Pelbagai sejarah baharu dicipta dan ribut perubahan telah mengesampingkan segala kemustahilan dan pada 9 Mei 2018, tarikh ini akan terus dikenang semua.

Di sebalik sejarah baharu tersebut, jangan kita lupakan bahawa kuasa rakyat yang semuanya pengguna adalah pencetus kepada segala kemungkinan. Yang di atas boleh dijunamkan dan yang di bawah boleh dijulang dengan kehendak rakyat. Makanya, adalah amat wajar keperluan dan hak rakyat diberi perhatian dan dilindungi sebagaimana janji-janji Pakatan Harapan yang kami berpegang padanya.

Rakyat marhaen lama dibelenggu bebanan tekanan kehidupan semakin parah. Antaranya berpunca daripada pengenalan cukai baharu, penarikan subsidi demi subsidi, kenaikan harga barangan yang tidak setara dengan gaji, kemerosotan nilai wang Malaysia dan pelbagai lagi.

Terma ‘miskin’ yang dahulunya sinonim dengan kawasan pedalaman telah merebak ke bandar-bandar besar hingga wujudnya golongan miskin bandar. Rakyat disaran untuk melakukan lebih daripada satu kerja sedang­kan ia tidak begitu membantu apabila nilai wang dan kuasa membeli sering kali dilemaskan dengan harga barangan yang kerap mendongak dan jarang benar menunduk. Saya rujuk kata-kata Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad: “Tiada makna jika rakyat berpendapatan tinggi namun masih tiada kuasa membeli”.

Rakyat selaku pengguna berhadapan dengan pelbagai isu yang menekan dan hak-hak mereka sebelum ini tidak begitu diangkat pada tahap yang sewajarnya. Di kebanyakan masa, pengguna hanya diajak menelan tanpa mempedulikan sama ada mereka masih mampu berbuat demikian atau sebaliknya. Dalam sedar, suara pengguna dalam menyatakan hak mereka begitu sayup kedengaran di telinga penguasa, yang jelas cumalah suara-suara yang mahukan rakyat kekal bersyukur walau lebih ramai yang semakin keliru dengan maksudnya.

Selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan dan mendambakan kerajaan yang mesra pengguna, adalah ketika yang sesuai dan wajar untuk Perdana Menteri dan menteri Kabinet untuk mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memperhalus ke­perluan dan hak-hak pengguna. Atau jika perlu, tubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menjadi juara kepada pengguna dengan mengangkat isu-isu pengguna pada tahap sewajarnya.

Jawatankuasa atau suruhanjaya tersebut kelak bakal membawa suara pengguna kepada kumpulan pentadbiran negara dengan nada yang lebih mudah difahami dan lebih lunak didengar secara menyeluruh dan bermakna.

Sebagai rakyat Malaysia, saya juga mengimpikan sebuah negara seimbang yang mana suara dan keluhan rakyat didengar dan diuruskan sewajarnya bagi membolehkan mereka komited untuk kembali menyumbang kepada kemaslahatan negara. Jika sebelum ini rakyat menunggu masa yang sesuai, maka inilah masanya. Hak pengguna mesti dibela agar impian untuk melihat akan wujudnya Malaysia yang aman, maju dan sejahtera dapat dicapai menjelang 2020.

PROF. DATUK MOHD. HAMDAN ADNAN ialah bekas Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).