Itulah yang dibuktikan oleh lulusan Sarjana Muda Sains (Sains Komputer dan Ekonomi) dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat; Hisham AR atau nama sebenar Hishamuddin Ab. Rahmin dari Kelantan.

Buku ini menghimpunkan ca­tatan yang dibuat Hishamuddin ketika mengikuti kuliah di masjid dan surau.

Usaha beliau harus disokong memandangkan kebanyakan umat Islam yang mengikuti kuliah jarang mencatat dan kemudian menyebarkan kepada orang lain sama ada dengan memuat naik dalam blog dan Facebook atau menulis buku.

Kebanyakan kita hanya mendengar kuliah dan selepas keluar dari masjid dan surau mungkin sudah lupa segala apa yang disampaikan oleh ustaz.

Hishamuddin menulis, individu yang sering mengikuti ku­liah di masjid dan surau adalah golongan istimewa yang beliau gelar sebagai kaki masjid.

Tulis beliau, antara ciri-ciri golongan berkenaan adalah hati sentiasa rindu dan cinta kepada masjid.

“Orang beriman yang cintakan masjid ini ibarat ikan masuk ke air, kerana nalurinya ke situ, ingatannya sentiasa untuk ke rumah Allah.

“Hatinya berasa lega dan seronok setiap kali dapat duduk di masjid, dapat niat iktikaf, dapat mendirikan solat-solat sunat, dapat berzikir dan membaca al-Quran. Pernah lihat apabila ikan dilepaskan ke dalam kolam? Gembira tidak terkata, bukan?

“Rasa resah apabila tidak pergi ke masjid. Rasa teruja dan sangat bersyukur apabila dipilih oleh Allah untuk ke masjid. Itulah ciri-ciri utama golongan ini,” tulis beliau.

Menurut Hishamuddin, kaki masjid akan berusaha menghadiri kuliah maghrib yang diadakan pada setiap malam walaupun saban hari hanya sampai di rumah dari tempat kerja pada waktu senja.

“Hatinya terikat di masjid. Terasa rugi benar jika tidak menghadiri kuliah maghrib. Segala ilmu yang dia dapat, dicatat, dipahat dalam dada, diamalkan dan disebarkan.

“Teruja sungguh dia menatap jadual kuliah dengan slot-slot ce­ramah setiap bulan yang tertampal di papan kenyataan masjid. Sibuk dia menyemak nama-nama ustaz yang tertera di situ.

“Para ustaz ini menjadi pe­nyuluh jalan dengan perkongsian ilmu tasawuf, tauhid, fikah, tafsir, tajuk umum, pengajian kitab, hadis dan sirah.

“Pengajian ilmu yang percuma. Mengapa tidak menyahutnya? Rugi, tuan-tuan. Jadilah kaki masjid, bukan kaki sembang, kaki pancing atau kaki karaoke,” tulisnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menyenaraikan ciri-ciri bukan kaki masjid yang hanya mengunjungi rumah Allah ketika waktu tertentu seperti semasa solat Jumaat.

Tulis beliau: “Berbeza pula dengan orang munafik atau tiada keikhlasan dalam hati. Datang dia ke masjid itu boleh dium­pamakan seperti burung masuk ke sangkar.

“Jiwa rasa terpenjara, hati berkecamuk, minda tidak tenang dan sentiasa mencari peluang serta ruang bagi membebaskan diri dari sangkar yang mencengkam itu.

“Sekejap berlunjur, sekejap berpusing, kerap ke bilik air, sekejap menguap dan acap kali tertidur. Berkeluh-kesah,” jelasnya.

Tulisnya, bukan kaki masjid tidak boleh menerima sama sekali nasihat yang diberikan oleh ustaz.

“Pantang ada kenyataan daripada ustaz yang berceramah terkena batang hidung, punggungnya terasa panas seperti duduk di atas bara api.

“Cuping telinganya terasa pedih, lalu tanpa segan dia bingkas bangun dan berlalu pergi, keluar dari masjid.

“Memang ada ‘makhluk’ sebegini. Paling menyedihkan, ramai daripada kelompok ini adalah golongan veteran yang rumah kata pergi, kubur kata mari, namun hidayah masih terhijab untuknya,” tulis beliau.

Sementara itu, Hishamuddin turut memberikan semangat kepada kaki masjid supaya mengamalkan dan menyebarkan segala ilmu yang diperoleh pada setiap kuliah.

“Ilmu ini bukan sekadar untuk didengar sepintas lalu, tetapi yang lebih utama adalah difahami, dihayati serta diamalkan dalam kehidupan.

“Ilmu yang diamalkan bukan sekadar bernoktah di situ tetapi mesti disebar luas agar mencapai audiens yang ramai.

“Guna kepakaran dan kemahiran masing-masing. Ada orang pandai berceramah di khalayak ramai dan ada individu boleh menulis buku.

“Ada orang pandai memanfaatkan laman perkongsian video, YouTube. Jadi, gunakan kepakaran masing-masing,” tulis beliau.

Tambah beliau, antara yang boleh dicuba adalah memuat naik nasihat ustaz dalam kumpulan WhatsApp alumni sekolah atau universiti.

“Lazimnya respons yang saya terima sangat sedikit, malah ramai pula memandang sinis dan terus menyambung kerancakan berbual kosong soal remeh dunia yang sementara ini.

“Seronok bersembang soal ketika muda dan nostalgia zaman sekolah, seolah-olah masih banyak benar masa di dunia ini untuk dibazirkan begitu sahaja.

“Sedangkan yang berbicara ini adalah jasad-jasad manusia yang sudah melangkah ke usia 50 tahun. Mati itu tidak mengenal siapa,” tulis beliau.