TELITI dan selami coretan berikut:

1. Budaya meminta-minta

Penggunaan duit dalam kebanyakan hal dan keperluan politik tidak boleh dielakkan. Ia tuntutan global. Fenomena ini yang mungkin menjadi punca penyalahgunaan wang dalam ‘perjuangan’ politik seseorang.

Bukan setakat ketua bahagian sahaja seperti yang diperjuangkan oleh Abdul Rashid yang perlukan duit dan kontrak untuk mengekalkan survival politik, menteri pun serupa.

Mesyuarat demi mesyuarat, ucapan demi ucapan mesti disempurnakan. Orang kawasan mesti dijaga. Penyokong pula tidak boleh dihampakan. Itu belum dikira majlis-majlis kenduri kahwin, upacara-upacara rasmi yang perlu dihadiri, kerja-kerja di kawasan sendiri yang semestinya dijalankan sebagai wakil rakyat. Kalau ke kenduri kahwin, hadiah atau sampul dari menteri atau ketua bahagian pasti jadi perhatian tuan rumah.

Kemudian tuntutan parti mesti disempurnakan. Sampul-sampul surat yang disampaikan semuanya mengandungi permintaan - biasanya peruntukan bagi pelbagai jenis kehendak dan projek. Budaya meminta-minta masih tebal dalam kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu dan India. Derma perlu diisi. Orang datang ke pejabat, ke rumah malah semasa main golf pada suatu ketika pun ada ‘kutu’ yang hendakkan sesuatu.

2.Dunia pembangkang berbeza

Kebanyakan pemimpin dari parti pemerintah yang lepas tidak berpeluang mengalami politik bangkangan.

Pendeknya, dunia pembangkang, bukan dunia mudah di Malaysia. Sebab itu ramai yang tak tahan, lalu berpatah balik termasuklah lompat parti.

Ada yang bergolok-gadai untuk survive melalui gadaian dan jualan aset seperti tanah, kereta dan saham.

Menjadi pembangkang buat mereka yang menjadi pembangkang dalam era Malaysia Baharu, jika jiwa tidak teguh, memang lekas mengalami patah hati.

Berjumpa seorang bekas Ahli Parlimen tempoh hari, beliau meluahkan kepada akhbar ini: “Dengan peruntukan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekadar RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menjaga pusat khidmat dan menyedia bantuan kecil kepada rakyat di kawasan masing-masing, berbanding RM500,000 buat wakil Parlimen PH, apalah sangat yang boleh diusahakan dengan dana sekecil itu.

Agaknya benar kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tempoh hari bahawa peruntukan sama rata mesti disediakan untuk Ahli Parlimen PH dan pembangkang. Demokrasi akan berkembang maju dan berlaku hanya dengan adanya kerajaan yang prihatin dan pembangkang yang kritis, itu kata Santiago ya.

3.Majlis makan malam?

Inisiatif menganjurkan majlis makan malam bagi mengutip dana parti biasa dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan PH semasa menjadi pembangkang. Sebagai sebuah parti politik, ia memerlukan wang. Namun mereka yang membeli kerusi (penderma) tidak akan diberi layanan istimewa selain nama mereka juga tidak akan didedahkan.

Malah, ada sebuah syarikat hendak menderma RM100 juta kepada Tabung Harapan tapi ditolak. Apabila PH mengambil pendirian pembeli kerusi dan penaja makan malam tidak akan didedahkan, ini pasti timbulkan tanda tanya dari segi ketelusan walaupun dijamin mereka ini tidak akan mempengaruhi kerajaan PH. Sepatutnya didedahkan penderma supaya tiada rasa curiga mengenai tujuan sumbangan.

4. Akta Kesalahan Pilihan Raya terhad

Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954) adalah perundangan paling mirip menyentuh pembiayaan parti politik yang dimiliki Malaysia ketika ini. Namun akta ini hanya menggariskan had jumlah perbelanjaan semasa pilihan raya iaitu masing-masing sebanyak RM100,000 dan RM200,000 bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

5.Pemilihan Presiden AS termahal di dunia

Senario pilihan raya separuh penggal AS sebelum ini menyaksikan kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan dan 35 daripada 100 kerusi Dewan Senat Kongres dipertandingkan di samping 36 daripada 50 jawatan gabenor juga menjadi pertaruhan.

Cuma maklumat paling menakjubkan ialah anggaran jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh calon dan parti dijangkakan menjangkau sehingga AS$5 bilion (RM20.8 bilion). Ini membuatkan pilihan raya kali ini termahal dalam sejarah AS. Bayangkan untuk pilihan raya separuh penggal yang baru sahaja berakhir parti Demokrat dan Republikan masing-masing berjaya meraih sumbangan sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) dan AS$1 bilion (RM4.17 bilion).

6.Calon minta derma guna FB dibenarkan

Singapura mempunyai perundangan mengawal selia derma yang diterima oleh parti politik sejak 2001 lagi. Pada Pilihan Raya 2011, calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) telah meminta derma melalui media sosial dengan menyediakan akaun bank peribadi beliau. Walaupun kaedah calon ini menimbulkan tanda tanya namun ia tidak menyalahi perundangan Singapura.

7.Model Jerman terbaik?


Jerman disebut oleh Dr. Mahathir antara model yang parti-parti politik negara itu dibiayai kerajaan. Formula Jerman mungkin boleh diguna pakai dalam mempraktikkan mekanisme sesuai memastikan tiada unsur rasuah dalam pembiayaan parti politik.
 Tapi perundangan Jerman ini tidak membezakan sama ada parti politik dari pihak kerajaan atau pembangkang kerana semua layak menerimanya. Opss! Boleh diterima kerajaan PH kah?

Waima apa pun, tidak syak lagi Malaysia memerlukan satu bentuk perundangan untuk mengawal selia pembiayaan parti politik. 
Ini bukan sahaja untuk mengekang fenomena rasuah dan campur tangan asing tetapi juga untuk berlaku adil kepada semua parti politik sama ada besar atau kecil.