Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula menunjukkan seramai 4,992 kanak-kanak tidak sah dilahirkan remaja perempuan sebelum mencapai umur 18 tahun hanya pada 2017. Dan sehingga Jun tahun lalu, seramai 1,664 kanak-kanak tidak sah dilahirkan oleh ibu bawah umur.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengeluarkan statistik bahawa sejumlah 911 bayi dibuang dari 2010 hingga Ogos 2018. Dan 585 bayi yang dijumpai sudah tidak bernyawa.

Tentunya kita tertanya-tanya mengapa ini berlaku? Siapa perlu dipersalahkan? Angka-angka ini begitu membimbangkan memandangkan bilangannya dilihat semakin bertambah saban tahun.

Dalam kecanggihan teknologi masa kini, masyarakat begitu mudah terdedah kepada kebanjiran informasi tanpa sempadan dan batasan. Dan dalam usia remaja, perasaan ingin tahu golongan ini menyebabkan mereka ingin mengakses segala maklumat dan cuba untuk melakukannya walaupun diketahui perkara itu adalah tidak baik atau menyalahi agama serta adat masyarakat.

Hal ini kerana melalui gajetlah mereka mudah terdedah kepada bahan lucah yang menyumbang kepada peningkatan risiko remaja terlibat dalam kegiatan seksual yang tidak sah. Perkara ini disahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mendedahkan 22 peratus pelajar yang aktif seksual mengakui mereka dipengaruhi oleh pornografi.

Dalam hal ini, Cekmek Molek memuji langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN yang melaksanakan kempen mendekati remaja melalui media sosial. Langkah ini dilihat lebih selesa untuk mereka mendapatkan maklumat bimbingan dan nasihat memandangkan golongan itu lebih gemar berkomunikasi melalui medium berkenaan. Kanak-kanak walaupun muda, mereka perlu mendapat bimbingan mengenai healthy relationship. safe touch, bad touch perlu dididik melalui video yang boleh dipaparkan di laman YouTube.

Dan dalam usaha itu, pada awal tahun ini LPPKN melancarkan kempen #SayNo2Zina sebagai usaha menangani masalah sosial dan sebagai satu jalan untuk mencegah perlakuan seksual sebelum berkahwin.

Kempen ini sangat baik kerana dari sudut agama Islam, menghampiri zina (hubungan seksual sebelum kahwin) pun amat ditegah apatah lagi melakukannya. Walau apa pun nama kempen yang mahu dijalankan atau kononnya kepercayaan dan agama tidak boleh membantu menyelesaikan masalah itu, namun selagi ia mampu mencapai matlamatnya, ia tidak harus ditentang.

Sebab itu Cekmek Molek agak kesal apabila ada pihak cuba menentang kempen ini seperti yang dilaungkan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Woman Center for Change (WCC) Penang serta Asia Pasific Resource and Research Center for Women (Arrow). Walaupun alasan mereka kononnya kempen itu bersifat moral, menghukum serta menggunakan pendekatan konservatif, permasalahan sosial perlu ditangani dalam pelbagai skop demi membawa kembali nilai-nilai moral tentang perhubungan antara lelaki dan wanita secara sah. Apatah lagi perlakuan seks sebelum kahwin amat ditentang semua agama.

Cukup-cukuplah mengguna pakai ‘hak asasi manusia’ bagi mempertahankan permasalahan sosial se­perti ini, kononnya seorang wanita muda beragama masih seorang manusia dan mempunyai keinginan untuk meneroka seksualitinya, jadi dia harus bebas melakukannya asalkan melindungi dirinya daripada kehamilan dan jangkitan seksual.

Kenyataan seperti itu ternyata tidak tepat kerana di negara-negara maju telah membuktikan pencegahan menggunakan kondom dan pil-pil pencegah kehamilan tidak betul-betul selamat. Justeru, semua pihak walau siapa pun ada, tidak mengira latar belakang budaya dan agama perlu menyokong kempen #SayNo2Zina ini sebagai salah satu usaha menangani isu gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat.