Yang pergi tidak akan kembali. Demikianlah suratan takdir-Nya. Dan kehilangan para arwah kita doakan agar mereka ditempatkan-Nya di jannah.

Cuma dari setiap insiden atau kemalangan berlaku, adalah elok diambil iktibar untuk difikirkan jalan kebaikannya - setidak-ti­dak­nya tidak berulang.

Di ruangan terhad ini, penu­lis ingin berkongsi sedikit pengalaman ketika hendak memasukkan anak ke sebuah pusat tahfiz di Klang, Se­langor beberapa tahun lalu.

Semasa penulis dan isteri tiba di pusat tahfiz berkenaan, jam menunjukkan pukul 1.45 petang. Urusan di pejabat yang nampak tersusun dengan fail-fail dan dokumen diletakkan rapi, menambahkan lagi keyakinan kami untuk menempatkan anak di situ.

Setelah urusan kemasukan di­selesaikan dengan anak membawa baldi, toto dan alat-alat kelengkapan diri ke tingkat empat pusat berkenaan, penulis kembali ke kereta bersama isteri. Namun tiba-tiba teringat wang saku belum diberikan kepada anak.

Bergegas ke pintu masuk ba­ngunan, tidak kelihatan ustaz me­ngawal di pintu, lantas penulis ber­gegas naik.

Agak cuak juga mendaki satu demi satu anak tangga yang laluan ruangnya agak sempit - cukup untuk memuatkan satu setengah badan sahaja.

Dengan anak tangga yang ber­saiz kecil dan sedikit ­run­cing, menyebabkan untuk ti­ba di tingkat empat memakan ma­sa hampir seminit.

Terbayang di kepala pada waktu itu, andai berlaku kebakaran, pasti bersesak-sesak pelajar turun, ditambah tanpa tangga kecemasan disediakan.

Apabila tiba di tingkat empat dan menemui anak, apa yang mengejutkan terpampang katil-katil double decker yang disediakan kelihatan berkarat. Kipas siling hanya dipasang satu dalam ruang bilik yang besar sehinggakan jawapan kepada keperluan toto itu ditemukan penulis.

Toto berkenaan akan ­di­letakkan oleh mana-mana pe­lajar yang be­rebut ruang di ba­wah kipas si­ling berkenaan - ekoran kepanasan jika sekadar tidur di atas katil.

Selang beberapa bulan kemudian, kerana memikirkan aspek keselamatan anak, penulis membawanya keluar pusat berkenaan kerana sering terjaga di tengah malam ‘memikirkan saiz anak tangga tadi’. Rupa-rupanya bukan penulis sahaja berperasaan sedemikian, kebimbangan itu turut dikongsi oleh ibu bapa yang lain sehingga menukarkan anak mereka ke pusat tahfiz lain.

Itu antara secebis pengalaman penulis berurusan dengan sebuah maahad tahfiz. Namun diyakini tidak semua pusat tah­fiz sedemikian peringkat daif­nya.

Cuma, diakui ada sebilangan pusat tahfiz dan sekolah pondok di negara ini memang daif. Bukan hanya kebajikan pelajar dan tenaga pengajarnya, bahkan sistem pengajiannya pun diragui dari segi kualiti dan potensinya pada masa depan.

Dalam kedaifan itu pun, sam­butan ibu bapa terhadap institusi tahfiz dan sekolah pondok di negara ini masih tetap membanggakan. Mungkin di­sebabkan kesedaran ibu bapa yang mahu sekurang-kurang seorang daripada anaknya men­dapat didikan agama yang sempurna.

Apa yang difikirkan penulis dan terbayang di depan mata ada­lah sebuah pusat tahfiz atau sekolah pondok yang menepati kehendak sistem pendidikan se­masa. Bahkan, turut dilengkapi kemudahan asrama, suasana pembelajaran dan pengajaran kon­­dusif serta tenaga pengajar yang berkualiti.

Suatu ketika, penulis sempat menjenguk sebuah pusat tahfiz persendirian di Sungai Buloh, Selangor. Jam di tangan pukul 2.20 petang. Disangkakan bangunan serba daif itu tidak berpenghuni. Apabila didekati, kelihatan kelibat enam orang anak muda yang sedang duduk dalam dua kumpulan. Mereka semua berpakaian lusuh berwarna putih dan berkopiah.

“Ustaz mana,” tanya penulis ke­pa­da seorang pelajar yang usia­­­nya dianggarkan 14 tahun. “Ustaz ke Bukit Lanjan,” katanya.

“Dah hafal berapa juzuk,” ta­nya penulis lagi.

“Alhamdulillah, sudah 12 juzuk...su­dah setahun setengah saya di sini,” katanya.

Bangunan batu dua tingkat itu kelihatan seperti bangunan ti­nggal. Terdapat sebuah pon­dok yang dijadikan dapur.

Di­katakan, kos menampung pembelajaran di situ bergantung kepada sumba­ngan orang ramai dan ihsan surau dan masjid berdekatan.

Abdullah bin Mas’ud R.A me­riwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang membawa satu huruf daripada kita Allah Taala, maka untuknya diberi satu ‘hasa­nah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan 10 pahala. Aku tidak berkata (‘Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”

Para Hafiz iaitu orang yang menghafal al-Quran dan beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Disebut dalam hadis daripada Anas R.A:

“Sesiapa yang membaca al-Qu­ran dan menghafalnya, dia me­ng­halalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan dalam al-Quran. Allah akan memasukkan ke dalam syur­ga dan dia akan dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka.”

Al-fatihah. Sekali lagi kita meman­jatkan doa kehadrat-Nya semoga para arwah penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ditempatkan dalam kalangan para solihin.