakyat dari bawah juga membina platform masing-masing tanpa arahan kerajaan.

Setiap minggu kita boleh lihat di tepi jalan raya dan kawasan perumahan di seluruh negara, dipasang khemah melakukan kenduri perkahwinan. Macam mana mereka melakukan semua itu jika tidak mendapat persetujuan pelbagai bangsa dan kaum di kawasan tersebut?

Inilah pembinaan tapak integrasi di peringkat bawah tanpa perlu menunggu arahan daripada kerajaan. Kita sama-sama berunding dalam komuniti. jadi bagi saya, rakyat Malaysia cukup matang dalam membina integrasi.

Kedua, saya melakukan kajian terhadap diri saya iaitu tempat pertama selalu saya pergi adalah di rumah, kemudian di tempat kerja dan seterusnya adalah kedai India Muslim. Ini merupakan pusat perkumpulan sosial yang timbul di peringkat bawah tanpa disedari.

Terakhir adalah tiga perkataan ke mana negara kita hendak pergi? Pertama adalah kita idamkan perpaduan. Tetapi kita mengakui bahawa perpaduan belum dicapai.

Kalau belum dicapai, jadi apa yang telah dicapai? Kita tidak ada perkataan untuk menghuraikan kejayaan kita itu iaitu kejayaan menjalin kesepaduan, proses yang dilalui untuk mencapai perpaduan.

Hidup kita di Malaysia ini bergerak dari satu momen perpaduan ke satu lagi momen perpaduan. Alhamdulillah, moment of disunity di Malaysia tidak hingga berlakunya perkelahian kaum yang teruk.

KETUA KLUSTER SEJARAH , WARISAN DAN SOSIO BUDAYA MPN, PROF. DATU K DR. TEO KOK SEONG

State building secara umum adalah berkenaan usaha dan tindakan untuk mengadakan pelbagai kemudahan kepada rakyat. Tidak dapat dinafikan banyak pembangunan dalam segenap segi Statehood itu sejak kita merdeka.

Usaha dan tindakan state building dapat dilihat menerusi pelbagai dimensi seperti keselamatan, ekonomi dan politik. Dimensi keselamatan yang diberi keutamaan tinggi oleh kerajaan bukan hanya penting tapi faktor utama untuk membangunkan
negara dengan baik. Sebab persekitaran aman adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan politik yang mapan.

Tugas membangunkan negara oleh kerajaan termasuk membina prasarana, pendidikan, manfaat kesihatan, membangunkan modal insan dan memodenkan negara ini. Dalam membangunkan negara ini, satu perkara penting yang perlu diakui adalah keupayaan
kerajaan memerintah. Jadi kita tidak boleh menafikan kerajaan sedia ada memiliki keupayaan itu, berdasarkan usaha dan tindakan kerajaan membangunkan negara sehingga hari ini. Keupayaan ini sangat diperlukan agar negara kuat dan tidak menjadi negara gagal, seperti yang didakwa sebilangan pihak.

Tidak mungkin negara ini gagal apabila pelbagai fungsi asas keselamatan, pendidikan, urus tadbir kerajaan pusat dan integrasi negara secara umum berjaya dikendalikan dengan baik. Walaupun begitu, sudah tentu ada banyak lagi yang perlu dibaiki seperti urus tadbir lebih efisien, membanteras rasuah dengan lebih giat, mengukuhkan perpaduan, memperkasakan masyarakat sivil dan meningkatkan kesamaan atau keadilan sosial. Membangunkan bangsa, selain perpaduan dalam bentuk kita mewujudkan komuniti
nasional, ia juga melibatkan pemupukan identiti kebangsaan dalam komuniti nasional dan melalui itu kerajaan memerintah akan berusaha mewujudkan kesaksamaan dan rasa terikat bagi identiti kebangsaan. Pembentukan itu boleh diusahakan dengan pendukungan bersama usaha dan tindakan oleh kerajaan seperti bahasa yang sama dan bangsa yang sama seperti bangsa Malaysia dan ideologi sivik menerusi Rukun Negara serta budaya iaitu dasar kebangsaan.

Sosialisasi perlu dibuat secara terancang agar setiap usaha dan tindakan bukan difahami tetapi dihayati sedalam-dalamnya oleh rakyat. Bahasa negara, bangsa Malaysia, Rukun Negara dan konsep 1Malaysia secara umum tidak berjaya membentuk perpaduan kukuh dan identiti kebangsaan yang kental dalam kalangan rakyat negara ini. Ini kerana kita tidak banyak malah tidak pernah menekankan proses sosialisasi ini secara serius. Hasrat perpaduan penyatuan linguistik yang dinayatakan dalam Penyata Pendidikan Razak pada tahun 1956 juga nampaknya tidak berhasil sebab polarisasi kaum yang bermula di sekolah seterusnya ke IPT awam dan swasta seterusnya di tempat kerja.

Gejala ini adalah sistem pendidikan yang membenarkan pelbagai aliran persekolahan yang menggalakkan pengasingan etnik pada awal usia. Dalam pembentukan identiti kebangsaan menerusi aspek bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara, ia
sepatutnya menjadi identiti setiap individu tetapi dilihat masih gagal. Buktinya ramai yang tidak bangga bertutur dalam bahasa Melayu malah ada yang tidak mengetahui langsung bahasa ini. Bahasa mempunyai kuasa untuk menyatupadukan ummah.
Ia terbukti dalam sejarah manusia di merata dunia.

Malangnya di negara ini masih terkapai-kapai dan gagal dalam hal linguistik ini. Ia perlu tindakan segera, sebab kegagalan ini. Kesimpulannya, secara relatifnya jika dibandingkan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, saya kira Malaysia berjaya dalam pembangunan negara. Kita sebuah negara yang kuat kerana kerajaan berjaya membuktikan keupayaan mereka.

PENSYARAH UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM), DR. SARJIT SINGH DARSHAN SINGH

Banyak yang berlaku dalam kalangan masyarakat adalah kerana ketidakfahaman kita terhadap agama dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Saya ingin memetik beberapa inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan sejak tahun 70-an iaitu Rukun Negara, iaitu ideologi nasional yang perlu diberi perhatian dan nafas semula supaya menjadi panduan membina masa depan Negaraku Malaysia.

Kedua adalah Rukun Tetangga iaitu institusi yang mengurus tadbir masyarakat dahulunya untuk keselamatan tetapi kini lebih kepada perpaduan masyarakat di kawasan kejiranan. Saya melihat perubahan sistem ini membuktikan peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional adalah penting cuma masalahnya dana yang diberikan hanya RM6,000 setahun dan ia tidak mencukupi untuk menjalankan aktiviti di peringkat akar umbi.

Sekolah Wawasan tidak berjaya kerana penolakan daripada beberapa kumpulan yang tidak mahu menyokong usaha ini. Tapi ia perlu disemak semula sebab saya tidak setuju sekolah satu aliran kerana sekolah pelbagai adalah menghormati masyarakat yang
pelbagai. Keempat iaitu menubuhkan Jawatankuasa Promosi Persefahaman Antara Agama sebagai usaha membina dan menyelesaikan isu-isu berkaitan agama dalam masyarakat. Banyak isu yang timbul dalam kalangan masyarakat diselesaikan dengan
cara berbincang dan ceramah sihat, bukan demonstrasi.

Gagasan 1Malaysia perlu disemak supaya ia boleh dimartabatkan lagi. Kursus Hubungan Etnik, Kursus Kenegaraan dan Kursus Titas Tamadun India dan Cina yang diperkenalkan di universiti. Ia membolehkan pelajar iaitu generasi muda untuk memahami konsep hidup bersama dalam negara ini. Ketidakfahaman agama dan budaya di negara ini masih kuat, sehingga kita lupa terdapat lebih 100 etnik. Di sini penting untuk kita fahami asas-asas agama dalam masyarakat, institusi, perayaan dan pantang larang agama. Secara tidak langsung kita boleh memahami agama dan bangsa lain.

SETIAUSAHA KLUSTER PERPADUAN NASIONAL MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN), PROF. DR. P. SIVAMURUGAN

Malaysia merupakan negara yang rencam dan kekuatannya adalah pada negara pelbagai merentasi Semenanjung dan Sabah Sarawak. Ia merupakan kekuatan dan bukan liabiliti. Dalam konteks ini kita juga kena melihat apa yang hendak kita capai iaitu perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan. Kesemua bergantung pada rumah yang kita bina. Negaraku Malaysia, ia bukan sekadar lagu patriotik tetapi lebih kepada nilai kepunyaan, penyatuan dan perkongsian yang wujud dengan pelbagai kaum
di negara ini. Malaysia adalah satu-satunya bumi yang kita mahu sentiasa dipijak. Tidak pernah satu orang pun yang lahir di hospital, lagu Negaraku dibisikkan di telinganya. Tetapi akhirnya kita perlu mempertahankan keduadua nilai iaitu nilai etnik dan
agama, selain pada waktu yang sama jati diri kita sebagai seorang warganegara.

Kita harus berpegang pada apa yang dibina hari ini sebagai tapak integrasi, tapi kita tidak boleh bersifat selektif. Kita sering melihat pada keselesaan, kita melihat
atau menerima isi kandungan Perlembagaan yang menyebelahi kita, seterusnya Rukun Negara dan begitu juga dalam peristiwaperistiwa tertentu yang berlaku seperti MH370, Rohingya dan Korea Utara. Contohnya, apabila Sukan SEA dan Sukan Olimpik, kita boleh bersama tapi ada kalanya kita tidak bersama. Adakah penyatuan ini bersifat palsu atau sementara? Ini yang perlu kita lihat apabila kita hendak melangkah pada masa hadapan yang lebih gemilang. Saya percaya apa yang kita bina melalui Perlembagaan harus terus dipertahankan sebab ia perkongsian antara pemimpin 60 tahun lalu melihat ada kompromi dan pengorbanan dilakukan dengan tanggapan bahawa tiada pihak yang boleh dapat semua dan tiada pihak yang hilang segalanya. Masing-masing perlu berusaha mencari titik keseimbangan antara satu sama lain. Bagaimana hendak membina titik keseimbangan itu? Ia harus bermula daripada peranan keluarga. Tidak semestinya perlu dibisikkan di telinga bayi baru lahir dengan lagu Negaraku atau Rukun Negara dan Perlembagaan.

Walaupun kita pernah tidak menghafal sifir tetapi tidak lagi dihukum kerana tidak menghafal dasar-dasar ini. Kemudian diikuti guru-guru, rakan sebaya dan media, agensi kerajaan dan seterusnya pemimpin. Akhir sekali adalah
individu itu sendiri harus mencari inisiatif untuk percaya kita hidup dalam negara besar yang pelbagai kaum dan agama. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Jadi bagaimana hendak mencari titik kesamaan? Apakah kita perlu berkorban sahaja dan hanya melihat tanpa mencari dan berusaha? Tapak-tapak integrasi itu perlu dicari dan difahami. Kita harus bangga apabila menjadi rakyat Malaysia dengan simbol, bendera dan lagunya. Kekuatan kita pada nilai muafakat, itulah Negaraku Malaysia. Alat untuk menghubungkan semua bangsa dan kaum ini melalui bahasa Melayu. Tidak bermakna kita membelakangkan bahasa lain, tapi ini usaha untuk kita hidup bersatupadu dalam negara pelbagai ini. Kerangka Perlembagaan juga harus terus dipertahankan pada masa hadapan untuk membina negara Malaysia. Apa yang kita ada hari ini adalah tanggungjawab setiap individu yang terus bangga menjadi warganegara. Nilai patriotisme kita tidak berubah walaupun persekitaran kita berubah dari zaman perang kolonial hingga pascakolonial. Kita harus memperakukan kedaulatan negara ini, bangga menjadi warganegara ini, harus menjunjung tinggi Perlembagaan dan berani berkorban demi negara ini.

PENSYARAH KANAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM), PROF. MADYA DR. MADELINE BERMA

Saya sebut ‘Anang Malaysia Bakang Tebu, Manis Bak Pun Tawar Bak Ujung’ iaitu Jangan sesekali Malaysia jadi seperti sebatang tebu yang hanya manis di pangkal tetapi tawar di hujung. Tidak kisah berapa tahun sekalipun kemerdekaan negara Malaysia, kita telah meraikan kejayaan demi kejayaan. Ikut mood orang Sarawak ini, kalau mood baik akan sebut Semenanjung dan kalau mood tak berapa nak betul akan sebut Malaya, itu realiti. Tapi sejak kebelakangan ini,  perkataan Malaya itu muncul begitu lantang sekali, begitu juga istilah Sarawak for Sarawakian dan Sabah for Sabahan sudah kerap kali kedengaran dan sekarang kita telah mula mendengar bahawa Sarawak mempunyai syarikat minyak sendiri dan perkara-perkara lain. Maka, ada dalam kalangan kita
di Semenanjung ini mula bertanya, “Apa lagi yang Sabah dan Sarawak ini hendak?” Aduh, tersentak sekejap kami di Sabah Sarawak, tiba-tiba kami dipersoalkan dengan satu lagi persoalan yang begitu sukar hendak dijawab. “Apa lagi mauknya orang Sabah, Sarawak ini? Sik habis-habis mintak.” Seolah-olah sebenarnya apa yang mereka ada sudah cukup, tapi apa lagi yang mereka ingin minta? Saya mempunyai latar belakang ekonomi dan pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Apabila saya perlu membentangkan isu ini, “Apa lagi orang Sabah, Sarawak hendak?” Saya rasa persoalan begini tidak perlu diungkapkan lagi. Paling ketara sekali luahan Sabah dan Sarawak adalah kurang puas hati apa yang dianggap sebagai perjanjian yang tidak tertunai. Dahulu berjanji tetapi kini janji itu tidak dilaksanakan. Sebagai seorang ahli ekonomi iaitu tiga perkara:
1. Pencapaianekonomi
2. Sosial budaya
3. Politik

Dari segi sosial, kami di Sabah dan Sarawak sangat bangga kerana sering dirujuk sebagai contoh sebuah negara. Kami tidak mempunyai kedai India Muslim seperti di Semenanjung tetapi kami tidak ada masalah untuk makan di kedai Cina. Semenanjung boleh belajar apa yang ada di Sabah dan Sarawak, tentang perpaduan. Uniknya di Sarawak, pesta kami bukan hanya keagamaan, tapi kami pesta budaya. Misalnya Pesta Regatta dan Pesta Benak iaitu pertandingan antara kampung dan kaum yang diraikan semua. Kami telah merentasi isu budaya.Menjadi masalah adalah ekonomi kerana kami merasa jauh ketinggalan dengan Semenanjung. Bukan bandingan kaum Melayu, Cina atau India tapi kepada negeri itu sendiri. Kalau tidak pernah ke Sabah Sarawak, anda boleh melihat sendiri kerana masih ramai yang belum menjejakkan kaki ke dua negeri ini. Perdana Menteri misalnya paling banyak ke Sarawak tetapi kami harap bukan hanya jenguk pada musim  pilihan raya. Datanglah jua ke negeri yang agak ketinggalan, supaya
jurang ekonomi tidak begitu luas.

FELO PENYELI DIKAN MAJLIS PROFESOR NE GARA (MPN) MERAN GKA P PENSYARAH KANAN FAKULTI EKONOMI UNI VERSITI MALAYA (UM ), DR. MUHAMMA D ASRI MOH D. ALI

Secara ringkas, Persekutuan negara kita ini bukan kekal sifatnya. Kalau kita tengok di seluruh dunia, ada Persekutuan yang dibubarkan seperti Yugoslavia, Pakistan Timur dan beberapa wilayah lain termasuk yang terbesar adalah Kesatuan Soviet yang kini
berpecah-pecah. Kita sendiri melalui proses yang kurang baik ketika kita hendak menubuhkan Malaysia apabila Singapura keluar yang menimbulkan sedikit ketegangan. Jadi kita perlu menyedari entiti yang diwariskan kepada kita ini digerakkan ke arah mana?
Entiti yang kita sayang ini akan bertahan puluhan ratusan tahun lagi jika tiada gempa bumi. Tetapi entiti politik kita tidak sebegitu. Tersilap urus, binasa kita. Kita perlu berterima kasih dengan pengasas terdahulu. Secara mental kita tidak banyak konsensus dalam banyak perkara tapi apa yang kita capai iaitu menubuhkan wilayah kepada negeri termasuk Sabah dan Sarawak membentuk negara. Itu kita berjaya capai melalui perfahaman dan persepakatan. Tetapi apabila kita kekal anatomi negeri menunjukkan kita tidak sanggup hendak berkongsi dan tidak mahu serahkan kepada kerajaan Persekutuan. Itulah hakikat Malaysia, kita selalu bertelagah dan agree to disagree. Jadi jangan lemah apabila kita selalu bergaduh dan bercakaran tetapi tidak berparang.

Tapi hakikatnya dalam kerangka besar kita ada konsensus. Kita bergaduh sana sini dalam politik, jadi rakyat jadi lemas sedangkan kita berdepan dengan cabaran global. Pelabur perlu tapak yang kukuh, masyarakat yang stabil dan politik yang kuat untuk mendapat semula modal. Kalau kita gambarkan di peringkat antarabangsa, ia boleh menjejaskan negara dan ekonomi. Dalam aspek sosial jangan lemas dengan soal diversiti kita, sejarah dan geopolitik kita berada di tengah-tengah laluan perdagangan Timur dan Barat menyebabkan kita berada dalam pengaruh pelbagai budaya tetapi pengaliran manusia dari seluruh dunia. Sebab itu ada pengaruh Siam, Minang, Arab, India, China dan sebagainya. 

PENSYARAH UNI VERSITI MALAYSIA SABAH (UMS ), PROF . MA DYA AWAN G ASRI

Dua faktor penting dalam mendepani masa depan:

1. Malaysia dalambentuk fizikal
2. Malaysia yang virtual

Isu global: Revolusi Industri (IR) 4.0 merubah cara hidup dan cara bekerja. Virtual menjadi realiti dan realiti menjadi virtual Kesan Revolusi 4.0 kepada ekonomi, dunia menjadi semakin rata (tanpa sempadan). Seluruh dunia dapat mengambil peranan dalam
ekonomi dan kesan agihan kekayaan yang menjadi tidak seimbang. Kekayaan lapan orang sama dengan kekayaan semua orang di dunia. Peningkatan keterlibatan rakyat dalam public engagement dan public policy making. Kerajaan ada kuasa  baharu dalam era teknologi pintar, perlu pantas dan pintar. IR 4.0 ada kesan kepada perbandaran, luar bandar dan masyarakat terpinggir. Persoalan siapakah pejuang? Pejuang medan peperangan atau pejuang medan siber? Masyarakat gelombang IR 4.0 : mengubah siapa diri kita, mengubah jati diri kita. Malaysia pengguna WhatsApp yang tertinggi di dunia dan 86 peratus rakyat Malaysia mendapat maklumat melalui media sosial. Gelombang IR 4.0 bukan pilihan; ia akan tetap berlaku dan kita bertanggunjawab dalam mendepani gelombang IR 4.0.