Tidak ketinggalan segelintir ibu yang sanggup mengambil risiko dengan menggunakan khidmat doula untuk menyambut kelahiran bayi mereka tanpa kendalian khidmat doktor mahupun bidan terlatih dan bertauliah.

Persoalannya, mengapa masih ada kelompok sedemikian di negara ini sedangkan secara logik akal proses menyambut kelahiran bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah kerana ia melibatkan soal nyawa.

Senario itu mungkin juga disebabkan terpengaruh dengan dakyah komuniti pengamal doula yang turut didakwa menyebarkan ideologi menyimpang termasuk menggunakan elemen agama demi mencetuskan propaganda agar ibu-ibu mengandung menjauhi rawatan dan khidmat di hospital.

Perkara itu didedahkan Pegawai Perubatan Kanan Pusat Latihan Rekrut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Kolonel Dr. Rusyainie Ramli (gambar) yang menjelaskan keadaan itu disebabkan wujud kelompok doula yang menyebarkan cerita tidak benar tentang proses melahirkan anak di hospital.

“Sebenarnya, peranan doula tidak lebih daripada sebagai peneman kepada ibu mengandung. Mereka tidak layak memberi cadangan atau nasihat dari segi perubatan, lebih-lebih lagi berkaitan cara bersalin dan sebagainya.

“Namun, terdapat doula di Malaysia yang dikenal pasti membawa fahaman sesat sehingga mempengaruhi ibu-ibu bersalin di rumah tanpa pengawasan individu bertauliah. Keadaan ini amat dikhuatiri kerana proses kelahiran itu sendiri ada risiko,” katanya.

Rusyainie yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia turut menegaskan pergerakan segelintir doula di negara ini tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Justeru, jelasnya, segala program dikelolakan mereka tidak mendapat pengesahan atau kebenaran daripada pihak berkuasa, namun berbeza di luar negara khidmat doula diiktiraf dari segi perundangan mereka.

“Paling berbahaya adalah menggunakan khidmat doula ketika proses melahirkan bayi semata-mata, sebagai contoh memilih untuk melahirkan anak di rumah.

“Di Malaysia, tiada undang-undang yang memantau pergerakan doula. Maka, mereka sesuka hati menganjurkan kursus atau program secara bebas.

“Saya bersama ahli Medical Mythbusters Malaysia memandang serius isu ini dan kami akan secara berterusan berusaha menyekat pergerakan doula yang membawa fahaman sesat,” ujarnya.

Tambahnya, selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, kami juga menghantar surat rasmi kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapatkan perhatian baginda berkaitan isu terbabit.

Sehubungan itu, Rusyainie menasihatkan ibu mengandung agar berbincang dengan doktor dan pakar di hospital kerajaan atau swasta berkaitan kandungan atau proses melahirkan dan tidak sewenang-wenangnya memilih melahirkan di rumah tanpa pengawasan individu bertauliah.