Ternyata, objektif terbesar syariat Islam adalah memelihara keutuhan ukhuwah sebelum beralih kepada teras pelaksanaan hukum syariah yang lain. Tanpa keutuhan dan perpaduan umat Islam, segala objektif dan intipati syarak tidak dapat dilaksana secara berkesan. Hari ini, kefahaman umat Islam terhadap konsep ukhuwah Islamiah masih kabur dan membimbangkan. Ukhuwah Islamiah tidak lagi dilihat suatu nilai penting dalam sistem masyarakat dan negara yang perlu dipertahankan.

Sebab itu, cadangan penubuhan jawatankuasa melibatkan UMNO yang ada 37 kerusi Parlimen dan Pas (18 kerusi Parlimen) bagi merangka agenda penyatuan umat di Malaysia amat dialu-alukan. Sepatutnya usaha ini sudah lama dibuat. Bukannya ketika parti-parti politik Melayu relatifnya dilihat lemah berbanding parti bangsa lain. Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekelian berpecah-belah...(‘ali-Imran: 103)

Realitinya, umat Islam memerlukan kuasa politik sebagai syarat melaksanakan hukum Allah. Sebab itulah, usaha ke arah penyatuan antara UMNO dan Pas, dua parti utama orang Melayu ini amat signifikan. Lebih-lebih lagi dalam suasana di mana orang bukan Islam nampaknya semakin berani mencabar kedudukan Islam walaupun keistimewaannya sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Yang sedang menjadi polemik adalah tindakan segelintir orang bukan Islam menghina Nabi Muhammad SAW. Dalam bulan ini sahaja ada dua kes menghina Nabi SAW. Selasa lalu, A. Taneson, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan memuat naik satu hantaran menghina Nabi SAW pada 19 Februari lalu. Kelmarin, Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghantar memuat naik menghina karikatur yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah di laman Facebook, 17 Februari lalu.

Antara yang menjadi batu penghalang kepada penyatuan parti-parti politik Melayu selama ini adalah penyakit al-wahn atau cintakan dunia. Ramai umat Islam terperangkap dengan kekayaan, pangkat dan wanita sehingga mereka takut kehilangannya. Bahana penyakit al-wahn itu turut menjadikan sebilangan umat Islam sibuk mencari harta kekayaan sehinggakan lupa tentang amal kebajikan untuk bekalan akhirat. Ini menjadikan mereka lebih pentingkan periuk nasi sendiri berbanding kesatuan dan perpaduan umat.

Resmi manusia sudah pasti akan berbeza pandangan dalam banyak hal terutama berkaitan siasah atau politik. Namun, sebagai orang yang sama mengucapkan kalimah tauhid sepatutnya perselisihan itu tidak membawa kepada berputus arang dan berkerat rotan. Dalam Islam sudah ditegaskan bahawa kita dilarang tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga hubungan silaturahim sesama saudara seagama.

Islam memerintahkan umatnya untuk merujuk kepada al-Quran dan sunah dalam berhadapan masalah kerana kedua-duanya adalah panduan utama dalam hidup kita. Justeru dalam berbeza ideologi politik, janganlah sampai ia menjejaskan keutuhan dan kedudukan Islam di Malaysia. Sepatutnya dalam hal agama, semua parti Melayu mesti bersatu mempertahan malah memperbaiki kedudukannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa’: 59)

Dalam hal sama, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara yang selama kalian berpegang teguh kepada kedua-duanya maka nescaya kalian tidak akan tersesat, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunahku. (Riwayat Hakim)

Janganlah kita sanggup melemparkan komen negatif, penuh dengan kata-kata kesat, cacian dan sindir-menyindir di media sosial tanpa sebarang pertimbangan dan asas kewajaran sebagai seorang Muslim, mukmin dan umat Islam yang bersaudara. Siapapun kita, menjadi tanggungjawab untuk meletakkan persaudaraan dan ukhuwah Islamiah mengatasi apa jua agenda dan matlamat.

Budaya menyindir, perli dan mencemuh bukanlah ajaran dan didikan Islam. Nabi SAW adalah orang yang paling banyak dizalimi, namun baginda mempamerkan akhlak yang sangat mulia kepada musuh-musuhnya.