Kita tidak kisah kalau ‘serangan’ itu berdasarkan kepada fakta, tetapi malangnya awal-awal lagi mereka sudah menggunakan strategi politik fitnah bagi meraih soko­ngan. Terbaharu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah menafikan dakwaan pembangkang bahawa anggota Rela seramai 4 juta dikategorikan sebagai pengundi pos.

Tegas beliau, hanya anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR) yang dilantik di bawah Seksyen 35 Akta Polis 1967 dan diperakui oleh majikannya bahawa ia menjalankan tugas pada hari mengundi sahaja diberikan kemudahan pengundi pos.

Sebenarnya, pemimpin pembangkang khususnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang bertanggungjawab membuat fitnah itu memahami fakta tersebut tetapi sudah menjadi perangai pembangkang apa yang penting bagi mereka adalah mewujudkan kesangsian dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat ialah BN akan menggunakan taktik kotor bagi mempertahankan kekuasaan dan mencapai kemenangan dalam PRU-14. Tindakan itu samalah seperti mana pada pilihan raya umum lalu mereka menuduh kerajaan membawa masuk berpuluh-puluh ribu warga Bangladesh untuk mengundi.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sebenarnya semakin memahami mereka berada dalam keadaan cukup terdesak untuk menumbangkan BN malah Nurul Izzah sendiri masih belum tentu selamat di Parlimen Lembah Pantai manakala ibunya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula dikatakan mahu meninggalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan politik fitnah bagi menarik perhatian rakyat. Mereka tahu hanya melalui cara itu sahaja mereka boleh mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum 2008 apabila kerajaan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Oleh itu penulis tidak akan terkejut atau berasa hairan jika menjelang PRU-14 lebih banyak fitnah dan tohmahan ditaburkan oleh Pakatan Harapan. Ini memandangkan itu sahaja ‘peluru ampuh’ yang mereka anggap boleh menumpaskan BN.

Bagaimanapun penulis percaya rakyat tidak akan terpengaruh dengan taktik seumpama itu dengan menjadikan fitnah sebagai alat untuk meraih undi. Mereka sudah boleh menilai parti manakah yang berusaha mempertahankan kekuasaan melalui khidmat kepada rakyat dan pakatan mana pula mahu merampas kuasa politik dengan cara mengelirukan rakyat.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sepatutnya tidak terus jahil untuk menggunakan strategi lapuk bagi berhadapan dengan PRU-14. Kalau mereka berasa lebih baik daripada BN, buktikan dengan rekod dan pendekatan politik berhemah, bukannya melalui fitnah, tohmahan mahupun persepsi.

Tetapi penulis yakin mereka tidak ada rekod untuk dibentangkan kepada rakyat. Negeri-negeri yang dipe­rintah oleh mereka khususnya Pulau Pinang dan Selangor terlalu banyak isu berlaku termasuklah integriti.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang berhadapan dengan kes mahkamah manakala Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus gagal menunjukkan tadbir urus yang baik termasuklah menyelesaikan pelbagai masalah rakyat Selangor.

Namun pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan termasuklah Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sengaja buat-buat tidak nampak kepincangan tersebut. Sebaliknya, seperti mana beliau lakukan ketika berucap di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam Sabtu lalu adalah menyerang kerajaan BN khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis-habisan.

Ini membuktikan selain politik fitnah, Pakatan Harapan juga mengamalkan politik kebencian. Tetapi malangnya mereka tidak melihat kelemahan sendiri terutamanya apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

Penulis tidak perlu memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menghentikan politik fitnah dan kebencian mereka, apa yang boleh dilakukan adalah jentera BN perlu bersiap sedia dengan ‘serangan-serangan’ sedemikian yang sudah pastinya akan lebih hebat lagi menjelang PRU-14.

Percayalah, pembangkang tidak menghentikan politik kotor tersebut kerana mereka tidak mempunyai apa-apa ‘modal’ untuk dijual kepada rakyat. Mereka juga masih bercelaru dan keliru dalam menentukan Perdana Menteri. PPBM mahu Dr. Mahathir manakala parti-parti lain dalam pakatan itu mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah mereka juga cuba mempermain-mainkan Perlembagaan apabila mahu mewujudkan jawatan Perdana Menteri sementara. Inilah bukti betapa Pakatan Harapan sebenarnya ‘gila kuasa’ seperti mana impian Dr. Mahathir yang mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi walaupun pernah menduduki jawatan itu selama 22 tahun.

Kesimpulannya, penulis tetap yakin dan percaya, rakyat akan menilai pendekatan politik Pakatan Harapan tersebut. BN tidak perlu dan tidak mungkin akan mengikut amalan songsang itu kerana sejarah telah membuktikan BN kekal memerintah bukan melalui politik fitnah tetapi meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.