Walaupun misteri yang menyelubungi tragedi berkenaan telah terjawab, tidak ramai yang mahu mempercayainya malah timbul pelbagai andaian lain yang masih berlegar tentang punca sebenar kapal yang mempunyai teknologi paling canggih pada ketika itu karam setelah baru empat hari beroperasi.

Terbaharu, seorang wartawan, Senan Molony yang telah lebih 30 tahun melakukan penyelidikan terhadap tragedi itu, mendedahkan bahawa banyak punca lain yang menyebabkan kapal yang dalam perjalanan dari Southampton, England ke New York, Amerika Syarikat (USA), itu karam.

Melalui bukunya berta­juk Why She Collided, Why She Sank and Why She Should Have Never Sailed, dia mendedahkan bahawa keputusan untuk menukar haluan kapal ke sebelah kanan bagi mengelak sebuah bongkah ais adalah sebab utama ia karam.

Ketika keputusan itu dibuat, kebakaran dalam stor penyimpanan batu arang sedang marak malah telah tercetus sejak ia meninggalkan limbungan di Belfast, Jerman sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada badan kapal juga bahagian sama yang kemudiannya terkena hentaman bongkah ais.

Molony mendakwa, terdapat peraturan perkapalan yang kurang diketahui umum iaitu setiap kapal harus membelok ke sebelah kanan kapal apabila bertembung dengan kapal lain bagi mengelak pelanggaran.

Walau bagaimanapun, pe­ra­turan perkapalan yang diperkenalkan pada 1850-an itu tidak boleh digunakan kepada bongkah ais namun malangnya kru Titanic tetap mematuhi peraturan berkenaan.

“Apabila seorang pemandu bertembung dengan kenderaan seperti treler atau lori yang sedang bergerak, dia tahu badan kenderaan itu berada di belakang pemandu.’’

Bongkah ais tidak termasuk dalam peraturan jalan raya. Ia mempunyai pelbagai bentuk malah jika bertembung pada waktu malam hanya bahagian hadapan saha­ja kelihatan jus­teru andaian tidak boleh dibuat bahawa bahagian badannya atau beban lain semuanya berada di belakang.

“Bahagian lain bongkah ais mungkin terapung di sebelahnya dan malah jika kru kapal mengetahuinya, mereka tidak tahu di bahagian manakah yang berbahaya mungkin di sebelah kiri atau kanan atau bahagian kanan kapal,’’ katanya.

Kata Molony, prosedur operasi standard perkapalan dan Peraturan Laluan Maritim Antarabangsa menegaskan, apabila berhadapan dengan objek bahaya di hadapan maka kapal perlu mengubah haluan ke bahagian kanan kapal.

Titanic mematuhi peraturan itu dan mengamalkan ilmu pelayaran yang baik, mematuhi prosedur standard untuk mengelak pelanggaran secara berhadapan namun malangnya ia berakhir dengan kesilapan yang teruk.

“Malangnya ketika berhadapan dengan situasi ini, amalan yang diwarisi sejak berabad-abad lalu membawa bencana kerana sifat fizikal bongkah ais ketika itu,’’ katanya.

Malah dikatakan se­ma­sa siasatan, pega­wai-pegawai kanan Titanic telah berpakat untuk berbohong tentang jujukan cara pengemudian bagi mengaburi mata umum.

Tegas Molony, peraturan lama itu hanyalah satu daripada sejumlah punca yang menyebabkan kapal itu gagal tiba di New York, antara lain adalah kebakaran di stor penyimpanan batu arang dan kekurangan bahan bakar.

Dia percaya, suhu kebakaran yang mencecah l,000 darjah Celsius telah melonggarkan struktur kapal dan pelanggaran dengan bongkah ais yang kemung­kinan hanyalah suatu pelanggaran kecil telah bertukar menjadi tragedi yang sukar dibayangkan.

“Suhu tinggi akibat kebakaran itu mengubah komposisi kimia besi badan kapal, melong­garkan keutuhan hampir keseluruhan badan kapal menyebabkan ia sama sekali tidak boleh menyekat kemasukan air yang banyak,’’ katanya.

Dikatakan sebelum karam, Titanic bergerak dengan kelajuan luar jangkaan dan dipercayai kebakaran itu telah menyumbang kepada pecutan kapal berkenaan.

Titanic memecut laju ke arah kawasan bongkah ais dengan keadaan badan kapal yang longgar malah tidak boleh mengelak kawasan terbabit kerana kekurangan batu arang bagi membolehkannya belayar ke kawasan selamat dan tiba ke destinasinya.

Kata Molony, kerana mahu mengelak malu akibat kekurangan bahan bakar selain sejak awal lagi tidak dibekalkan bahan bakar secukupnya kerana ketika itu berlaku mogok besar-besaran yang pertama oleh pekerja batu arang di seluruh Britain, Titanic memutuskan untuk terus menerjah ke kawasan bongkah ais dengan pengakhiran yang tragis.