Kelmarin, kerajaan meng­a­nugerahkan kontrak kepada syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity Limited bagi meneruskan pencarian di kawasan baharu seluas 25,000 kilometer persegi di Lautan Hindi. Kontrak diberikan berdasarkan kepada prinsip tiada pembayaran akan dibuat jika tiada apa-apa pe­nemuan dalam tempoh 90 hari operasi. Kerja-kerja mencari pesawat misteri itu dijangka bermula 17 Januari ini.

Pengumuman ini sudah tentu sedikit sebanyak memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia dan negara-negara terlibat khususnya ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 itu. Sejak hari pertama kejadian lagi, seluruh dunia tidak putus-putus berdoa dan berharap agar pesawat itu ditemukan. Bagaimanapun sehingga kini misteri tinggal misteri walaupun pencarian pada skala besar-besaran dan melibatkan banyak negara dengan penggunaan pelbagai peralatan canggih sudah dilaksanakan.

Apabila kerja-kerja mencari dan mengesan yang dilaksanakan oleh tiga buah negara iaitu Australia, China dan Malaysia diberhentikan pada 17 Januari tahun lalu, perasaan seluruh ahli keluarga dan waris mangsa bagaikan disentap dan mereka seolah-olah sudah hilang harapan. Walaupun kecewa dan diuji lagi, mereka tetapi tidak pernah berputus asa untuk berdoa agar misteri kehilangan pesawat ber­kenaan berakhir dan ditemukan kembali alam apa juga keadaan sekali pun.

Dengan kepakaran dan segala peralatan canggih yang dimiliki oleh Ocean Infinity termasuk kapal Seabed Constructor de­ngan lapan kenderaan dalam air automatik (AUV) yang dilengkapi alat sensor dan kamera berteknologi tinggi serta berkeupayaan merakam pelbagai maklumat di dasar laut, misi pencarian ini diharapkan dapat memberi petunjuk baharu yang membawa kepada penemuan pesawat ini.

The Economist dalam laporan beritanya A fantastical ship has set out to seek Malaysian Airlines flight 370 menyebut, AUV yang menggunakan sistem Hugin berupaya menyelam sehingga 6,000 meter ke dasar laut berbanding dengan sistem lain yang tidak sampai 4,000 meter.

Ini membolehkan kenderaan itu sampai ke dasar laut dengan selesa. Penggunaan lapan buah AUV membolehkan kerja-kerja pencarian boleh dilakukan secara serentak atau selari di kawasan berbeza.

Setiap AUV dibekalkan dengan pek bateri polimer lithium seberat 300 kilogram (kg) yang sangat baik untuk kerja-kerja mencari kerana mampu bertahan sehingga 60 jam. Teknologi sonar yang digunakan akan memeta dan mengimbas kontur dasar laut serta menghantar apa sahaja isyarat yang ditemukan. Oleh kerana pasir memantulkan bunyi yang le­bih perlahan berbanding serpihan besi, bermakna sebarang bentuk besi termasuk bangkai atau serpihan kapal terbang lebih mudah dikesan.

Selepas kerja-kerja ‘menjelajah’ dasar laut, AUV akan dinaikkan dan semua data yang dikumpul (yang disimpan di dalam cakera keras kalis air dan boleh mencapai dua terabait) akan dimuat turun ke dalam pusat da­ta. Ahli-ahli geologi dan juru hidrografi akan mengkaji peta dan meneliti sebarang tanda berhubung pesawat yang hilang itu.

Apa yang menarik, walaupun operasi tersebut disifatkan sebagai `operasi berteknologi tinggi,’ pada peringkat ini kerja-kerja meneliti dijalankan secara manual sepenuhnya. Setiap blok dasar laut yang telah dipetakan akan dikaji oleh tiga pasang mata manusia. Pasukan ini akan mengeluarkan senarai sasaran berpotensi sekiranya data tersebut kelihatan baik dan relevan,

AUV akan dihantar sekali lagi dengan sasaran utama ialah mencari kotak hitam.

The Economist menyifatkan Seabed Constructor sebagai kapal peninjau paling moden dan terkini di atas muka bumi ketika ini. Namun sekiranya segala teknologi dan peralatan canggih yang dimiliki kapal tersebut masih juga gagal mengesan MH370, peluang untuk menemukan pesawat tersebut seperti sudah tiada dan misteri kehilangannya kekal, ti­dak terungkai.

Walau apapun keputusan daripada pencarian selama 90 hari itu, rakyat Malaysia khususnya ahli keluarga dan waris mangsa perlu terus berdoa agar kerja-kerja mencari dan mengesan ini dipermudahkan dan menghasilkan sesuatu yang boleh menamatkan misteri kehilangan MH370 yang sudah berlarutan sekian lama, insya-Allah.